Ads Top

Warganegara Belanda yang diculikNayati Shamelin ditemui selamat di Rawang

SHAH ALAM - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nayati Shamelin Moodliar, warganegara Belanda yang diculik minggu lalu, ditemui selamat pagi ini di kawasan Hentian Rehat & Rawat Sungai Buloh, Rawang.

Polis mengesahkan Nayati ditemui kira-kira 7.55 pagi.

Dalam kenyataan dikeluarkan menerusi laman sosial Facebook kira-kira jam 10 pagi tadi, keluarga Nayati berkata:

"Kami gembira untuk memberitahu bahawa Nayati sudah pulang ke rumah dan meskipun ia detik yang sangat traumatik bagi dirinya, dia kelihatan berada dalam keadaan baik."

Dalam pada itu, Facebook Polis Diraja Malaysia menyebut, "kanak-kanak lelaki yang dilapor hilang dipercayai diculik minggu lepas, Nayati Shamelin Moodliar, dijumpai di Rawang hari ini."

"Pengesahan berita tersebut dibuat oleh Datuk Ku Chin Wah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur," kata kenyataan ringkas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak 27 April lalu di hadapan Mount Kiara International School, telah ditemui di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Buloh.

"Kanak-kanak tersebut kini berada dalam keadaan selamat bersama keluarganya dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pihak polis masih lagi meneruskan siasatan lanjut berkaitan kes ini," katanya dalam satu kenyataan.

Oleh kerana penculikan Nayati tertakluk kepada siasatan yang dijalankan, keluarganya berkata, pihaknya tidak berhak untuk mendedahkan sebarang maklumat berkaitan.

Keluarganya juga berkata akan mengadakan satu sidang media khas esok.

Keluarga itu berkata, mereka gembira dan menghargai sokongan padu yang diterima daripada rakan-rakan di Kuala Lumpur dan seluruh dunia.

"Tiada kata-kata yang boleh digambarkan bagi menunjukkan tanda terima kasih dan kami tidak akan melupakan segala sokongan mereka.

"Kami juga sangat menghargai sokongan moral dan kerjasama yang diterima daripada Kedutaan Belanda melalui wakilnya iaitu Paul Bekkers," kata keluarga itu sambil menambah, "dengan bantuan yang diberi ini, kami mampu menangani sedikit masalah teknikal."

"Kami juga ingin berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia terutamanya kepada Polis Diraja Malaysia.

"Keutamaan yang mereka berikan dari mula hingga selamat kembali Nayati dan juga penjagaan yang rapi tidak memberi apa-apa yang boleh menjejaskan keselamatannya. Kami sangat gembira dan akan terus tinggal di negara yang harmoni ini," kata keluarga.

No comments:

Powered by Blogger.