07 July 2013

Bukti dikumpul sebelum haram sisha - KKM


SEREMBAN 7 Julai - Kementerian Kesihatan sedang mengumpul lebih banyak bukti saintifik sebelum mengambil keputusan untuk mengharamkan atau mengadakan peraturan tentang sisha dan rokok elektronik.



Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, sebuah jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif akan membuat kajian tentang kesan dua produk itu terhadap kesihatan, sebelum mengambil tindakan lanjut mengenainya.



"Mengenai sisha, bukti menunjukkan ia berbahaya, mungkin lebih bahaya daripada merokok.


"Oleh itu, langkah awal kami ialah mengklasifikasikan sisha sebagai produk berasaskan tembakau. Semua undang-undang dan peraturan berkaitan penggunaan tembakau mungkin akan terpakai terhadapnya (sisha)," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen Kolej Tafe di sini hari ini.

Dr. Subramaniam berkata, bagi rokok elektronik pula, ada pihak berpendapat produk itu kurang berbahaya daripada rokok dan boleh dijadikan langkah perantaraan untuk mengurangkan tabiat merokok.

Bagaimanapun, kata beliau, ada pula pihak yang mendakwa rokok elektronik boleh disalah guna dan oleh itu perlu diharamkan atau dikenakan peraturan.

"Oleh itu, kami akan buat keputusan berdasarkan bukti yang dikumpul jawatankuasa teknikal ini, sama ada hendak mengadakan peraturan mengenainya (sisha dan rokok elektronik) atau mengharamkannya terus," kata beliau. - BERNAMA


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Know us

Our Team

Video of the Day

Contact us

Name

Email *

Message *