06 December 2012

PRU-13: Peringatan Dr. Mahathir Bakal Hancur



MELAKA :   Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, negara akan mengalami kehancuran dan kecelaruan jika pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, hal ini kerana kerajaan yang akan dibentuk oleh pembangkang merupakan kerajaan campuran daripada tiga parti yang tidak mempunyai matlamat dan hala tuju sama.

Beliau menarik perhatian keinginan Pas untuk menjadikan Malaysia negara Islam ditentang oleh DAP manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertindak sebagai orang tengah hanya mensasarkan kemenangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Keadaan ini memang bahaya, kadang-kadang apabila kita berada dalam keadaan selamat, kita tidak fikir akan jadi tidak selamat, kita selamat sebab memilih pemerintah yang prihatin.

"Ini terpulang kepada rakyat, namun ada yang mengundi mengikut emosi dan taksub walaupun pemimpin jelas menyatakan sesuatu yang bertentangan dengan Islam.

"Apabila rakyat tidak menggunakan pemikiran dan mengundi semata-mata kerana perasaan, besar kemungkinan negara kita akan hancur. Sebab itu kita lihat banyak negara tidak dapat laksanakan cara-cara demokrasi kerana ketaksuban kepada pemimpin, bukan untuk membangunkan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama Pembinaan Negara Bangsa pada Seminar Ketahanan Nasional 3 - Mengekalkan Kedaulatan Negara di Puteri Resort, Ayer Keroh di sini hari ini.

Seminar tiga hari bermula semalam itu dianjurkan oleh Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, rakyat kini mula sedar bahawa pada pilihan raya lalu, mereka membuat pilihan berdasarkan rasa marah kepada sesuatu.

"Faktor ini telah pun mereka ketepikan, kita patut rapatkan kembali barisan supaya dapat dirikan sebuah kerajaan yang kuat iaitu mendapat kemenangan dua pertiga," katanya.

Sementara itu dalam ucaptamanya, Dr. Mahathir berkata, Malaysia tidak perlu mengikut konsep Negara Bangsa seperti kebanyakan negara lain kerana terikat dengan masalah kaum yang tidak mahu mengetepikan identiti asal mereka.

Kata beliau, Malaysia lebih liberal dan bertimbang rasa kerana membenarkan kaum lain mengamalkan agama, budaya dan bahasa ibunda masing-masing.

No comments:

Know us

Our Team

Video of the Day

Contact us

Name

Email *

Message *