Saya Tidak Pernah Sertai PKR – Mohd Faisal


“Saya masih ahli UMNO dan tak pernah sesekali menyertai PKR,” tegas Ketua Pemuda UMNO Sungai Kantan Peringkat 3, Mohd Faisal Ariffin (tengah) yang mendakwa dirinya difitnah apabila diumumkan menyertai PKR di Stadium Kajang, kelmarin.

Bendahari Pemuda UMNO Hulu Langat itu berkata, tindakan PKR yang mengaitkan namanya daripada 100 ahli Umno menyertai PKR adalah perbuatan jahat dalam permainan politik pembangkang.

Menurutnya, dia mengetahui perkara itu menerusi panggilan telefon daripada ahli UMNO ketika sedang bermesyuarat di Bilik Gerakan UMNO Malaysia yang mahukan kepastian darinya.

“Saya sangat terkejut mendengar berita itu. Ahli lain mahukan kepastian sedangkan saya tidak pernah terlintas mengkhianati UMNO untuk sertai PKR,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, semalam.

Beliau menyelar tindakan PKR yang membuat pengumuman menyebarkan maklumat yang sama sekali tidak berasas itu.

Mohd Faisal turut mencabar pihak yang mengumumkan maklumat berkenaan bersemuka dengannya dan tidak berselindung.

“Saya tidak kisah dengan permainan politik PKR. Cara ini dah jadi darah daging mereka selain mengaibkan orang lain semata-mata mahu menang dalam pilihan raya.

“Inilah wajah dan sikap PKR yang sengaja memutar belit untuk meraih simpati dari ahli Umno dan rakyat.

“Mereka tahu mereka semakin goyah di Kajang jadi terpaksa timbulkan spekulasi dari perkara yang tidak wujud,” katanya.



Sumber : Selangor Press

No comments: