DIHARAPKAN KEMATIAN MEREKA MENGUBAH PARADIGMA MASYARAKAT



Artikel ini bukanlah bertujuan untuk mengungkit peristiwa hitam kebakaran pusat tahfiz yang berlaku baru-baru ini tetapi ia merujuk kepada kejadian tersebut dan kebarangkalian ianya berlaku apabila perkara-perkara asas gagal dipatuhi.

Menunding jari bukan jalan penyelesaian, oleh itu, artikel yang saya lampirkan bersama ini adalah ulasan yang saya rasakan munasabah dan wajib kita fahami. Kebakaran seperti itu bukan kali terakhir berlaku, ia akan berlaku.. berlaku.. dan terus berlaku kalau kita memandang remeh ulasan berikut;


Artikel oleh : Ir Hj Arul Hisham Abdul Rahim

Dikatakan telah berlaku 29 kes kebakaran sejak 2015 pada sekolah tahfiz atau bangunan penjagaan anak yatim sebelum kejadian terkini. Seperti biasa, golongan cerdik pandai hingga ke rakyat biasa memberi ulasan demi ulasan sebab musabab di samping mencari watak-watak yang nak “dikambing hitamkan”. Kambing hitam yang paling mudah adalah dengan mengatakan bahawa premis tersebut tidak berdaftar (samada dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan, Bomba, Penguasa tempatan dsb). Tambahan pula mudah bagi kita mengkambing-hitam badan yg menerima musibah itu sendiri; tambahan pula kiranya pemunya premis itu juga terkorban. Tiada siapa dapat menjawab bagi pihak mereka. Sepertimana biasa, isu ini akan berlarutan selama 3 hingga 7 hari; lalu ianya berlalu begitu sahaja tanpa masyarakat mengetahui apakah pengajaran yang diperolehi dari musibah tersebut supaya ianya tidak berulang lagi. Menyalahi takdir tidak membawa masyarakat ke mana-mana; apatah lagi menggunakan agama untuk bersembunyi di belakang kebodohan dan kealpaan diri.

Saya melihat isu ini sebagai seorang jurutera perunding mekanikal yang bertanggungjawab mereka-bentuk sistem pencegahan dan melawan kebakaran di dalam bangunan; di samping seorang ahli lembaga pemegang amanah sebuah yayasan penjagaan anak-anak yatim dan asnaf.

Pertama-tama, terdapat dua keadaan premis-premis penjagaan ini; 1) premis di kawasan perbandaran 2) premis luar bandar. Bagi premis kategori 1 biasanya ia menggunakan bangunan yang dibina khas atau menggunakan rumah-rumah atau bangunan yang siap terbina manakala bagi kategori 2, premis tersebut dibina atas tanah-tanah persendirian. Manakala dari segi pengurusan, premis-premis ini dijalankan samada atas inisiatif persendirian, berkumpulan dan juga yayasan/syarikat.

Bagi kategori 1 jika dibina khas untuk tujuan premis penjagaan, biasanya ia mematuhi piawaian Undang-undang Kecil Seragam (Uniform Building Bye-law (UBBL) 1984); manakala jika premis tersebut menggunakan rumah atau kedai-pejabat terbina, ianya memerlukan pengubahsuaian untuk mematuhi peruntukan UBBL. Terdapat juga bangunan yang dibina khas yang pada asalnya mematuhi peruntukan UBBL tetapi telah diubah-suai untuk menempatkan lebih ramai pelajar yang melanggari peruntukan UBBL seperti sambungan bangunan tanpa kelulusan atau peruntukan tangga kecemasan yang tidak mencukupi.

Bagi bangunan yang berada pada kategori 2, kebiasaannya bangunan ini dibina tanpa merujuk peruntukan UBBL; bahkan menggunakan bahan-bahan mudah terbakar seperti papan, siling jenis softboard dan sebagainya. Maka tidak hairanlah, premis-premis ini mudah terbakar.

Tragedi terkini di Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang termasuk dalam kategori 1 kelihatan seperti bangunan yang agak baru. Dari gambar-gambar yang tersiar, kelihatan kebakaran hanya melibatkan di tingkat 3 bangunan tersebut. Tidak dapat dipastikan tujuan asal bangunan tersebut dibina di mana kelulusan penggunaan (CF atau CCC) diberikan.

Pengalaman saya untuk mendaftar premis penjagaan dengan sebuah jabatan berkaitan tukar syarat guna premis dari rumah kediaman semi-D ke premis penjagaan menemui jalan buntu dan tidak semudah yang difikirkan. Selain daripada kos-kos pengubahsuaian, karenah birokrasi jabatan-jabatan kerajaan juga boleh membantutkan hasrat ini. Contohnya, sesuatu jabatan C memerlukan dokumen dari jabatan B; manakala jabatan B hanya memberi kelulusan sekiranya tuanpunya dapat mengemukakan dokumen A. 

Masalah timbul kerana dokumen A adalah dokumen yang disimpan oleh pemaju semasa projek dilaksanakan. Malangnya dokumen tersebut hampir mustahil dapat diadakan walhal dokumen tersebut dikeluarkan sendiri oleh Jabatan B sendiri semasa perancangan asal projek tersebut! Jabatan B pula menyatakan mereka hanya boleh diproses sekiranya semua dokumen seperti tersenarai dipatuhi. Kekurangan satu dokumen sahaja akan mengakibatkan permohonan tidak diproses. Bahkan seolah-oleh premis tersebut perlu melalui permohonan seperti mendapatkan kelulusan pada ketika bangunan itu mula-mula dibina; semata-mata untuk menukar syarat guna!

Sekiranya kita berilzam untuk memastikan setiap premis penjagaan berdaftar dan beroperasi secara sah, maka perlu ada kerjasama dari semua jabatan-jabatan kerajaan untuk mengurangkan karenah birokrasi ini. Jabatan-jabatan perlu berusaha “memutihkan” dengan memudahkan proses permohonan dan kelulusan. Pertimbangan kelulusan hendaklah mengambilkira mengikut sesuatu kes; bukan mengikut senarai-semak semata-mata. Tambahan pula pengurusan premis-premis ini kebiasaannya bukan dari latarbelakang professional yang mengetahui proses kelulusan bangunan dan keselamatan. Kalau kilang-kilang haram boleh dihalalkan; masakan premis-premis penjagaan golongan bagi anak yatim, asnaf atau pelajar tahfiz ini tidak boleh dihalalkan juga.

Isu utama adalah sikap. Sikap pengusaha dan pengurusan yang mengambil remeh isu keselamatan. Contohnya, berapa banyakkah premis-premis ini mengadakan latihan “fire drill”? Adakah mereka menyediakan alat pemadam kebakaran dan mengajar cara-cara penggunaannya? Adakah mereka mengajar bagaimana memadamkan api kecil menggunakan tuala basah umpamanya; dan melarang penggunaan bahan-bahan mudah terbakar seperti ubat nyamuk?

Atau pelajar-pelajar ini kesesakan hinggakan tiada lorong laluan sekiranya berlaku kecemasan; sebagaimana tragedi ini di mana hanya terdapat satu pintu keluar untuk 24 orang pelajar!

Sikap kita yang suka memasang jeriji hingga melebihi tingkat 3 juga mengundang masalah ketika kecemasan. Mungkin jeriji perlu untuk menghalang kecurian di tingkat bawah tetapi perlu ada kesedaran bagaimana membuka jerijii tersebut ketika kebakaran. Bukankah kita pernah mendengar mangsa kebakaran di rumah teres dua tingkat kerana terperangkap akibat jeriji yang tidak boleh dibuka?

Dalam kita bersedih jangan lupa ambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab atas keselamatan anak2 tahfiz berkenaan. Kalau kita mahukan perubahan positif, kita harus berani dan tegas bertindak sebelum peristiwa tersebut berulang! Jangan hanya banyak bercakap.

Soal pengurusan keselamatan bukan "rocket science". Yang paling penting adalah disiplin dan kesungguhan. Apa guna berdaftar dengan semua jabatan kerajaan sekiranya “standard operating procedures” tiada atau tidak dipatuhi dan tiada perubahan sikap. Berdoa dan berserah kepada takdir sahaja tidak akan membawa perubahan. Kita ada pelbagai akta; bila lagi hendak lakukan tindakan? Kalau ada ustaz atau pengurus tahfiz didenda atau dipenjara gara2 tidak menjaga keselamatan pelajar, InsyaAllah akan ada perubahan. Cakap-cakap dan menyalahkan takdir sahaja tidak memadai.



Ir. Hj. Arul Hisham Abdul Rahim
Kota Damansara.

1 comment:

Anonymous said...

Saudara dan saudari yang dikasihi ke dalam Dhamma

Kami ingin memaklumkan kepada semua penganut Buddha di Malaysia tentang Datuk YIP KUM FOOK yang merupakan presiden KUIL BUDDHA SAMNAK SAMBODHI, Taman Desa Jaya, Kepong, Kuala Lumpur. Orang Buddha perlu mengikut banyak peraturan sila, tetapi YIP KUM FOOK tidak ada sebarang peraturan sila dalam agama Buddha, ia sangat memalukan kepada orang ramai

Juga, dia memanggil polis untuk mengganggu Sami Buddha di kuil. Menambahkan dia menipu wang Rm20,000.00 Sami Myanmar (Ven. Nandiya) tidak pernah membayar balik, ramai orang tahu mengenainya.

Sebaliknya, Datuk YIP KUM FOOK ini tidak malu dan segan terhadap penganut Buddha atau Buddha, dia berpendapat, dia seorang yang sangat berjaya, juga dia kotor dalam politik MCA.
Terima kasih banyak-banyak dan tolong kongsikan dengan semua
Encik Fong, Kajang
Diterjemahkan oleh Dr. Chew