Shabery Perlu Mohon Maaf – Ramli Norani
SHAH ALAM – Timbalan Ketua Umno Bahagian di negeri ini mendesak Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek memohon maaf dan menarik kembali kenyataan beliau yang dianggap menafikan peranan Timbalan Ketua Umno Bahagian, selain disifatkan mampu mewujudkan pertelingkahan dalaman.
Pengerusi Kelab Timbalan Ketua Umno Bahagian Seluruh Selangor, Dato’ Hj Ramli Norani dalam sidang media, di Grand Blue Wave, di sini petang tadi, berkata kenyataan Shabery itu dilihat sebagai cubaan merendahkan martabat Timbalan Ketua Umno Bahagian kerana disampaikan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sungai Besar, baru-baru ini.
“Dalam apa juga perasmian, dari segi ucapan, mana-mana menteri pun, termasuk pemimpin nombor satu (Presiden Umno) dan nombor dua (Timbalan Presiden Umno) jarang-jarang sekali kita dengar kenyataan provokasi terhadap ahli-ahli dan juga perwakilan dalam majlis tersebut.
“Dia (Shabery) berkata, sedar-sedarlah timbalan. Timbalan adalah timbalan. Jangan cuba-cuba nak melawan ketua. Adakah ini ucapan menteri dan ahli majlis tertinggi dalam majlis perasmian? Sepatutnya dia bercerita hal-hal baik sahaja termasuk berkaitan dasar kerajaan,”, tegas Ramli.
Ramli turut memberi amaran akan mengumpulkan semua Timbalan Ketua Umno Bahagian di seluruh negara untuk bertemu Perdana Menteri , seandainya Shabery tidak memohon maaf secara terbuka dan menarik kembali kenyataan tersebut.
Turut hadir dalam sidang media terbabit ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian lain termasuk Zurihan Yusof (Kuala Langat), Dato’ Rahim Mat Sah (Shah Alam), Mejar (B) Abdul Rahim Mohd Amin (Serdang) dan Jamaluddin Razali (Petaling Jaya Selatan).
No comments:
Post a Comment