Oleh : Mohd Ezli Mashut
SHAH ALAM,15 FEB : Kerajaan Umno-Barisan
Nasional tidak konsisten dalam dasar luarnya terhadap Palestin kerana
masih ‘tunduk’ kepada dasar Amerika Syarikat dan Israel. Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat
(PKR),Saifuddin Nasution, berkata Malaysia pada Mei 2006 yang menjadi
tuan rumah Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM) telah membelakangkan
kehadiran Dr Mahmoud AlZahar sebagai Menteri Luar sah kerajaan Palestin
dan sebaliknya mengiktiraf Farouk Qadummi iaitu Bekas Menteri Luar
Palestin (sewaktu kerajaan Fatah sebelum Pilihanraya 25 Januari 2006).
Pada persidangan tersebut Farouk Qadummi dijemput berucap sebagai wakil
rasmi kerajaan Palestin.
“Hal ini tidak sukar difahami kerana PM
Ismail Haniyeh dan Dr Mahmoud ALZahar adalah pemimpin Palestin yang
mewakili HAMAS yang pada kacamata Amerika Syarikat dan Israel adalah
satu kumpulan pengganas. Hakikat bahawa HAMAS menang pilihanraya secara
bebas dan demokratik tidak sama sekali mengubah pendirian Amerika
Syarikat dan Israel terhadap HAMAS yang telah berjaya membentuk kerajaan
Palestin yang sah.
“Amerika Syarikat dan Israel tidak
mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS. Adalah menjadi pengetahuan
umum Amerika Syarikat dan Israel lebih bersikap lunak terhadap kumpulan
FATAH yang tewas pilihanraya,” kata Saifuddin dalam kenyataan medianya.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk
kenyataan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang membidas Datuk Seri Anwar
sebagai bersikap dua wajah (two-faced) dan menegaskan kononnya Malaysia
sentiasa memberi sokongan secara konsisten terhadap perjuangan
Palestin.
Dr Zahar turut mengutuk tindakan
kerajaan Malaysia menjemput Qaddoumi dan menganggap keputusan itu
sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh kerajaan beliau. Malahan
Ustaz Nasaruddin kemudian mengeluarkan kenyataan mengecam kerajaan
Malaysia sebagai ‘biadap’.
“Insiden tersebut memberikan bukti jelas
bagaimana tidak konsistennya dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin.
Insiden ini menjadi bukti bahawa dasar luar Malaysia terhadap Palestin
sebenarnya berkiblatkan dasar Amerika Syarikat dan Israel terhadap
Palestin,” ujarnya.
Tambah Saifuddin,insiden ini mengesahkan
Kerajaan Malaysia tidak dapat membezakan antara kerajaan sah yang
dipilih oleh rakyat Palestin dengan pemimpin Palestin yang ditolak dan
tewas dalam pilihanraya.
“Hanya kerana Amerika Syarikat dan
Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS pada ketika
itu maka Malaysia juga akur. Bukankah fakta ini dengan sendirinya
menolak kenyataan PM Najib sebaliknya mengesahkan bahawa dasar kerajaan
Malaysia terhadap Palestin sebenarnya tidak konsisten,” katanya.
http://www.selangorkini.com.my/my/berita/36513
No comments:
Post a Comment