ASNAF FAKIR MISKIN SELANGOR TAHUN LALU MENINGKAT


Jumlah golongan asnaf fakir dan miskin kalangan umat Islam di negeri negeri ini meningkat sebanyak 2,207 keluarga pada tahun 2016 menjadi 46,500 keluarga berbanding tahun sebelumnya, berdasarkan laporan dikeluarkan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata peningkatan jumlah golongan asnaf fakir dan miskin di negeri ini disumbang oleh banyak faktor terutamanya peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kata beliau lagi, faktor lain menyumbang kepada peningkatan jumlah asnaf itu berpunca dari penghijrahan rakyat dari negeri lain ke Selangor untuk mencari rezeki dan kekurangan peluang pekerjaan akibat banyak syarikat di negeri ini ditutup.

“Pada 2016, terdapat pertambahan penerima zakat ekoran berlakunya peningkatan kos sara hidup yang memberi kesan terutama terhadap golongan B40.

“Faktor lain termasuk penghijrahan warga negeri lain ke Selangor untuk mencari rezeki selain ramai yang kehilangan pekerjaan akibat banyak syarikat tutup,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat LZS, di Shah Alam, hari ini.

Tambahnya lagi, sebanyak RM200.5 juta wang zakat telah diagihkan kepada 32,978 keluarga asnaf miskin, manaka RM98.2 juta pula diagihkan kepada 13,522 keluarga asnaf fakir.

Jumlah asnaf fakir dan miskin negeri Selangor pada 2015 adalah seramai 44,293 keluarga.

No comments: