Ezam Kembali Ke Pangkuan PKR?



Bekas senator, Mohamad Ezam Mohd Nor dijangka akan menyertai parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam masa terdekat bagi membantu mengukuhkan politik Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti.

Menurut sumber , Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan dan beberapa perbincangan dengan Ezam berhubung perkara itu.

“Apa yang saya boleh katakan ketika ini, kak Wan (Wan Azizah) telahpun mengadakan perbincangan bersama Ezam dan satu pelan sedang dirangka untuk membawanya kembali bersama PKR.

“Setakat ini hasil perbincangan amat positif dan Ezam dikatakan telah bersetuju untuk membantu mengukukuhkan sokongan politik kak Wan di dalam PKR yang semakin merosot, malah Ezam baru-baru ini juga dilihat semakin ‘garang’ menyerang pentadbiran Najib dan itu merupakan sebahagian daripada strategi yang diatur,” katanya sebentar tadi.

Ezam sebelum ini melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Negara yang disandangnya sejak 2010 apabila dilantik sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 15 Mac 2014.

Namun sejak 1 April lalu, Ezam tidak lagi berkhidmat dengan Kementerian Kewangan, walaupun kontraknya masih berbaki sehingga tahun depan.

Menurut sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu juga, antara peranan dan tanggungjawab Ezam ialah mewujudkan ‘check dan balance’ di dalam parti yang ketika ini sedang didominasi oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali

“PKR ketika ini sedang dikuasai oleh Azmin dan orang-orangnya dan perkembangan itu dilihat sangat bahaya untuk politik Kak Wan.

“Azmin telah mengunakan kesempatan sebagai Menteri Besar Selangor untuk mengukuhkan kedudukkan politiknya sekaligus menyebabkan pengaruh Kak Wan semakin lemah” katanya lagi.

Bekas Ketua Pemuda PKR itu meninggalkan parti pada tahun 2007 kerana hilang keyakinan terhadap bekas bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menyertai semula Umno pada tahun 2008.

Selepas tempoh beliau sebagai senator berakhir pada 2014, beliau kini berkhidmat sebagai Pengerusi Hisbah Centre For Reform.

Pihak kami masih sedang berusaha untuk menghubungi Ezam bagi mendapatkan maklumbalas berhubung perkara ini. - Suara TV

No comments: