08 January 2013

Kristian Malaysia Gembira PAS Sokong Kalimah Allah



Bishop Katholik, Dr Paul Tan Chee dan ramai penganut Kristian yang lain mempunyai asas kukuh untuk bergembira dan berasa lega bila mana Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu memberi jaminan bahawa parti itu kekal dengan pendirian menyokong penggunaan kalimah suci Allah s.w.t oleh orang bukan Islam.

Lebih-lebih lagi jaminan oleh Mat Sabu itu timbul tepat pada masanya selepas beberapa pemimpin PAS yang lain cuba bersandiwara dengan mempertikaikan pengunaan kalimah Allah s.w.t untuk kegunaan Kristian khususnya dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.

"Jaminan Mohamad Sabu bahawa pendirian yang dibuat tiga tahun lalu masih kekal adalah satu kelegaan yang besar," demikian kata Bishop Kristian itu, merujuk pada keputusan muktamad PAS pada 2010 yang bersetuju penganut Kristian menggunakan kalimah Allah s.a.t bagi merujuk pada Tuhan Jesus.

Pada 15 Mei 2010, Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat tanpa berselindung telah bersetuju yang DAP boleh mengguna pakai kalimah Allah s.w.t demi mencapai kepentingan politik mereka termasuklah memasukkan kalimah itu dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Kenyataan Nik Aziz itu bagaimanapun bercanggah dengan pandangan Timbalan Mursyidul PAS, Dr Haron Din yang membantah sebarang usaha oleh DAP ataupun pihak gereja Kristian daripada memanipulasi kalimah suci tersebut.

Pun begitu, pendapat Nik Aziz itu disokong kuat oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang berpendapat penganut Kristian atau agama lain tidak wajar disekat daripada menggunakan kalimah Allah s.w.t untuk apa tujuan sekalipun.

Kira-kira seminggu lepas, Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Setiausa Agung PAS, Mustafa Ali dan Pesuruhajaya PAS Selangor, Dr Rani Osman telah tampil menegaskan kalimah Allah hanya terpakai untuk orang Islam sahaja.

Ketiga-ketiga mereka sepakat perkataan GOD di dalam kitab Bible Inggeris hanya sesuai diterjemahkan kepada kata ganti nama TUHAN untuk kitab Bible versi Bahasa Melayu dan bukannya kalimah Allah sebagaimana dituntut oleh paderi dan gereja Kristian.

Namun dengan penegasan terbaru oleh Mat Sabu bermakna sia-sialah usaha segelintir pimpinan PAS ini dalam cubaan mereka untuk menonjolkan kejaguhan demi mempertahankan kalimah suci Allah s.w.t daripada agama lain.

Dengan percanggahan terbuka yang sedang membelenggu PAS tika ini, ramai pemimpin PAS yang lain terpinga-pinga bengong sendirian manakala penyokong PAS diperingkat akar umbi pula sekejap angguk sekejap geleng tanpa mengetahui ke mana hala sebenar yang nak dituju.

Yang pastinya dengan kecelaruan yang timbul ini, para penganut Kristian dan DAP sendiri sudah boleh mendabik dada dan berbangga kerana hasil keampuhan kerjasama mereka, sekali lagi PAS berjaya ditundukkan.