BERHATI-HATI DENGAN GEJALA BALKANISASI SIBER


‘BALKANISASI siber’ sebagaimana yang diperkenalkan oleh Cass Sunstein adalah gejala media siber yang menjadikan khalayak terpisah, membentuk koloni masing-masing dan ganas terhadap kumpulan yang tidak sepemikiran dengan mereka.

Pada terasnya, konsep ‘balkanisasi’ atau melalui kata akarnya ‘balkan’, diberikan kepada fenomena kebebasan negara-negara Balkan, yang menjadikan mereka terpisah dan ganas terhadap negara jiran yang tidak sependapat dengan mereka.

Dampak sedemikian juga mempunyai kebarangkalian dalam kalangan khalayak media siber kerana ada kebarangkalian yang tinggi bahawa mereka terpisah dengan masyarakat arus perdana, sebaliknya membentuk koloni sendiri dengan keinginan, citarasa dan minat yang serupa sesama mereka.

Fenomena ini membentuk masyarakat yang terkurung dalam kepompong sempit (Bubble Society) yang menyempitkan pula minda dan falsafah hidup mereka.

Gejala sedemikian boleh berlaku kerana pengguna media siber boleh menempah bahan media siber mengikut citarasa dan tuntutan-tuntutan peribadi (customisation and personalisation), terutamanya melalui enjin carian.

Katakan ada golongan yang berminat tentang seseorang figura selebriti, maka boleh sahaja mereka menempah, memilih, menapis, menyebar dan menularkan bahan tersebut kepada golongan yang mempunyai citarasa yang sama.

Misalnya ada seorang peminat Jennifer Lopez yang mahu mendapatkan informasi mengenai selebriti yang diminatinya itu. Dia boleh sahaja menempah bahan berita tentang Jennifer Lopez melalui Google, Fire Fox, Bing, Ecosia, Exalead, Munax, Qwant, Yahoo, Yandex, Internet Explorer dan pelbagai lagi enjin pencarian.

Jika dia menggunakan Google (pada tarikh 24 Sept 2017) untuk mencari laman sesawang yang membicarakan tentang Jennifer Lopez, maka dia akan memperoleh 59.9 juta laman sesawang yang membicarakan tentang Jennifer Lopez. Dia juga boleh mendapatkan 1.79 juta berita tentang Jennifer Lopez 4.5 juta gambar Jennifer Lopez dan 1.14 juta video berkenaan selebriti tersebut pada tarikh yang sama. Ia pasti sahaja membina kegilaan terhadap selebriti tersebut.

Bukan itu sahaja, khalayak siber boleh pula dengan lewahnya mencitarasakan pemilihannya. Misalnya dia boleh memilih gambar Jennifer Lopez, kemudian dicitarasakan kepada gambar bogel Jennifer Lopez.

Pastinya pada darjah yang ekstrim dia boleh terjerumus pada satu fenomena psikologi yang menjadikan dirinya taksub dan terasuk (obsessed and possessed).

Bagi Cass Sunstein khalayak seperti ini boleh pula membina koloni yang mempunyai citarasa dan minat yang sama (like-minded group). Hal ini tidak menjadi suatu gejala yang mustahil kerana hari ini kita lihat ramai yang mempunyai kumpulan whatsapp, beetalk, telegram, wechat, instagram dan banyak lagi aplikasi yang membolehkan khalayak membina kumpulan sembang melalui telefon bimbit yang tidak lekang dari tangan.

Kita tidak bimbang tentang kerasukan khalayak terhadap seseorang selebriti, tetapi kita bimbang kerasukan khalayak terhadap gejala jenayah, perkauman, keganasan dan kegilaan seksual yang melampau seperti penofilia, gay, dan lesbianisme serta keganasan anti-undang-undang dan anti-demokrasi yang boleh membawa kepada anarkisme.

Di negara kita kebebasan Internet dimaktubkan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, apabila dicatatkan bahawa tiada apa-apa jua dalam akta tersebut yang membenarkan penapisan terhadap bahan siber. Keadaan kebebasan sedemikian berbeza dengan peruntukan perundang-undangan di Singapura, China dan Arab Saudi (sekadar memberi contoh).

Di Malaysia peruntukan kekebasan tersebut telah diulang melalui Bil Jaminan Koridor Raya Multimedia. Adakah kebebasan ini yang menyebabkan jenayah siber berleluasa?

Kadar jenayah siber di Malaysia berada pada tahap membimbangkan apabila 10,000 kes dilaporkan berlaku setiap tahun dengan nilai kerugian pada tahun 2016 mencecah RM2.7 juta.

Namun perlu juga dicatatkan bahawa kebebasan siber daripada kekangan penapisan tidak pula membebaskan khalayak maya daripada Akta Fitnah, Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Kita faham bahawa kebebasan yang diberikan kepada media baru mengangkat falsafah bahawa kerajaan mengutamakan percambahan maklumat, ilmu dan idea yang boleh membangunkan keupayaan intelek rakyat Malaysia seiring dengan bangsa lain yang sudah maju.

Di samping itu hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub teknologi komunikasi dan informasi di Asia Tenggara, mendesak kerajaan supaya melayani kehendak pelabur asing dalam industri berkenaan.

Namun pada ketika ini kita dapat melihat elemen-elemen yang bertentangan dengan harapan kerajaan khususnya dalam konteks keharmonian sosial bagi masyarakat berbilang kaum.

Pertentangan ini dapat dikesan daripada kelewahan bahasa kesat dengan caci-cerca dan maki-hamun antara kaum yang berlangsung melalui Internet. Suasana sedemikian pastinya tidak membantu integrasi nasional apatah lagi membina hubungan empatetik antara kaum, agama, budaya dan adat resam.

Sebagaimana yang dilihat pada tarikh 24 September 2017, melalui Google, jumlah bahan yang menularkan maki-hamun melalui siber amat lewah.



Lebih menggerunkan jika kita mencari melalui Google “How to make bomb to kill people” (bagaimana membuat bom untuk membunuh orang) maka kita akan menemui 5.07 juta bahan maklumat berkenaan dengannya.

Keganasan minda sedemikian boleh sahaja mengheret khalayak siber yang terasuk untuk menjadi ganas di alam nyata. Malah apabila dicari pula isu “Come and join DAESH” (Mari menyertai DAESH), terdapat 531,000 bahan yang berkaitan dengannya.

Kita tidak hairan jika ada dalam kalangan rakyat kita sendiri yang termakan dengan pujukan untuk menyertai kumpulan militan yang telah dilabelkan sebagai pengganas.

Pakar psikologi menganggarkan 10% daripada pengguna Internet telah dijangkiti ‘gangguan penagihan Internet’ atau ‘Internet addiction disorder’ (IAD) iaitu satu fenomena psikologi yang boleh mengakibatkan ketaksuban dan keterasukan.

Dalam konteks demokrasi ahli masyarakat tidak boleh merujuk semata-mata kepada bahan informasi laman sesawang atau akhbar dalam talian yang tertentu sahaja, sebaliknya ia harus mendapatkan juga bahan informasi daripada pelbagai wadah daripada negara tempatan dan tidak juga melupakan saluran antarabangsa.

Oleh itu kita harus berhati-hati agar keterasukan yang membawa kepada gejala balkanisasi siber ini tidak menjangkiti diri kita sendiri.


Oleh Dr RG
Sumber: Selangor Press

No comments: