Anwar Pertahan Kenyataan, Kekal Iktiraf Israel



Walau bagaimanapun Anwar berkata, beliau menghormati pendirian Pas yang menolak Israel sebagai sebuah negara haram dan tidak mengiktiraf negara itu walau dalam apa jua keadaan sekalipun.  

" Saya memahami perbezaan pendirian Pas dengan PKR. Pas berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama dengan Israel," katanya menerusi satu kenyataan media petang ini. 

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini menggesa Anwar untuk menarik balik kenyataannya seperti yang disiarkan dalam Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu. 

“Ahli Majlis Syura Ulama Pas, menggesa Datuk Seri Anwar menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal,” Nik Aziz dipetik dalam satu kenyataan.

Beliau juga meminta Anwar mengambil tindakan perundangan terhadap WSJ sekiranya apa yang dinyatakan Anwar dilapor secara salah oleh akhbar berkenaan. 

Anwar yang merupakan Ketua Umum PKR sebelum ini dilaporkan menyokong usaha menjaga keselamatan Israel ketika beliau ditemu ramah akhbar WSJ, dengan menyatakan beliau menyokong “kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan jika syarat itu dipenuhi maka wajar hak rakyat Israel juga dihormati.”

Pendirian itu mendapat kritikan pelbagai pihak yang kemudiannya mendesak Anwar menyatakan pendirian sebenar beliau. 

Pas yang menjadi rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat berpegang tegas kepada prinsip parti itu yang tidak akan sesekali mengiktiraf negara Israel sebagaimana yang ditegaskan masyarakat Islam antarabangsa. 

Anwar hari ini menyatakan persetujuan untuk bertemu dengan Nik Aziz untuk menjelaskan hal berkenaan pada pertemuan yang dijadual minggu hadapan. 

Mengulas lanjut, Anwar mendakwa kenyataannya kepada WSJ telah diputarbelitkan oleh media kawalan UMNO. 

" Media, pimpinan UMNO dan Datuk Seri Najib Razak berterusan menabur fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

" Kenyataan saya kepada ASWJ secara jelas meletakkan aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keadilan, keamanan dan maruahnya dihormati sebagai syarat kepada tuntutan Israel agar keselamatannya dijamin," petik kenyataan itu.

Bagaimanapun kenyataan media yang dihantar itu tidak menjawab sepenuhnya tindakan Nik Aziz dan Majlis Syura Pas menolak pendirian beliau menyokong penyelesaian dua negara, iaitu mengiktiraf Israel jika hak Palestin dibela. 

Pautan dari : AntaraPos

1 comment:

CIKGU ASRI said...

Anwar antara Dajjal yg mmg diturunkan utk memporak perandakan masyarakat Islam