Geng Rohingya rompak berkumpulan, larikan aluminium formwork bernilai RM200,000



MELAKA – Enam lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Khamis atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di sebuah gudang penyimpanan barangan binaan di Sungai Udang pada Jun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 38 tahun itu diberkas menerusi Ops Kargo di sekitar Kajang.

Menurutnya, dalam kejadian pada 15 Jun lalu, kumpulan terbabit didakwa menyamun gudang berkenaan sebelum melarikan aluminium formwork (palet acuan aluminium) yang dianggarkan bernilai RM200,000.

“Modus operandi kumpulan tersebut adalah dengan mengikat tangan dan kaki pengawal keselamatan sebelum melarikan barangan tersebut.

“Kesemua suspek berjaya ditahan di sekitar Kajang dan polis turut merampas barang kes, termasuk dua buah lori, tiga guni bongkah aluminium serta dua resit jualan berjumlah RM27,440 dan RM101,816,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, kesemua suspek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan pada prosiding itu selepas kesemua tertuduh tidak memahami bahasa Melayu.

Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin kemudian menetapkan 10 Ogos depan untuk lantikan jurubahasa bahasa Rohingya.