Sultan boleh pilih nama lain dari senarai


Peguam Datuk Sallehuddin Saidin berkata peruntukan undang-undang membolehkan sultan Selangor melantik menteri besar Selangor yang baru tanpa mengikut senarai yang dikemukakan oleh parti dalam Pakatan Rakyat.

Seorang peguam kanan dan bekas pelapor khas bagi kebebasan hakim dan peguam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Datuk Param Cumaraswamy turut bersetuju dengan pandangan itu.

Param berkata, jika seseorang individu yang dipilih oleh sultan tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan, sultan boleh membubarkan DUN, kata Param.

Sallehuddin, yang merupakan bekas ketua Jabatan Pendakwaan di Selangor berkata, sultan tidak dihadkan untuk memilih menteri besar dari senarai yang dikemukakan semata-mata.

“Tidak ada di mana-mana bahagian dalam perlembagaan negeri yang kata sultan dihadkan kepada senarai yang dikemukakan kepadanya untuk memilih individu yang mungkin mendapat sokongan majoriti di DUN.

“Ia memberi panduan, tetapi tidak mengehadkan budi bicara baginda. Sultan boleh menggunakan apa jua cara untuk memilih siapa yang patut mendapat sokongan majoriti,” kata Sallehuddin kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Peguam itu berkata, apa yang dilakukan oleh sultan itu bukan mengikut amalan biasa tetapi undang-undang membenarkan sultan berbuat demikian.

Sallehuddin berkata syaratnya adalah individu tersebut perlu mendapat sokongan majoriti dari anggota DUN.

Param, yang juga bekas presiden Majlis Peguam berkata, sultan Selangor boleh melantik individu yang bukan dalam senarai tersebut, tetapi yang difikirkan baginda sebagai individu yang mendapat sokongan majoriti ADUN.

Sallehuddin dan Param berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan dikeluarkan oleh setiausaha sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani.

Dalam kenyataan itu, baginda menitahkan bahawa sokongan majoriti bukanlah satu-satunya syarat untuk melantik menteri besar baru dan baginda boleh memilih nama yang tidak tersenarai.

No comments: