ANGKAT SUMPAH HARI INI SERLAHKAN SIKAP HIPOKRIT PEMBANGKANG


KUALA LUMPUR 23 Jun - Sikap hipokrit pakatan pembangkang akan terserlah jika kesemua 89 Ahli Parlimennya hadir mengangkat sumpah di Dewan Rakyat esok sebagai mengiktiraf mereka sebagai wakil rakyat.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, mereka sepatutnya berasa malu untuk hadir dalam majlis tersebut sedangkan terus-menerus menganjurkan perhimpunan haram demi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dituduh satu penipuan.

Jelas beliau, mereka perlu bersikap konsisten apabila bersetuju untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat, maka segala bentuk perancangan untuk menggulingkan kerajaan wajar dihentikan.

"Apabila mereka bersetuju mengangkat sumpah esok, maka jadilah Ahli Parlimen yang bertanggungjawab. Suarakan apa yang tidak puas hati di Dewan Rakyat yang memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada mereka.

"Itu sebenarnya lebih baik daripada terpekik-terlolong di jalan raya kerana langsung tidak membawa apa-apa faedah. Dalam konteks kita mengamalkan demokrasi tanpa putus-putus sejak merdeka, sepatutnya Ahli Parlimen tunjukkan kematangan dalam menguruskan demokrasi itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kesemua Ahli Parlimen parti itu akan mengangkat sumpah di Parlimen esok, sekali gus menafikan dakwaan bahawa mereka akan memboikot majlis itu.

Kenyataan itu sekali gus diselar banyak pihak kerana Anwar tetap meneruskan perhimpunan haram bagi membantah keputusan PRU-13.

Dalam pada itu, Pensyarah Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, tindakan pembangkang itu seperti serampang dua mata dalam keadaan mereka membantah tetapi bersetuju untuk menjadi Ahli Parlimen.

Sehubungan itu, kata beliau, rakyat perlu sedar bahawa tindakan mereka itu hanya untuk memuaskan hati bagi menafikan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

"Kalau mereka angkat sumpah, tiada apa lagi yang perlu dipertikai. Jika mahu membantah keputusan pilihan raya, kemuka petisyen di mahkamah tidak perlu mengadakan tunjuk perasaan.

"Kita tidak faham apa rasional golongan itu berbuat demikian, adakah bertujuan untuk mengelirukan rakyat atau sekadar hobi mengganggu-gugat keamanan negara bagi memberikan tekanan kepada kerajaan agar tunduk kepada mereka, walhal itu tidak mungkin akan berlaku," katanya.

Tambah beliau, Ahli Parlimen pembangkang diingatkan untuk meneruskan agenda pembangunan negara dan menunaikan amanah rakyat sekiranya telah menerima hakikat dengan mengangkat sumpah esok.

"Rakyat boleh pertikaikan apa tujuan mereka menganjurkan perhimpunan tetapi bersetuju menjadi Ahli Parlimen.

"Keamanan dan kemajuan negara perlu diteruskan, jalankan tugas dan amanah yang telah diberikan rakyat," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: