Showing posts with label JUAL BANGUNAN UMNO SELANGOR. Show all posts
Showing posts with label JUAL BANGUNAN UMNO SELANGOR. Show all posts

TUBUH SEKRETARIAT HALANG JUAL BANGUNAN UMNO SELANGOR


Keputusan untuk menjual bangunan UMNO Selangor telah diputuskan dalam mesyuarat khas yang diadakan baru-baru ini yang dihadiri Ketua-ketua UMNO bahagian negeri Selangor  di De palma Inn Shah Alam.
Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan barisan ahli jawatankuasa bersama ketua-ketua UMNO bahagian dikatakan telah mencapai kata sepakat menjual bangunan yang terletak di Seksyen 14 dengan harga RM40 juta. 
Bagaimanapun keputusan itu ditentang oleh ahli akar umbi yang tidak mahu bangunan yang menjadi simbol kebanggaan UMNO Selangor itu dikuburkan untuk kepentingan peribadi pemimpin tertentu yang kesempitan wang.
Ahli UMNO berpendapat usaha untuk menjual bangunan tersebut hanyalah sebagai jalan untuk pemimpin-pemimpin dalam UMNO Selangor mencari pendapatan mudah dan memperoleh wang bagi menyambung kehidupan cara hidup mewah, membayar kereta besar, membiayai hutang-hutang peribadi dan menanggung perbelanjaan sosial yang tinggi.
Oleh itu, sekumpulan ahli UMNO dikatakan telah menggerakkan langkah untuk membentuk satu sekretarait bagi menghalang penjualan bangunan tersebut. 
Kumpulan itu dikatakan sedang mengumpul maklumat dan orang-orang yang mampu mengambil tindakan untuk "kaveat" bangunan tersebut sebagai usaha menyekat sementara urusan penjualan hingga satu cara dapat difikirkan untuk menyelamatkan bangunan UMNO Selangor. 
Marilah sama-sama kita meyokong tindakan kumpulan tersebut agar kita dapat menghentikan tindakan-tindakan menyamun harta UMNO untuk kepentingan peribadi.


3 KETUA BAHAGIAN TIDAK SETUJU BANGUNAN UMNO SELANGOR DIJUAL


Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos berkata beliau bersama Ketua Umno Bahagian Puchong Mohamed Satim Diman dan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat Johan Abd Aziz tidak menandatangani persetujuan untuk bangunan itu dijual.

Jelasnya, masalah penyelenggaraan bangunan tersebut mampu diatasi jika 22 bahagian Umno Selangor berkorban dengan masing-masing memberikan sumbangan untuk menguruskan bangunan tersebut.

“Ini melambangkan keyakinan masyarakat dan ahli Umno. Kita cakap hendak rampas kembali Selangor, tetapi amanah yang diberikan oleh pemimpin terdahulu untuk mempertahankan bangunan Umno ini pun kita jual.

“Saya telah menyediakan barisan peguam saya untuk kaveat bangunan tersebut daripada terus dijual,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Umno Selangor mahu menjual bangunan itu selepas berhadapan dengan kekangan kewangan untuk menjalankan operasi parti.

Akaun bank milik parti itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak pertengahan tahun lalu kerana dipercayai menerima dana yang dipercayai diseleweng dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

The Malaysian Insight sebelum ini pernah melaporkan terdapat dua pihak iaitu sebuah bank dan hotel menyatakan minat untuk menyewa keseluruhan bangunan tersebut.

Sekiranya bangunan itu disewa atau dijual, Umno Selangor ketika itu dilaporkan sedia berpindah ke satu lagi bangunan miliknya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Menurut Jamal, masalah kewangan parti sebenarnya boleh diselesaikan dengan menjual aset-aset lain, termasuk bangunan lama Umno Selangor di Kuala Lumpur yang bukan lagi menjadi mercu tanda Umno negeri.

Namun sekiranya parti berkeras meneruskan pelan menjual bangunan di Shah Alam, beliau tidak teragak-agak akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

“Juallah aset yang lain, yang tidak ada logo Umno. Saya yakin ahli-ahli Umno di Selangor pun tidak setuju.

“Jika Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Selangor meneruskan juga menjual bangunan ini, saya akan berusaha untuk usul menukar dengan pengerusi yang lain kerana beliau tidak layak menjadi pemimpin,” ujarnya.

Sementara itu, seorang ketua bahagian Umno berkata tindakan untuk menjual bangunan di Shah Alam bertentangan dengan keputusan pihak pengurusan parti negeri semasa diterajui oleh naib presiden Ismail Sabri Yaakob.

Ismail dilantik memimpin Umno Selangor selepas parti kalah pilihan raya umum pada Mei 2018. Ketika itu, dua naib presiden lain juga ditugaskan mengetuai Umno negeri iaitu Mahadzir Khalid untuk Terengganu dan Mohamed Khaled Nordin bagi Perlis.

Kata sumber itu, mesyuarat pengurusan sebelum ini mengambil ketetapan untuk mencairkan aset-aset lain bagi menampung kos pengurusan parti termasuk bangunan di Shah Alam.

Jelasnya lagi, mesyuarat juga memutuskan bahawa selepas bangunan tersebut dibaik pulih, Umno Selangor hanya menggunakan sebahagian ruang bangunan 9 tingkat itu dan selebihnya disewakan kepada pihak luar.

“Kita pakai apa yang ada. Kita jual kedai, kita perbaiki bangunan Umno itu. Mungkin hanya pakai satu dua tingkat sahaja, selebihnya kita sewakan. Itu perancangannya.

“Masuk pengurusan baru, mesyuarat pertama terus rancang hendak jual bangunan.

“Apa ini?,” katanya yang enggan dinamakan.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, semua ketua bahagian Umno telah dipanggil untuk mendengar taklimat agen hartanah berhubung proses penjualan tersebut.

Mereka dimaklumkan sebahagian hasil jualan akan digunakan untuk membeli bangunan pejabat baru yang lebih kecil, kata sumber.

Bagaimanapun kata sumber, beliau kecewa bukan sahaja nama pembeli yang berminat dirahsiakan, malah tandatangan kehadiran dalam taklimat itu juga dianggap sebagai persetujuan untuk menjual bangunan tersebut.

“Saya dengar pengurusan tetap hendak jual tetapi mereka tidak berani bersuara lagi secara terbuka kerana sudah kena tibai. Orang sudah mula sangsi dengan pengurusan baru ini.

“Orang yang hadir taklimat itu pun sebahagiannya sudah mula sangsi. Banyak pula rahsianya. Tandatangan kehadiran tidak bermakna bersetuju,” katanya.

Ditanya kenapa ada ketua bahagian yang membantah bangunan di Shah Alam dijual, sumber berkata ia akan memberikan gambaran kepada rakyat bahawa Umno Selangor belum sedia untuk menguruskan parti, dan oleh itu, belum juga sedia untuk mentadbir semula negeri.

“Kalau setakat hanya pandai jual aset, sesiapa pun pandai mentadbir macam itu.

“Apa gambaran yang kita hendak beri kepada rakyat?,” soalnya.

Umno tidak menerajui kerajaan Selangor sejak pilihan raya umum 2008. – 13 Disember, 2019.

JAMAL HALANG UMNO SELANGOR JUAL BANGUNAN


Kepimpinan UMNO baru-baru ini berhasrat mahu menjual bangunannya di Selangor bagi menjana akaun parti yang telah dibekukan.

Namun ia tidak dipersetujui oleh tiga ketua bahagian iaitu Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Mohamed Satim Diman dan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz.

Jamal dalam kenyataannya bersedia mempertahankan premis yang menjadi mercu tanda parti itu daripada melihatnya dijual.

Malah akan berusaha menghalangnya menerusi tindakan kaveat.

“Insya Allah pada Selasa ini pukul 10 pagi, saya akan ke SUK Selangor untuk kaveat Bangunan UMNO Selangor.

“Saya juga sudah bersedia untuk berhadapan dengan apa jua cabaran yang mendatang,” katanya.- MalaysiaGazette

JAMAL BANTAH JUAL BANGUNAN UMNO SELANGOR


Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos membantah cadangan pimpinan tertinggi parti itu di peringkat negeri yang berhasrat untuk menjual bangunan UMNO Selangor.

Menurut Jamal, walaupun UMNO Selangor berdepan masalah kewangan berikutan akaun parti itu yang dibekukan sebelum ini, namun langkah bagi penjualan bangunan tersebut adalah tidak wajar dan perlu dielakkan.

Beliau berkata, bangunan UMNO Selangor merupakan sebuah mercu tanda kepada kekuatan ahli serta parti Melayu itu di negeri ini, malah ia sepatutnya dipertahankan dengan apa cara sekali pun.

"Kita tahu, untuk bangunan itu beroperasi pastinya melibatkan perbelanjaan bagi penyelenggaraan, kakitangan, elektrik dan lain-lain namun langkah menjual bangunan adalah tidak wajar.

"Bangunan ini mempunyai sejarah yang tersendiri dan ia merupakan lambang kekuatan UMNO di negeri ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut Jamal berkata, pimpinan tertinggi UMNO Selangor yang diterajui oleh Pengerusinya, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan boleh mengambil langkah lain antaranya dengan menjual beberapa aset lain dimiliki parti itu.

Beliau berkata, walaupun beberapa siri perbincangan pernah diadakan bersama kepimpinan ketua bahagian di seluruh negeri ini, namun pihaknya masih tetap bertegas untuk mempertahankan bangunan tersebut daripada dijual kepada mana-mana pihak.

"Saya sanggup keliling seluruh Selangor untuk mengutip dana dengan membawa tabung daripada melihat bangunan itu dijual.

"Dan jika pengurusan tertinggi masih berhasrat untuk menjual, saya tidak teragak-agak untuk kaveat bangunan tersebut," katanya.

Tambahnya, beberapa ketua bahagian UMNO di negeri ini turut menyatakan bantahan bagi penjualan tersebut dan beranggapan terdapat pilihan lain boleh diambil oleh pihak pimpinan tertinggi parti di negeri ini untuk mempertahankan bangunan itu.

Dalam pada itu Mat Nadzari memaklumkan bahawa pihaknya mendapat banyak maklum balas berhubung perkara itu ketika perbincangan bersama semua ahli jawatankuasa empat peringkat sebelum ini.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tidak dapat mendengar dan berbincang dengan Jamal tentang perkara itu di dalam mana-mana mesyuarat rasmi yang dibuat sebelum ini.

"Kita sentiasa terbuka dan mendengar (sebarang pandangan)," katanya.

Disalin dari: https://www.sinarharian.com.my/article/61736/BERITA/Politik/Jamal-bantah-jual-bangunan-UMNO-Selangor