NAJIB TIDAK MENYEMBAH DAN MENGEMIS


KRITIKAN pedas terhadap kenyataan YAB Perdana Menteri untuk melabur di AS yang sesetengahnya tidak berasas, sememangnya dijangkakan. Ibarat bidalan Melayu, “Kalau sudah benci bunga harum pun dibaunya taik.”

Ada yang mengatakan bahawa YAB PM tidak perlu melabur di AS kerana ekonomi negara itu sedang berada pada tahap kemuncak. Dengan itu akan berlaku putaran ekonomi yang akan merugikan negara pelabur. Persepsi sedemikian seakan-akan merujuk pada pelaburan mata wang asing atau pelaburan saham yang ada naik turunnya.

Namun sebelumnya apabila YAB juga menjemput China untuk datang melabur di Malaysia, persepsi yang sama juga terpantul daripada pandangan genjot golongan yang serupa.

Apakah mereka mahu Malaysia melabur di negara-negara yang parah eknominya supaya apabila berlaku gelombang kebangkitan semula, maka pelaburan Malaysia akan memperoleh keuntungan? Apakah ada jaminan kebangkitan sedemikian?

Sebaliknya kita percaya bahawa sekiranya Malaysia melabur di negara yang parah dah goyah ekonominya, seperti Brazil misalnya, yang merudum 35% tahun lalu, pasti lagi rencam kritikan yang dilontarkan terhadap YAB PM dan delegasi Malaysia.

Namun golongan anti-Najib ini lupa bahawa Malaysia telah melabur RM47.2 bilion, dengan keuntungan bersih bernilai RM25.3 bilion dalam pelbagai sektor. Malah pelaburan antarabangsa negara berjumlah RM1.7 trilion pada suku kedua tahun ini.





Kedudukan ekonomi Amerika Syarikat pada waktu ini amatlah kukuh dan merangsangkan negara pelabur kerana KDNK negara itu bernilai 19.42 Triliion USD, yang tertinggi di dunia selepas China, Jepun, German, UK dan India (Enam tertinggi di dunia). Bahkan AS menyumbang 25% daripada keluaran dunia keseluruhannya.

Kenyataan akhbar berkenaan pelaburan Malaysia di AS tidak diperincikan, walau bagaimanapun dalam konteks pelaburan KWSP, sebagaimana yang difahamkan, ia akan tertumpu kepada projek infrastruktur AS iaitu pembinaan lebuhraya yang menjangkau USD 3 hingga 4 bilion.



Jika ini yang menjadi pelaburan strategik KWSP di AS itu, maka ia tidak terdedah kepada risiko kerugian sebagaimana pelaburan dalam industri perkilangan, pelaburan saham atau foreks kerana ia merupakan projek pembinaan dalam konteks kontrak pembinaan infrastruktur.

KWSP bukan sebuah badan yang lembam dan kaku dalam mengendalikan wang milik rakyat. Ia harus bertindak proaktif dalam hal pelaburan dan pusingan modal untuk bersama-sama berkongsi keuntungan sebagai badan yang diamanahkan mengendali wang rakyat.

Khazanah pula mahu membeli pesawat daripada Boeing Aircraft Corporation AS dalam perancangan strategiknya untuk memulihkan kekuatan MAS serta mengangkat semula reputasi MAS lebih-lebih lagi selepas tragedi MH370 dan MH17. Malah Khazanah mendukung bersama nama baik negara dalam misi memartabatkan MAS.

Tindakan khazanah adalah bijak dan tidak boleh dilengahkan kerana nilai aset sedemikian akan terus meningkat naik atas faktor masa dan perkembangan ekonomi dunia. MAS perlu kembangkan sayapnya ke destinasi popular global untuk menyemarakkan lagi industri pelancongan.

Semua strategik pelaburan ekonomi YAB Najib dan delegasi Malaysia adalah untuk membina satu atmosfera politik yang sihat antara Malaysia-AS kerana visi delegasi Malaysia bukan berlegar kepada sekadar isu ekonomi tetapi juga isu terorisme global serta isu Rohingya yang amat penting untuk direstui oleh Presiden Trump.

Namun begitu aspek utama yang harus rakyat lihat dan sanjung ialah pendekatan diplomasi politik YAB PM ketika berhadapan dengan Presiden Trump yang mengangkat bersamanya ketrampilan Malaysia sebagai negara Dunia Ketiga yang hebat.

Sebagaimana yang dipetik daripada BERNAMA dan The White House, antara lain kata YAB Najib, yang diterjemahkan dalam bahasa ibunda, “Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS (we want to help you in terms of strengthening the U.S. economy). KWSP kami, memiliki modal yang besar untuk dieksport, mereka melabur hampir US$7 bilion dari segi ekuiti di AS dan mereka berhasrat untuk melabur tambahan US$3 bilion hingga US$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula prasarana anda (we want to help you to support your infrastructure redevelopment).”

Sudah terang lagi bersuluh, YAB Najib telah menjunjung nama baik Malaysia sebagai negara Dunia Ketiga yang tersohor. Beliau bukan datang dengan nada pengemis, merayu, merintih dan menyembah sebaliknya beliau datang sebagai wira Dunia Ketiga yang mahu membantu gergasi ekonomi dan raksasa ketenteraan dunia.


Oleh Dr RG
Sumber: Selangor Press

No comments: