Saya terpanggil untuk merenungi,
memikirkan dan menarik perhatian khalayak dan seluruh rakyat Malaysia akan
tujuan penulis melalui ROKETKINI.COM, bertarikh 5 Sept 2017 yang mengangkat
Shamsiah Fakeh, salah seorang pejuang Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai
nasionalis.
Antara frasa dalam tulisan beliau yang saya lihat sebagai bercanggah
dengan fakta sejarah ialah “Shamsiah Fakeh merupakan seorang nasionalis
yang berjuang melawan British.”
Adakah tulisan tersebut mendukung sentimen kekeluargaan kerana Shamsiah
Fakeh adalah nenekanda kepada penulis? Atau adakah kerana tulisan itu tersiar
pada ROKETKINI.COM, maka fakta sejarah, putar belit, manipulasi serta agenda
tersembunyi menjadi modus operandi pihak berkenaan?
Tulisan 14-para itu tidaklah terkesan untuk mencungkil dan mengorek
secara tuntas wacana sejarah perjuangan Shamsiah Fakeh serta hujah-hujah bagi
membela Shamsiah sebagai pejuang menentang penjajah. Sebaliknya pembaca akan
kesal pada retorik dan premis yang mengangkat Shamsiah sebagai “nasionalis”.
Selepas ini pastinya berentetan pula retorik yang mengangkat Chin Peng sebagai
‘nasionalis’.
Dalam tulisannya yang santai dan longgar fakta, tetapi dilambak dengan
retorik ‘penjajahan dan perjuang kemerdekaan’, penulis dengan sedar mengaku
bahawa:
“Saya juga tidak lahir pada
zaman itu. Kebebasan saya tidak pernah dicengkam oleh penjajah-penjajah barat.
Saya jua tidak pernah ditindas oleh penjajah-penjajah ini. Tetapi, saya dapat
melihat itu semua daripada perjalanan hidup nenek saya, Shamsiah Fakeh.”
Jelaslah bahawa makna instrinsik penulis
daripada petikan di atas ialah beliau amat cetek sejarah dan hanya bersandarkan
perjalanan hidup nenekanda Shamsiah yang tidak juga dijelaskan sumber sandaran
beliau, tetapi dengan bangga mengangkat Shamsiah sebagai ‘nasionalis’.
Seseorang yang diangkat sebagai nasionalis adalah seseorang yang
berjuang untuk bangsanya semata-mata dan bukan untuk kepentingan pihak lain
seperti PKM yang bertunjangkan Parti Komunis Indonesia, dan Parti Komunis China
serta mendewa-dewakan Mao Tze Tung.
Saya nasihatkan agar penulis yang sekadar beretorik dengan frasa “saya
dapat melihat perjalanan hidup nenek saya” supaya membaca tulisan kajian
terperinci pakar sejarah tanah air, Prof Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam “Shamsiah Fakeh: A Nationalist or a Communist?”
Bagi Prof Ramlah Adam, “Untuk menjadi seorang nasionalis atau parti nasionalis, pendekatan dan matlamat
perjuangan mestilah berasas kepada kebangsaan bangsa itu dan mempunyai matlamat
untuk kemerdekaan tanah airnya sebagai sebuah negara yang berdaulat dan
ditadbir oleh anak bangsanya sendiri. Ini semua dicapai melalui proses
`self-determination’ yang kukuh dan didokong oleh anak negeri itu sendiri.”
Adakah seseorang yang berjuang untuk kemerdekaan tanah air yang
berkiblatkan kebangsaan asing (PKI dan PKC) dengan menjunjung tokoh komunisme
Moa Tze Tung, wajar dan layak diangkat sebagai nasionalis?
Prof Dr Ramlah Adam juga mencatatkan bahawa Shamsiah Fakeh turut masuk ke hutan
bersama-sama suaminya Wahi Anuar untuk berjuang dengan gerombolan komunis,
namun suaminya sedar dan insaf dan menyerah diri pada tahun 1950. Sebaliknya
Shamsiah terus dengan perjuangan yang tiada maknanya di dalam hutan malah
berkahwin pula dengan Ibrahim Mahmod, rakan seperjuangan yang teguh dengan
falsafah dan prinsip komunismenya.
Persoalan yang
dibangkitkan oleh Prof Dr Ramlah ialah mengapakah Shamsiah tidak memilih untuk
keluar bersama suaminya Wahi Anuar sebaliknya terus bergerak bersama anggota
Regimen 10 yang sebenarnya merupakan gerila yang menjadi mentee kepada
mentornya PKM dan terus kekal di dalam hutan? Ramai ahli gerila komunis ketika
itu telah sedar dan menyerah diri, namun Shamsiah terus kekal dengan perjuangan
membela komunisme sehingga pada tahun 1956. Sebaliknya nasionalis tulen Melayu
ketika itu sedang berjuang untuk membubarkan Malayan Union dan menanti fajar
kemerdekaan.
Proses menuntut
kemerdekaan Tanah Melayu daripada British pada dasarnya bermula pada 1955
apabila pilihan raya pertama dilaksanakan pada Julai tahun itu. Namun supaya
perjalanan tuntutan kemerdekaan itu tidak diganggu gugat oleh perjuangan dan
serangan gerila komunis yang modus operandinya lebih kepada ‘hit and run’
(serang dan lari) maka Tengku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri berusaha untuk
berbincang dengan PKM agar meletakkan senjata dengan pengampunan bersyarat.
Namun ditolak oleh PKM.
Prof Dr Ramlah Adam
mendakwa, “Keputusan PKM ini
diakui oleh Shamsiah Fakeh dan semua penyokong PKM. Jelas sekali rakyat Persekutuan Tanah Melayu
daripada pelbagai bangsa telah memilih demokrasi berparlimen dan raja
berperlembagaan.”
Malah menurut Prof Dr Ramlah lagi, “Shamsiah sedar tentang perkara
itu, namun Shamsiah memilih untuk menjadi tetamu Parti Komunis dan bertuankan Mao
Tze-tung, pemimpin Komunis dunia yang sangat terkenal itu. Alasannya berhijrah
ke China kerana beliau dihantar untuk belajar selok-belok Komunisme bagi membolehkan lebih ramai orang Melayu dapat ditarik dalam
PKM. Alasan ini membuktikan bahawa beliau memang tetap yakin dan kagum dengan
fahaman itu dan pemimpinnya Mao Tze-tung sebagai tonggaknya. Sedangkan dalam
masa yang sama, negara tanah kelahirannya sedang bergerak mencapai kemerdekaan.
Malah, Shamsiah meninggalkan kawan-kawannya yang lain saperti Rashid Maidin,
Abdullah C.D. dan anggota Rejimen 10 yang menjadikan sempadan Thailand-Malaysia
sebagai pusat operasi mereka sehingga tahun 1989 iaitu tarikh perdamaian dengan
kerajaan Malaysia.”
Adakah kemerdekaan
yang diberikan oleh pihak British menjadikan pemimpin dan negara ini sebagai
boneka British? Tegas Prof Dr Ramlah, kemerdekaan yang diberikan adalah
tertegak atas proses `self-determination’
yang kukuh dan didokong oleh anak negeri sendiri dan bukannya menjadi kuda
tunggangan bekas penjajah.
Dengan itu dakwaan
bahawa kemerdekaan yang telah dicapai pada 31 Ogos 1957 masih dibayangi oleh
neokolonialisme Barat adalah suatu yang tidak benar. Namun transisi dari zon
penjajahan kepada zon kemerdekaan masih perlu dipimpin oleh pihak British dan
Commonwealth terutamanya dalam konteks menentang aliran fahaman komunisme yang
pastinya penjajahannya jika berlaku akan menghancurkan sistem Raja
Berpelembagaan, demokrasi berparlimen serta amalan beragama negara berbilang
kaum ini.
Prof Dr Ramlah juga menghuraikan bahawa pada zaman selepas merdeka “sifat patriotik
atau nasionalime Shamsiah Fakeh juga tidak wujud dihatinya. Dia tidak membela kepentingan negaranya tetapi tetap
mendokong perjuangannya yang selari dengan perjuangan Komunis sedunia. Pada
1965, beliau dan suaminya telah dihantar oleh Parti Komunis China induk kepada
Parti Komunis Malaya, untuk membantu
Parti Komunis Indonesia.”
Sejarah juga menunjukkan bahawa “Shamsiah Fakeh
menjadi penyokong kepada Gerakan Ganyang Malaysia. Sebagai pemimpin sebuah pertubuhan yang dinamakan Liga
Pembebasan Nasional Malaya, yang ditubuhkan khas untuk menjalankan propaganda menentang
Malaysia, Shamsiah Fakeh telah memainkan peranannya di kalangan kaum wanita
Indonesia. Ini adalah salah satu strategi perang saraf untuk menentang
penubuhan Malaysia.”
Demikianlah antara beberapa fakta sejarah yang tidak dilihat oleh
penulis di ROKETKINI.COM. Sebaliknya beliau hanya melihat “daripada perjalanan
hdup nenek” dan cuba mencoret retorik perjuangan genjot atas sentimen Shamsiah
adalah nenekanda beliau.
Saya juga ingin menasihatkan penulis agar pergi ke arkib negara dan
menyelak sejarah kezaliman gerila komunis terhadap masyarakat pribumi yang
tidak menyokong mereka. Lebih baik juga penulis menghubungi Prof Dr Amat Johari
Moin untuk berkongsi pandangan.
Sejarah mungkin boleh dimanipulasikan dan diputarbelitkan, namun fakta
tidak boleh diubah.
*****
**Penulis
merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Prof Datin Paduka Datuk Dr Ramlah
Adam kerana kajiannya yang jelas bagaikan kata bidalan ‘sudah terang lagi
bersuluh’ dengan mendedahkan kegenjotan perjuangan Allayarhamah Shamsiah Fakeh.
Tulisan ini cuba membetulkan konsep perjuangan yang salah itu, dan bukan
menentang Allayarhamah Shamsiah Fakeh, supaya martabat kata kunci ‘nasionalis’
tidak secara wewenangnya disalahtafsirkan.
Oleh Dr RG - 27 Sept 2017
Oleh Dr RG - 27 Sept 2017
1 comment:
Saudara dan saudari yang dikasihi ke dalam Dhamma
Kami ingin memaklumkan kepada semua penganut Buddha di Malaysia tentang Datuk YIP KUM FOOK yang merupakan presiden KUIL BUDDHA SAMNAK SAMBODHI, Taman Desa Jaya, Kepong, Kuala Lumpur. Orang Buddha perlu mengikut banyak peraturan sila, tetapi YIP KUM FOOK tidak ada sebarang peraturan sila dalam agama Buddha, ia sangat memalukan kepada orang ramai
Juga, dia memanggil polis untuk mengganggu Sami Buddha di kuil. Menambahkan dia menipu wang Rm20,000.00 Sami Myanmar (Ven. Nandiya) tidak pernah membayar balik, ramai orang tahu mengenainya.
Sebaliknya, Datuk YIP KUM FOOK ini tidak malu dan segan terhadap penganut Buddha atau Buddha, dia berpendapat, dia seorang yang sangat berjaya, juga dia kotor dalam politik MCA.
Terima kasih banyak-banyak dan tolong kongsikan dengan semua
Encik Fong, Kajang
Diterjemahkan oleh Dr. Chew
Post a Comment