Shamsiah Fakeh seorang nasionalis?

Saya terpanggil untuk merenungi, memikirkan dan menarik perhatian khalayak dan seluruh rakyat Malaysia akan tujuan penulis melalui ROKETKINI.COM, bertarikh 5 Sept 2017 yang mengangkat Shamsiah Fakeh, salah seorang pejuang Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai nasionalis.

Antara frasa dalam tulisan beliau yang saya lihat sebagai bercanggah dengan fakta sejarah ialah Shamsiah Fakeh merupakan seorang nasionalis yang berjuang melawan British.

Adakah tulisan tersebut mendukung sentimen kekeluargaan kerana Shamsiah Fakeh adalah nenekanda kepada penulis? Atau adakah kerana tulisan itu tersiar pada ROKETKINI.COM, maka fakta sejarah, putar belit, manipulasi serta agenda tersembunyi menjadi modus operandi pihak berkenaan?

Tulisan 14-para itu tidaklah terkesan untuk mencungkil dan mengorek secara tuntas wacana sejarah perjuangan Shamsiah Fakeh serta hujah-hujah bagi membela Shamsiah sebagai pejuang menentang penjajah. Sebaliknya pembaca akan kesal pada retorik dan premis yang mengangkat Shamsiah sebagai “nasionalis”. Selepas ini pastinya berentetan pula retorik yang mengangkat Chin Peng sebagai ‘nasionalis’.

Dalam tulisannya yang santai dan longgar fakta, tetapi dilambak dengan retorik ‘penjajahan dan perjuang kemerdekaan’, penulis dengan sedar mengaku bahawa:
Saya juga tidak lahir pada zaman itu. Kebebasan saya tidak pernah dicengkam oleh penjajah-penjajah barat. Saya jua tidak pernah ditindas oleh penjajah-penjajah ini. Tetapi, saya dapat melihat itu semua daripada perjalanan hidup nenek saya, Shamsiah Fakeh.

Jelaslah bahawa makna instrinsik penulis daripada petikan di atas ialah beliau amat cetek sejarah dan hanya bersandarkan perjalanan hidup nenekanda Shamsiah yang tidak juga dijelaskan sumber sandaran beliau, tetapi dengan bangga mengangkat Shamsiah sebagai ‘nasionalis’.

Seseorang yang diangkat sebagai nasionalis adalah seseorang yang berjuang untuk bangsanya semata-mata dan bukan untuk kepentingan pihak lain seperti PKM yang bertunjangkan Parti Komunis Indonesia, dan Parti Komunis China serta mendewa-dewakan Mao Tze Tung.

Saya nasihatkan agar penulis yang sekadar beretorik dengan frasa “saya dapat melihat perjalanan hidup nenek saya” supaya membaca tulisan kajian terperinci pakar sejarah tanah air, Prof Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam Shamsiah Fakeh: A Nationalist or a Communist?

Bagi Prof Ramlah Adam, Untuk menjadi seorang nasionalis atau parti nasionalis, pendekatan dan matlamat perjuangan mestilah berasas kepada kebangsaan bangsa itu dan mempunyai matlamat untuk kemerdekaan tanah airnya sebagai sebuah negara yang berdaulat dan ditadbir oleh anak bangsanya sendiri. Ini semua dicapai melalui proses `self-determination’ yang kukuh dan didokong oleh anak negeri itu sendiri.

Adakah seseorang yang berjuang untuk kemerdekaan tanah air yang berkiblatkan kebangsaan asing (PKI dan PKC) dengan menjunjung tokoh komunisme Moa Tze Tung, wajar dan layak diangkat sebagai nasionalis?

Prof Dr Ramlah Adam juga mencatatkan bahawa Shamsiah Fakeh turut masuk ke hutan bersama-sama suaminya Wahi Anuar untuk berjuang dengan gerombolan komunis, namun suaminya sedar dan insaf dan menyerah diri pada tahun 1950. Sebaliknya Shamsiah terus dengan perjuangan yang tiada maknanya di dalam hutan malah berkahwin pula dengan Ibrahim Mahmod, rakan seperjuangan yang teguh dengan falsafah dan prinsip komunismenya.

Persoalan yang dibangkitkan oleh Prof Dr Ramlah ialah mengapakah Shamsiah tidak memilih untuk keluar bersama suaminya Wahi Anuar sebaliknya terus bergerak bersama anggota Regimen 10 yang sebenarnya merupakan gerila yang menjadi mentee kepada mentornya PKM dan terus kekal di dalam hutan? Ramai ahli gerila komunis ketika itu telah sedar dan menyerah diri, namun Shamsiah terus kekal dengan perjuangan membela komunisme sehingga pada tahun 1956. Sebaliknya nasionalis tulen Melayu ketika itu sedang berjuang untuk membubarkan Malayan Union dan menanti fajar kemerdekaan.

Proses menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British pada dasarnya bermula pada 1955 apabila pilihan raya pertama dilaksanakan pada Julai tahun itu. Namun supaya perjalanan tuntutan kemerdekaan itu tidak diganggu gugat oleh perjuangan dan serangan gerila komunis yang modus operandinya lebih kepada ‘hit and run’ (serang dan lari) maka Tengku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri berusaha untuk berbincang dengan PKM agar meletakkan senjata dengan pengampunan bersyarat. Namun ditolak oleh PKM.

Prof Dr Ramlah Adam mendakwa, Keputusan PKM ini diakui oleh Shamsiah Fakeh dan semua penyokong PKM. Jelas sekali rakyat Persekutuan Tanah Melayu daripada pelbagai bangsa telah memilih demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.”

