25 August 2012

Buletin Mutiara album gambar Dinasti Lim?



Oleh ZULKIFLI JALIL dan KASTHURI JEEVANDRAN
pengarang@utusan.com.my

ALAHAI! Belum reda lagi sebenarnya kekecohan dalam kalangan media Pulau Pinang berhubung gelagat Ketua Menteri, Lim Guan Eng dengan penyiaran 51 gambarnya - walaupun muka suratnya hanya 28 helaian pada keluaran Buletin Mutiara Mei lepas.

Gara-gara 'kerenah' sedemikian rupa, 'pasukan' Buletin Mutiara telah bertindak dengan 'efisien' mengurangkan gambar pemimpin mereka itu, dengan hanya menyiarkan 28 gambar sahaja dalam 28 muka surat pada keluaran Julai lepas. Tetapi agak kelakar bunyinya kerana masih tidak nampak pun sebarang perbezaan ketara kerana Guan Eng masih menonjol dalam buletin itu.

Barangkali, selepas mendapat tekanan serta kritikan hebat daripada media di negeri itu, Guan Eng seperti biasa mengambil jalan selamat dengan menyalahkan pasukan buletin tersebut sebagai 'tersilap secara teknikal'. Akibatnya, Pengarah Komunikasi Kerajaan Negeri, Yap Lee Ying segera memohon maaf melalui satu kenyataan media baru-baru ini dengan menyatakan, penyiaran 51 gambar Guan Eng merupakan kesilapan teknikal dan tidak akan berulang.

Kesilapan teknikal kali ini turut 'diperbetulkan' dengan kehadiran isteri Ketua Menteri, Betty Chew yang kelihatan 'agak anggun' pada keluaran buletin tiga bahasa tersebut. Jika sebelum ini. Betty hanya gemar mengenakan seluar 'slack' dan pakaian pendek yang kelihatan seperti wanita bekerjaya, kini dia tampil mengenakan busana, gaun beserta aksesori. 

Beberapa gambar Betty turut dimuatkan dalam Buletin Mutiara walaupun sebelum ini hanya gambar-gambar suaminya sahaja mendominasi buletin itu. Akhbar-akhbar berbahasa Cina mendakwa penampilan Betty kini kelihatan lebih bergaya.

Betty dikatakan kini lebih gemar menghabiskan masa menemani suaminya ke majlis-majlis penting serta berprofil tinggi di Pulau Pinang. Bagaimanapun dia masih ADUN Kota Laksamana di Melaka. Walhal, kalau nak diikutkan, rakyat Melakalah yang lebih memerlukannya berbanding Pulau Pinang. Tetapi ada pula masa dihabiskan di Pulau Pinang termasuk menghadiri pertunjukkan fesyen baru-baru ini. Media turut melaporkan Betty mengambil bahagian dengan memperagakan beberapa pakaian di Tanjong Tokong beberapa minggu lepas.

Buletin Mutiara didakwa dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dengan peruntukan RM300,000 setiap dua bulan. Cuma, rakyat atau umum hendak tahu juga adakan duit peruntukan tersebut dikeluarkan daripada dana DAP. Ataupun menggunakan Wang Rakyat negeri itu hasil dari cukai yang dikutip? Sungguh tidak adil andainya wang tersebut milik rakyat kerana jelas sekali Buletin Mutiara memainkan peranan penting dalam menyebarkan propaganda DAP dan keluarga dinasti Lim kerana hanya mereka yang lebih menonjol.

Satu ketika, Buletin Mutiara ini akan diedarkan sendiri oleh DAP pada program-program kerajaan negeri. Pada masa sama ia diletakkan di sekitar masjid,pusat beli belah dan kawasan-kawasan tarikan pelancongan. Namun, kini mereka lebih 'hebat' apabila melantik syarikat tertentu untuk mengedarkan buletin tersebut rumah ke rumah.

Mengapa sampai begitu sekali? Mengapa menyajikan propaganda DAP kepada rakyat Pulau Pinang dengan begitu agresif? Adakah kerana buletin itu tidak mendapat sambutan dalam kalangan rakyatnya? Mungkin juga kerana rakyat sudah mula sedar tembelangnya.

Baru-baru ini terdapat kecaman daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kerana menggunakan buletin itu sebagai platform untuk menghentam kerajaan.

Ketua Wanita MCA Pulau Pinang, Tan Cheng Liang berkata, buletin tersebut hanya digunakan sebagai media untuk memberitahu rakyat di negeri itu terhada aktiviti selain dasar dan polisi kerajaan negeri.

"Andainya pakatan pembangkang mahu berbicara tentang politik atau membuat kecaman kepada mana-mana ahli politik kerajaan Persekutuan, mereka harus menggunakan medium yang sesuai. Gunalah duit sendiri untuk keluarkan akhbar propaganda . Tetapi bukannya menggunakan wang rakyat" tegasnya.


No comments:

Know us

Our Team

Video of the Day

Contact us

Name

Email *

Message *