12 March 2014

Wan Azizah Sekali Lagi Mendapat Peluang Bertanding Dalam Pilihan Raya


Mungkin tidak ramai menduga bahawa pilihan raya kecil Kajang akan menghidangkan satu lagi peluang kepada presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding sebagai calon apabila beliau dipilih pada saat-saat akhir oleh parti itu menggantikan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding bagi kerusi berkenaan.

Dr Wan Azizah, 61, yang pernah menjadi Anggota Parlimen Permatang Pauh dari 1999 hingga 2008, antara lain diingati ramai kerana mengosongkan kerusi itu untuk membolehkan suaminya bertanding dan menang di situ pada Ogos 2008.

Beliau akan bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun daripada MCA seperti yang diumumkan setelah selesai proses penamaan calon di Bandar Baru Bangi hari ini.

Dr Wan Azizah mendapat pendidikan awal di St Nicholas Convent School, Alor Setar sebelum mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di Royal College of Surgeons, Ireland dan lulus sebagai ahli ofthalmologi bertauliah.

Beliau berkhidmat sebagai doktor kerajaan selama 14 tahun, sebelum mengambil keputusan untuk memberi tumpuan terhadap kerja sukarela apabila Anwar dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 1993.

Dr Wan Azizah mula menceburi arena politik apabila suaminya dipecat dan ditangkap pada September 1998, yang kemudiannya melahirkan suatu gerakan hingga tertubuhnya PKR.

Dalam pilihan raya pertama yang ditandingi parti itu pada 1999, beliau dipilih sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh, kerusi yang sebelum itu diwakili Anwar, dengan memperoleh majoriti 9,077 undi. Beliau mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya 2004.

Pilihan raya kecil Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut oleh penyandangnya daripada PKR Lee Chin Cheh pada 27 Jan, yang dipercayai bertujuan memberi laluan kepada Anwar untuk mencapai hasratnya menjadi Menteri Besar Selangor.

Dr Wan Azizah dipilih sebagai calon PKR bagi kerusi itu apabila Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan kerana kesalahan meliwat bekas pembantunya pada 2008.

No comments:

Know us

Our Team

Video of the Day

Contact us

Name

Email *

Message *