Pemimpin PKR Selangor desak Faekah letak jawatan (Sinar Harian)



Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Borhan Aman Shah mendesak Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin meletak jawatan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan boleh mencetuskan kekeliruan dan salah faham dalam Pakatan Rakyat (PR).

 Borhan berkata, desakan itu dibuat kerana Faekah didakwa mengkritik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali secara terbuka menerusi sebuah portal berita baru-baru ini.

 Menurutnya, beliau berharap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dapat mengambil tindakan terhadap isu tersebut.

“Kami selaku pemimpin-pemimpin PKR Selangor mendesak agar pimpinan pusat mengambil tindakan keras terhadap Faekah.

“Faekah perlu meletakkan jawatannya dengan serta-merta dan kami faham kuasa penuh ada di tangan Menteri Besar untuk membuat sebarang keputusan mengenainya,” katanya pada sidang media di pejabat PKR Selangor di sini semalam.

 Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Azmin mengeluarkan kenyataan Abduk Khalid akan dilantik sebagai menteri pusat sekiranya PR berjaya merampas Putrajaya.

 Dalam pada itu, Azmin menafikan membuat kenyataan seperti itu dan Faekah mempersoalkan niatnya itu.

 Tindakan Faekah itu menyebabkan beliau ditegur oleh Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei.

 Faekah diingatkan supaya tidak memberi kenyataan secara membuta tuli kerana boleh mengeruhkan lagi hubungan antara pimpinan parti.

 Borhan berkata, beliau mempersoalkan tindakan Faekah mengkritik Azmin secara terbuka kerana dia tidak mempunyai sebarang jawatan di dalam parti.

 Katanya, Faekah perlu ingat bahawa Azmin mengeluarkan kenyataan berdasarkan kapasiti selaku timbalan presiden, pengerusi majlis pimpinan negeri merangkap pengarah pilihan raya.

“Perkara ini dah berlaku berulang kali dan kita harap Faekah lebih teliti pada masa akan datang sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Sebarang komen perlu dirujuk terlebih dahulu kerana kita khuatir perkara seumpama ini boleh menimbulkan pertelingkahan,” katanya.

 Dalam pada itu, semalam Sinar Harian Online melaporkan Faekah mengambil pendirian tidak akan mengulas lagi isu melibatkan kedudukan Menteri Besar.

 Faekah juga akur dengan teguran kepimpinan PKR supaya tidak membuat kenyataan balas mengenai isu berkenaan.

TQ: Beruang Biru

No comments: