12 August 2014

Sultan tak perkenan Azizah menghadap


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan menerima menghadap Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kerana baginda tidak mahu campurtangan dalam isu dalaman PKR, kata Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani.

Beliau mengesahkan pihak istana telah menerima surat permohonan itu yang telah ditandatangani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad untuk memberi penerangan dan penjelasan yang telah diputuskan oleh PKR.

Menurutnya, surat pemohonan ini telah disembah kepada baginda semalam dan baginda menitahkan supaya memaklumkan kepada Anwar Ibrahim bahawa baginda tidak berkenaan menerima Azizah mengadap untuk tujuan memberi penjelasan atas alasan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telahpun menghadap baginda berkaitan kedudukannya sebagai  menteri besar Selangor.

"Di samping itu, DYMM Sultan Selangor berpendapat bahawa pemecatan Tan Sri Abdul Khalid dari menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merupakan isu dalam parti yang tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Negeri Selangor dan Datuk Seri Menteri Besar Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh Datuk Mohamad Munir:

Saya dititahkan oleh DYMM Sultan Selangor untuk memaklumkan bahawa Baginda telah berkenaan untuk YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid bin Ibrahim terus kekal sebagai Dato' Menteri Besar Selangor dan bukannya keputusan Mesyuarat Dewan di-Raja Selangor sebagaimana yang disiarkan di beberapa akhbar tempatan.

Mesyuarat Dewan di-Raja Selangor yang diadakan pada 11 Ogos 2014 adalah merupakan mesyuarat berjadual yang telah diperkenankan oleh DYMM Sultan Selangor dan tidak membincangkan kedudukan YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid bin Ibrahim sebagai Dato' Menteri Besar Selangor.

YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim telah menghadap DYMM Sultan Selangor bagi menyembah maklum kepada Baginda bahawa beliau telah dipecat oleh Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan beberapa perkara berkaitan kedudukan Menteri Besar sebelum sidang Mesyuarat Dewan di-Raja.

DYMM Sultan Selangor telah memaklumkan kepada Mesyuarat Dewan di-Raja Selangor mengenai keputusana Baginda untuk mengekalkan YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Dato' Menteri Besar Selangor.

Di sini juga saya mengesahkan bahawa pihak Istana telah menerima surat yang telah ditandatangani oleh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum  Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) pada hari Ahad, 10 Ogos 2014 yang memohon untk Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadap DYMM Sultan Selangor untuk memberi penerangan dan penjelasan yang telah diputuskan oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Surat pemohonan ini telah disembah kepada DYMM Sultan Selangor pada hari Isnin 11 Ogos 2014 dan Baginda menitahkan supaya saya memaklumkan kepada YB Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa Baginda tidak berkenaan menerima menghadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) untuk tujuan memberi penjelasan atas alasan YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim telahpun menghadap baginda berkaitan kedudukan beliau sebagai Dato' Menteri Besar Selangor.

Di samping itu, DYMM Sultan Selangor berpendapat bahawa pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merupakan isu dalamam parti yang tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Negeri Selangor dan Datuk Seri Menteri Besar Selangor. Baginda tidak mahu campurtangan dalam isu dalamam  Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

No comments:

Know us

Our Team

Video of the Day

Contact us

Name

Email *

Message *