AHMAD IDHAM TERKEJUT AZMIN BERI RM100,000
Pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri meluahkan rasa terkejut apabila keluhannya di media sosial mendapat maklum balas segera daripada kerajaan Selangor dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ahmad Idham berkata keluhannya mengenai Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus mendapat respon positif Mohamed Azmin yang sudi memberikan sumbangan RM100,000 bagi membantu pusat berkenaan.
Sumbangan RM100,000 kepada Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus di Red Carpet Avenue, Encorp Strand Mall itu diserahkan sendiri oleh Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita & Keluarga, Dr Daroyah Alwi.
Kata Ahmad Idham, tindakan diambil kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin begitu berbeza berbanding dengan pemimpin lain yang lebih gemar mengambil sikap ‘defensive’.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri (Selangor) terutama kepada Menteri Besar kerana menjadi seorang pemimpin yang begitu responsif hingga saya sendiri terkejut.
“Keadaan ini berbeza dengan pemimpin lain yang lebih bersikap ‘defensive’. Apabila datang seorang pemimpin responsif, sudah tentu saya teruja dan sekarang terlebih teruja pula. Terima kasih,” katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang media selepas menerima sumbangan kerajaan Selangor di pusat pendidikan khasnya semalam.
Dia turut memohon maaf atas kritikan terhadap kepimpinan kerajaan negeri sebelum ini dan mengakui bahawa kritikan itu dilemparkannya akibat kekurangan maklumat.
“Kami sokong program kerajaan negeri. Ramai artis mulai sedar perkara ini dan teruja.
“Sebelum ini kita tidak pernah tahu kerana maklumat tidak sampai, justeru saya mohon maaf atas kesilapan sebelum ini. Syukur, saya dapat bantuan sebegini dan jujurnya ini kali pertama terima bantuan sejak pusat ini dibuka,” katanya.
Biasiswa Kepada Anak Istimewa
Sebagai Pengarah Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus, Ahmad Idham berkata bahawa sumbangan RM100,00 dari kerajaan Selangor itu akan dijadikan sebagai biasiswa pendidikan kepada anak istimewa dari golongan berpendapatan rendah.
Menurut Pengarah filem “Adnan Sempit” itu, sebilangan besar ibu bapa yang berpendapatan rendah tidak mampu menghantar anak istimewa ke sekolah bersesuaian ekoran perbelanjaan yang lebih tinggi berbanding sekolah biasa.
“Sebenarnya saya nak bagi balik duit ini kepada anak-anak di luar sana dengan mewujudkan skim biasiswa di bawah sumbangan kerajaan negeri ini untuk anak Selangor.
“Ibu bapa di Selangor yang mempunyai anak-anak istimewa, sila hubungi atau datang ke pusat pendidikan khas ini. Dengan sumbangan RM100,000 ini kita boleh sediakan lapan hingga 10 tempat untuk anak-anak ini belajar secara percuma.
“Saya gunakan semua sumbangan kepada Eden Firdaus ini untuk mereka belajar di sini, di mana saya nak tawarkan kepada anak-anak istimewa di luar sana yang mana ibu bapanya golongan berpendapatan rendah untuk saya sumbang balik kepada masyarakat kerana inilah impian saya,” katanya.
Tambah Ahmad Idham lagi, tiada guna dia menyediakan sistem kokurikulum terbaik hasil kerjasama dengan sebuah pusat pendidikan khas terkemuka di Singapura sekiranya tidak dikongsi dengan masyarakat di negeri ini.
Dia menjangkakan surat tawaran biasiswa kepada mereka yang berlayakan akan diserahkan pada Karnival Kesedaran Autisme Eden Firdaus yang diadakan 28 April 2017 ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment