Ubat Palsu Guna hologram palsu, Yang makan ubat ni jadi camane agaknye ekk??

Sabak Bernam: Berikutan sikap pengguna yang kurang mengambil berat untuk memeriksa ketulenan sesuatu produk kesihatan dibeli, sebuah kedai yang membekalkan produk kesihatan kepada peruncit di daerah ini dikesan mengaut keuntungan berganda dengan menjual produk kesihatan palsu.

Bagaimanapun, kegiatan peniaga berkenaan terbongkar selepas sepasukan anggota Bahagian Penguat kuasa Farmasi Selangor menyerbu sebuah rumah kedai dan stor pengedaran ubat berkenaan di Taman Perdana, Sungai Besar, jam 11 pagi, semalam.

Ketua Seksyen Operasi dan Perundangan Cawangan Penguat kuasa Farmasi Selangor Nor Azila Ab Rahman berkata, seramai 20 anggota terbabit dalam serbuan itu dan pelbagai ubat berjenama popular dirampas selepas ia didapati diperoleh bukan daripada pengeluar sebenar.

“Kami melakukan serbuan selepas melakukan siasatan selama sebulan hasil maklumat orang ramai dan siasatan awal mendapati pengedar hanya menggunakan hologram palsu sebelum mengedarkannya kepada peruncit seterusnya barangan tiruan yang mengundang pelbagai risiko kesihatan itu sampai kepada pengguna,” katanya.

Semalam, pasukan berkenaan pada mulanya hanya melakukan serbuan ke kedai yang disyaki menjadi pengedar ubat berkenaan, namun selepas menjalankan pemeriksaan lanjut, pasukan itu menemui sebuah stor yang menyimpan pelbagai jenis ubat dan produk kesihatan palsu, kira-kira 300 meter dari lokasi serbuan.

Ketika diserbu, seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai pemilik kedai berkenaan bersama tiga wanita iaitu pekerjanya berada dalam premis terbabit.

PENGUAT kuasa Farmasi Selangor memeriksa produk kesihatan palsu yang dirampas di Taman Perdana, Sungai Besar, semalam.

Serbuan membabitkan rampasan sebanyak 35 produk dan barangan kesihatan tidak berdaftar dan menggunakan hologram palsu bernilai RM160,000.

Nor Azila berkata, setakat ini, pihaknya mendapati pengedar berkenaan menggunakan kaedah menghantar bekalan kepada peruncit menggunakan kenderaan sendiri dipercayai bagi mengelak lokasi mereka dikesan selain tidak menjual barangan terus kepada pembeli persendirian.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan individu dan denda maksimum RM50,000 bagi kesalahan membabitkan syarikat.

No comments: