Ads Top

Anwar Ibrahim Tidak Layak jadi pemimpin Islam – Ikhwan Muslimin

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Wakil perikatan pimpinan Ikhwan Muslimin yang berpangkalan di London, Dr. Azzam Tamimi menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang tidak layak menjadi pemimpin Islam kerana menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel.

Pengarah Institut Pemikiran Politik Islam (IIPT) itu berkata, seorang pemimpin Islam tidak seharusnya menyatakan pendirian yang bertentangan dalam kepercayaan umat Islam berhubung isu Palestin.

“Anwar Ibrahim sebagai pendukung perjuangan Islam di Malaysia baru-baru ini dipetik melalui The Wall Street Journal telah memberi sokongan kepada usaha menjaga keselamatan negara Israel.

“Ini adalah tindakan seorang pemimpin Islam yang benar-benar tidak layak memimpin,” katanya melalui entri blognya www.azzamtamimi.blogspot.com.

Anwar baru-baru ini mencetuskan kontroversi berhubung kenyataannya melalui The Wall Street Journal yang dipetik sebagai berkata: “Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel.”

Bagaimanapun, selepas dikecam pelbagai pihak, Anwar menuduh kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin sengaja diputar-belit oleh media tempatan bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Azzam yang merupakan penganalisis isu Palestin dan Timur Tengah turut mengemukakan perkara asas yang perlu difahami berhubung isu Palestin-Israel iaitu.

* Palestin merupakan kawasan Arab Islam yang diserang kuasa Barat yang menubuhkan negara Zionis bagi menyelesaikan masalah Yahudi yang teruk di Eropah.

* Masalah di Palestin tidak berpunca daripada persengketaan antara penganut Islam dan Yahudi kerana kedua-dua komuniti hidup aman sejak berabad lamanya, sebaliknya masalah timbul apabila Zionis menghalau penduduk Palestin dan menubuhkan sebuah negara yang bermusuhan dengan rakyat Palestin.

* Zionis merupakan sebuah entiti rejim yang perkauman (apartheid) yang jelas memberi ancaman kepada manusia sejagat.

* Masyarakat Islam sedia bekerjasama dengan semua bangsa termasuk Amerika Syarikat dan Eropah, namun Islam tidak akan bertoleransi atau memberi pengiktirafan kepada apa yang tidak sah dalam usaha toleransi untuk keamanan.

* Perjanjian damai yang dipersetujui oleh beberapa negara Arab seperti Mesir dan Jordan dengan Zionis di Palestin tidak adil dan tidak sah kerana dilakukan secara tidak demokrasi tanpa mengikut kehendak rakyat. Rakyat negara terbabit seharusnya diberi hak menyatakan pendirian mengenai perjanjian tersebut.

* Masyarakat Islam tidak menerima pengepungan haram yang dikenakan ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza. Kami tidak mensesiakan sebarang usaha yang boleh mengakhiri pengepungan itu. - Utusan


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

No comments:

Powered by Blogger.