Malah menurut Prof Dr Ramlah lagi, Shamsiah sedar tentang perkara itu, namun Shamsiah memilih untuk menjadi tetamu Parti Komunis dan bertuankan Mao Tze-tung, pemimpin Komunis dunia yang sangat terkenal itu. Alasannya berhijrah ke China kerana beliau dihantar untuk belajar selok-belok Komunisme bagi membolehkan lebih ramai orang Melayu dapat ditarik dalam PKM. Alasan ini membuktikan bahawa beliau memang tetap yakin dan kagum dengan fahaman itu dan pemimpinnya Mao Tze-tung sebagai tonggaknya. Sedangkan dalam masa yang sama, negara tanah kelahirannya sedang bergerak mencapai kemerdekaan. Malah, Shamsiah meninggalkan kawan-kawannya yang lain saperti Rashid Maidin, Abdullah C.D. dan anggota Rejimen 10 yang menjadikan sempadan Thailand-Malaysia sebagai pusat operasi mereka sehingga tahun 1989 iaitu tarikh perdamaian dengan kerajaan Malaysia.
Adakah kemerdekaan yang diberikan oleh pihak British menjadikan pemimpin dan negara ini sebagai boneka British? Tegas Prof Dr Ramlah, kemerdekaan yang diberikan adalah tertegak atas proses `self-determination’ yang kukuh dan didokong oleh anak negeri sendiri dan bukannya menjadi kuda tunggangan bekas penjajah.

Dengan itu dakwaan bahawa kemerdekaan yang telah dicapai pada 31 Ogos 1957 masih dibayangi oleh neokolonialisme Barat adalah suatu yang tidak benar. Namun transisi dari zon penjajahan kepada zon kemerdekaan masih perlu dipimpin oleh pihak British dan Commonwealth terutamanya dalam konteks menentang aliran fahaman komunisme yang pastinya penjajahannya jika berlaku akan menghancurkan sistem Raja Berpelembagaan, demokrasi berparlimen serta amalan beragama negara berbilang kaum ini.

Prof Dr Ramlah juga menghuraikan bahawa pada zaman selepas merdeka “sifat patriotik atau nasionalime Shamsiah Fakeh juga tidak wujud dihatinya. Dia tidak membela kepentingan negaranya tetapi tetap mendokong perjuangannya yang selari dengan perjuangan Komunis sedunia. Pada 1965, beliau dan suaminya telah dihantar oleh Parti Komunis China induk kepada Parti Komunis Malaya, untuk membantu Parti Komunis Indonesia.

Sejarah juga menunjukkan bahawaShamsiah Fakeh menjadi penyokong kepada Gerakan Ganyang Malaysia. Sebagai pemimpin sebuah pertubuhan yang dinamakan Liga Pembebasan Nasional Malaya, yang ditubuhkan khas untuk menjalankan propaganda menentang Malaysia, Shamsiah Fakeh telah memainkan peranannya di kalangan kaum wanita Indonesia. Ini adalah salah satu strategi perang saraf untuk menentang penubuhan Malaysia.

Demikianlah antara beberapa fakta sejarah yang tidak dilihat oleh penulis di ROKETKINI.COM. Sebaliknya beliau hanya melihat “daripada perjalanan hdup nenek” dan cuba mencoret retorik perjuangan genjot atas sentimen Shamsiah adalah nenekanda beliau.

Saya juga ingin menasihatkan penulis agar pergi ke arkib negara dan menyelak sejarah kezaliman gerila komunis terhadap masyarakat pribumi yang tidak menyokong mereka. Lebih baik juga penulis menghubungi Prof Dr Amat Johari Moin untuk berkongsi pandangan.

Sejarah mungkin boleh dimanipulasikan dan diputarbelitkan, namun fakta tidak boleh diubah.

*****


**Penulis merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Prof Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam kerana kajiannya yang jelas bagaikan kata bidalan ‘sudah terang lagi bersuluh’ dengan mendedahkan kegenjotan perjuangan Allayarhamah Shamsiah Fakeh. Tulisan ini cuba membetulkan konsep perjuangan yang salah itu, dan bukan menentang Allayarhamah Shamsiah Fakeh, supaya martabat kata kunci ‘nasionalis’ tidak secara wewenangnya disalahtafsirkan.


Oleh Dr RG - 27 Sept 2017




1 comment:

Anonymous said...

Saudara dan saudari yang dikasihi ke dalam Dhamma

Kami ingin memaklumkan kepada semua penganut Buddha di Malaysia tentang Datuk YIP KUM FOOK yang merupakan presiden KUIL BUDDHA SAMNAK SAMBODHI, Taman Desa Jaya, Kepong, Kuala Lumpur. Orang Buddha perlu mengikut banyak peraturan sila, tetapi YIP KUM FOOK tidak ada sebarang peraturan sila dalam agama Buddha, ia sangat memalukan kepada orang ramai

Juga, dia memanggil polis untuk mengganggu Sami Buddha di kuil. Menambahkan dia menipu wang Rm20,000.00 Sami Myanmar (Ven. Nandiya) tidak pernah membayar balik, ramai orang tahu mengenainya.

Sebaliknya, Datuk YIP KUM FOOK ini tidak malu dan segan terhadap penganut Buddha atau Buddha, dia berpendapat, dia seorang yang sangat berjaya, juga dia kotor dalam politik MCA.
Terima kasih banyak-banyak dan tolong kongsikan dengan semua
Encik Fong, Kajang
Diterjemahkan oleh Dr. Chew