Bendera Malaysia Berkibar Megah Di Bumi Palestin



GAZA, Palestin 8 Dis. - Sukarelawan Misi Solidariti Gaza 2012 hari ini menyertai puluhan ribu penduduk Gaza meraikan kemenangan mematahkan kekejaman Zionis di Khateeba Khadrat.

Lebih menarik semua sukarelawan turut berjalan kaki sejauh 2 kilometer dari hotel penginapan untuk bersama-sama meraikan kemenangan peperangan lapan hari menentang serangan rejim Zionis baru-baru ini.
Mereka juga membawa sepanduk menyokong perjuangan penduduk Gaza yang berbunyi, 'Gaza Kami Bersamamu', 'Aqsa Kami Akan Tiba' dan lain-lain sepanduk yang penuh dengan kata-kata semangat.

Sepanjang perarakan sukarelawan Misi Solidariti Gaza 2012 itu juga, mereka turut melaungkan 'Allahuakbar' dan 'Hancurkan Israel'.

Perarakan sukarelawan Misi Solidariti Gaza 2012 diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Malaysia, Awang Suffian Awang Piut.

Menariknya semasa tiba di perhimpunan ini, nama Malaysia disebut oleh pemimpin Hamas yang berada di atas pentas dengan mengucapkan terima kasih terhadap bantuan yang tidak pernah putus dari Malaysia.

Perhimpunan yang turut mendapat jolokan 'Peperangan Menentang Kezaliman - Lontaran Batu Dari Neraka Burung Ababil', ini diteruskan walaupun suhu ketika itu mencecah 17 darjah Celsius termasuk hujan lebat.
Para pimpinan Hamas bersilih ganti berucap memberikan kata-kata semangat selain melaungkan 'Allahuakbar' yang disambut serentak oleh mereka yang yang ada di Khateeba Khadrat itu.

Tidak hanya itu, perhimpunan itu diserikan dengan persembahan nyanyian patriotik tentera Al-Qassam yang turut menaikkan semangat mereka yang hadir termasuk sukarelawan Misi Solidariti Gaza 2012. - MINGGUAN


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: