Maya Karin Cari Lelaki Berani.. Lu Orang Berani Tak?..



Beliau umpama jinak-jinak merpati, apabila didekati ia semakin terbang tinggi. Tidak mudah menagih cinta aktres jelita, Maya Karin Roeckle, 33 kerana selepas bercerai, hatinya kini belum terbuka menerima lamaran manamana lelaki. 

Bukan jual mahal atau serik dengan kegagalan silam, sebaliknya pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu lebih bahagia hidup tanpa genggaman lelaki. Baginya, tidak sukar mencari cinta, tapi untuk mendapatkan pasangan serasi, berdikari dan lasak bukan kerja mudah. 

Andai tertulis di loh mahfuz dirinya bercinta dan berkahwin lagi, anak kelahiran Bayreuth, Bavaria, Jerman yang mencipta gelombang kemasyhuran menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam dan Ombak Rindu itu tidak mampu menolak ketentuan takdir. 

Jujurnya, Maya akui: 

“Bohonglah kalau saya katakan tiada lelaki cuba merapati, tapi biarlah dulu... Pengembaraan saya ke luar negara menemukan saya dengan beberapa lelaki, tapi sukar buat saya menjalinkan hubungan cinta jarak jauh. Mungkin tiada halangan untuk berkawan tapi mahu menjalin dan mengekalkan hubungan apabila bercinta, susah sikit. 

“Diakui saya menemui lelaki yang disukai, tapi saya seorang yang agak praktikal. Saya malas nak bercinta seperti zaman remaja dulu. Nak hubungi dan bertemu setiap hari, kena cakap saya rindu awak, letihlah. Saya tiada masa untuk perhubungan cinta seperti itu. 

“Jadi, saya tetap memilih hidup solo buat masa ini. Saya bahagia dan tenang dengan kehidupan hari ini. Tidak nafikan, saya pernah terfikir mahu hidup berkeluarga dan punya cahaya mata seperti pasangan suami isteri lain, tapi perasaan itu datang hanya sesekali. 
“Lagipun, hidup saya tidak pernah rasa kesunyian, malah ada ketikanya, saya rasa seperti tidak cukup masa buat diri sendiri. 

Saya tinggal bersama ibu dan banyak masa dihabiskan dengan teman baik. Ada saja teman yang mengajak saya keluar setiap masa. 

“Bagaimanapun, saya tidak boleh menolak ketentuan takdir jika bertemu jodoh suatu ketika nanti. Tapi, buat masa ini, saya mahu menikmati hidup bersendirian sepuas-puasnya. 

Saya mahu mengembara ke negara yang disukai dan melakukan aktiviti lasak yang jarang dapat dilakukan dulu.” 

Sungguhpun begitu, Pelakon Wanita Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2012 itu berkata, dia tetap mengimpikan seorang lelaki yang berdikari dan tidak bergantung hidup dengannya. 

“Selain berdikari, saya suka lelaki lasak dan boleh menemani saya mengembara. Saya tidak pernah memandang darjat atau pangkat, apatah lagi kemewahan. 

Cukup sekadar memiliki lelaki yang berani dan memiliki pendirian yang tinggi,” katanya yang baru saja pulang dari menawan puncak Gunung Tserkori di Langtang, Kathmandu, Nepal, baru-baru ini.

No comments: