TEKNOLOGI MEMBRAN KEPALA BAPAK KO!!
Cadangan kerajaan Selangor tingkat penjanaan air terawat perlu RM95j setiap loji
Hulu Langat: Cadangan kerajaan negeri Selangor untuk menggunakan teknologi membran bagi meningkat penjanaan air di loji terawat sedia ada, tidak praktikal dan tidak berdaya maju.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata teknologi itu bukan saja mahal, malah tidak mampu meningkatkan kapasiti bekalan air yang diperlukan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Air Selangor, berkata kos diperlukan bagi kaedah itu adalah RM95 juta bagi setiap loji dan jika dilaksana di semua 34 loji rawatan air di Selangor, ia membabitkan kos hampir RM3 bilion.
Kaedah tak praktikal
“Ini bukan penyelesaian. Saya sudah rujuk kepada pakar kementerian dan mereka kata kaedah ini tidak praktikal, ia juga akan babitkan kos yang jauh lebih tinggi.
“Teknologi ini dapat meningkatkan kualiti air namun kapasiti bekalan air tidak berubah. Kualiti air kita sudah di peringkat antarabangsa dan saya tidak faham apa perlu teknologi seperti ini untuk selesaikan masalah air.
“Saya hairan dan takjub kerajaan negeri mahu membincangkan (dengan saya) kerana ia bukan penyelesaiannya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor di Hulu Langat, dekat sini, semalam.
Beliau kemudian melawat tapak projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Teoh Yen Hua.
Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan hasrat untuk bertemu Muhyiddin bagi membincangkan teknologi membran dari Kanada yang didakwanya berdaya maju dan menawarkan rawatan air lebih murah daripada Langat 2.
Keperluan mendesak
Muhyiddin berkata, kerajaan negeri harus memahami hakikat Selangor dan negeri berhampiran akan menghadapi masalah bekalan air yang kritikal menjelang 2016.
“Keadaan ini boleh dilihat pada masa ini apabila ada pemaju perumahan tidak memperoleh sijil layak menduduki (CF) kerana pembekal utiliti tidak bersedia membekalkan air kerana ketiadaan sumber air baru.
“Itu fakta yang kita tidak boleh nafikan, ia keperluan mendesak, bukan politik dan kerajaan Pusat tidak bertujuan untuk mempolitikkan isu ini. Ini soal hidup mati, keperluan manusia, apa yang kita jelaskan adalah fakta, ia bukan datang dari saya, saya bukan pakar, ia datang dari jurutera, pakar yang mengesahkan situasi semakin kritikal,” katanya.
Ditanya adakah pihaknya menerima jawapan dari pejabat Peguam Negara mengenai peruntukan undang-undang yang membolehkan projek itu diteruskan tanpa kebenaran kerajaan negeri, Muhyiddin berkata pihaknya masih menunggu jawapan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment