PADAN MUKA MELAYU?


UMNO ditubuhkan pada 1946. Ketika itu ramai yang meletakkan harapan tinggi bahawa inilah satu-satunya parti bagi orang Melayu bergantung harapan demi survival hidup mereka dan anak-cucu di Tanah Melayu.

Namun apabila parti Pas yang bertunjangkan Islam ditubuhkan pada tahun 1951, lalu terpecah etnik Melayu di Semenanjung berasaskan parti politik terbesar; Umno dan Pas. Inilah Gelombang Pertama perpecahan Melayu. Namun perpecahan itu tidak tuntas kerana Pas masih mahu bersama dengan Umno; cuma prinsip keislaman dalam Pas itu dikatakan lebih tebal berbanding Umno.

Ibarat lain kapal lain nakhodanya, Pas muncul pula dengan Amanat Hj Hadi dan sekali gus umat Islam yang bersinonim dengan Melayu di Semenanjung, terbelah dua kembali tetapi dalam darjah lebih parah bagaikan patahnya arang. Inilah Gelombang Kedua perpecahan Melayu di Semenanjung sehingga terbangkit isu solat dua imam, sembelihan ahli Umno haram dimakan, kafir-mengkafir sesama Islam, malah ada yang berani menuding jari mengaitkan tragedi Memali (1985) dengan amanat itu.

Perpecahan itu digoyahkan lagi pada tahun 1988 dengan kewujudan Semangat 46, pimpinan YM Tengku Razaleigh Hamzah dan tokoh-tokoh hebat Umno ketika itu yang tidak sehaluan dengan kepimpinan Perdana Menteri. InilahGelombang Ketiga perpecahan Melayu yang sedikit sebanyak telah membibitkan parasit yang mendendami pihak yang dimusuhinya meskipun sesama Melayu. Namun Semangat 46 terbubar pada tahun 1996.

Pada 1998 berlaku pula Gelombang Keempat apabila meletup pula isu “Anwar lawan Mahathir” atas isu rasuah dan sodomi. Selari dengan gelombang itu wujudlah parti Keadilan Nasional yang bersatu hati dengan DAP yang kononnya pada suatu ketika dilihat sebagai parti Cina yang anti-Melayu-Islam.

Soal perjuangan membela Melayu diketepikan kerana “Politic is a game of power”. Sealiran dengan falsafah sedemikian, musuh boleh menjadi kawan, dan kawan walaupun seagama, boleh menjadi musuh.

Dalam pada itu atas prinsip mahu menguasai Putrajaya, Pas yang sejak lama membenci Umno juga berganding bahu bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat. Masih terbayang apabila orang kuat Pas meraikan hari lahir bersama Lim Kit Siang; suatu jalinan siratulrahim yang sungguh meloyakan. Sedangkan kita saksikan pemimpin hebat seperti Dato Dr Hasan Ali yang cuba mendedahkan gejala maksiat dan murtad telah disingkirkan.

Jika dahulunya Pas mengklasifikan DAP sebagai syaitan, namun pada ketika berbaik-baik itu timbul pula falsafah baru “Kita boleh bersahabat dengan syaitan jika syaitan dapat membantu kita menguasai Putrajaya”. Itulah dia, politik membenarkan perubahan prinsip dan falsafah genjot.

Melayu terus berpecah dan keadaan selepas 1995 menjadi lebih parah apabila Internet mula diperkenalkan. Kebebasan bersuara menjadi lebih nyata kerana atas dasar mahu mengangkat Malaysia sebagai hub ICT antarabangsa terutamanya di gugusan ASEAN, kebebasan Internet daripada penapisan pihak berkuasa telah dimaktubkan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Maki hamun, carut-marut dalam laman sesawang, Facebook, dan kini dengan pelbagai wadah media sosial, menjadikan situasi alam berbilang kaum Malaysia lebih haru-biru.

Malah dari aspek psikologi personaliti, apabila seseorang itu boleh mengkritik orang lain, atau mengkritik pihak lain, maka dia akan rasa bangga seakan-akan ia lebih hebat daripada pihak yang dikritiknya. Maka ramailah yang mengutuk dan menghentam kerajaan jika ada sedikit salah silap dan kealpaan, kerana mahu dilihat hebat.

Namun yang menakutkan kita ialah fitnah, pembohongan, celaan, pujukan, hasutan dan keracunan minda rakyat yang datang bertubi-tubi menyerang pemikiran masyarakat melalui media baru. Ibarat kata Adolf Hitler “Biarkan pembohongan itu diulang dan diulang, akhirnya pembohongan akan diterima sebagai kebenaran.” Maka menyemarak lagilah kutuk-mengutuk hina-menghina bukan sahaja bangsa, malah agama sehingga dunia diperkenalkan dengan gejala islamafobia, LGBT dan golongan anarkis yang mahu bebas sebebasnya daripada kawalan undang-undang.

Dalam gamatnya kita dilanda sunami media baru, kini timbul pula Gelombang Kelima perpecahan Melayu, apabila bekas Perdana Menteri Ke-4 dalam usahanya menentang Perdana Menteri sedia ada, mewujudkan parti baru Melayu untuk menambah-kecilkan lagi kuasa politik Melayu.

Saya pernah bertanya suatu ketika dahulu mengapakah tuan menentang Pak Lah sedangkan tuanlah yang melantik Pak Lah, malah seluruh dunia menyiarkan berita bahawa tuanlah yang menuding jari pada Pak Lah supaya Pak Lah duduk di kerusi tuan menggantikan tuan. Jawab beliau dalam Che Det, Pak Lah gagal melaksanakan apa yang dihasratkannya (mungkin isu jambatan bengkok di Tambak Johor). Pada ketika ini YAB Najib pula yang menjadi sasaran dengan agenda serangan yang menjulang isu 1MDB yang kini muak dan mual dalam tekak dan perut rakyat.

Walau bagaimanapun dalam Gelombang Kelima ini, Pas baru sedar (sedangkan rakyat umum dah lama sedar) tentang kesilapannya bersekongkol dengan DAP. Pas telah meninggalkan Pakatan Rakyat kerana sedar bahawa ia telah dipergunakan dan dihina DAP. Mungkin juga Pas sudah lama mahu berubah tetapi hanya berpeluang berubah setelah mangkatnya Mursyidul Amnya yang terdahulu sebelum Almarhum Dato’ Dr Harun Din.



Meskipun masih tidak bersama Umno secara rasmi, perpisahan Pas daripada Pakatan Rakyat, yang kini wujud sebagai Pakatan Harapan (Pakatan Rakyat terbubar pada 2015), menjadikan pakatan pembangkang tempang dan cacat. Namun Melayu tetap berpecah, berpecah menjadi komponen yang lebih kecil-kecilan yang membawa kesan kepada kekuatan politiknya yang turut kian lemah.

Sebagaimana pernah seorang pengarang akhbar ulung Melayu berkata kepada saya, “Biarkan Melayu berpecah, dan biar padan muka Melayu nanti apabila negara ini bukan lagi di bawah kuasa mereka. Ketika itu baru mereka sedar.”

Dalam konteks ASEAN, kita harus sedar bahawa sekiranya pemimpin Thailand jatuh, yang akan dijulang ialah pemimpin pribumi Thailand juga, begitu juga dengan Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Cambodia dan Myanmar. Situasi politik di Singapura yang bukan lagi dikuasai oleh rakyat pribumi tidak boleh diubah kerana rakyat pribumi di Singapura telah lama secara senyap bermigrasi. Atau mungkin mereka dihalau dengan cara yang penuh sopan.

Kuasa politik Melayu-Bumiputra di Malaysia tidak mantap, kerana statistik penduduk mencatatkan hanya berjumlah kira-kira 68 peratus. Itupun tidak mengambil kira 18 peratus bumiputra Sabah Sarawak dan juga Semenanjung yang bukan beragama Islam. Dengan perkiraan sedemikian kuasa Melayu-Islam hanyalah 50 peratus dan kuasa bukan pribumi-bukan Islam ialah 50 peratus juga. Anehnya Melayu-Islam ini masih berpecah dan tidak sedar diri.

Oleh Dr RG
Sumber: Selangor Press

No comments: