Seorang remaja dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik berhampiran sebuah pasaraya, di Puncak Alam, Kuala Selangor, petang tadi.
Remaja tersebut, Mohammad Ikmal Hakim Kamarul Bahrin, 13, dari kawasan sini merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam 2, dilaporkan hilang semasa cuba menyelamatkan basikalnya yang terjatuh ke dalam tasik, kira-kira 6.00 petang tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bestari Jaya, Amerhaizal Sahak ketika dihubungi berkata pasukan bomba dengan kekuatan 12 anggota dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 6.01 petang tadi.
“Seramai lapan anggota penyelam masing-masing empat dari balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan BBP Shah Alam ditugaskan mencari mangsa.
“Sehingga kini, usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan,” katanya ketika ditemu ramah di lokasi kejadian.
Sehingga masa ini, mangsa masih belum ditemui, manakala pasukan bomba telah mengeluarkan arahan untuk mengepam keluar air tasik berkenaan bagi memudahkan operasi mencari.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim turut hadir dan bersama-sama penduduk setempat menyertai bacaan Yassin di lokasi kejadian.
No comments:
Post a Comment