Kerjasama Pas, DAP bercanggah kehendak Islam - Datuk Dr. Shahnon Ahmad


Perjuangan politik Pas kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan Negara Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad (gambar).

Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh Pas sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana Pas sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam.

Shahnon yang juga anggota Pas seumur hidup berkata adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama Pas dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.

"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan Pas," katanya hari ini.

Beliau yang juga bekas anggota Parlimen Sik berkata, dasar Pas sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.

DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong pertubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan pas.

Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukanlah seperti kerjasama Pas dan DAP sekarang kerana ketika itu Islam yang memerintah dan memimpin kaum-kaum berkenaan.

TQ: Beruang Biru

No comments: