CCTV PPIM Rakam Kelibat Lelaki Berkeliaran Sebelum Pusat Tahfiz Terbakar


Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung berlaku.

Menurut Presidennya Datuk Nadzim Johan, rakaman berkenaan menunjukkan terdapat beberapa individu yang berlegar-legar di kawasan itu dalam keadaan mencurigakan.

Nadzim mendakwa, kelibat lelaki berkenaan dirakam sekitar jam 3.10 pagi oleh sebahagian daripada 16 CCTV di pejabat PPIM.

“Ada beberapa orang berlegar (dalam keadaan) mencurigakan. Kita tak dapat nafikan. Kalau ada unsur sabotaj harus ditangani,” katanya dalam sidang media petang tadi.

Premis PPIM adalah bersebelahan dengan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar pada pagi Khamis lalu.

Kejadian mengorbankan seramai 23 pelajar termasuk dua orang guru pusat tahfiz tersebut.

Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) itu juga tidak menolak kemungkinan ada unsur khianat terhadap PPIM sehingga melibatkan kebakaran Darul Quran.

“Ada kaitan dengan aktiviti PPIM (selama ini) yang mungkin orang nak balas dendam. Kita tidak berfikiran ke arah itu tetapi tiada yang mustahil. Kita tidak tahu,” katanya.

PPIM sebelum ini giat kegiatan mendapatkan aduan pengguna mengenai kegiatan judi, dan ceti haram.

Malah, pihak polis sudah meneliti rakaman daripada 20 unit CCTV dari premis PPIM bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian malang tersebut.

“CCTV kita boleh nampak pintu depan tahfiz. Sebarang petunjuk sekiranya berlaku kejadian khianat,” katanya lagi.

Semalam bomba tidak menolak kebakaran berlaku kemungkinan ada kaitan dengan perbuatan khianat, namun ia masih lagi disiasat.

Jabatan bomba turut menyiasat mengapa dua tong gas memasak ditemui di hadapan pintu masuk ke asrama itu.

No comments: