Gereja-gereja di negeri ini akan terus menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan mereka seperti biasa. - Lawrence Andrew


Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berkata serbuan yang dilakukan Jabatan Agama Islam (JAIS) terhadap Persatuan Bible Malaysia (PBM) minggu lalu adalah sah dan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pihak berkuasa agama berkenaan.

Bagaimanapun Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi berkata, kerajaan negeri akan melihat kembali prosedur pihak berkuasa agama itu dan akan melakukan beberapa penambahbaikan ke arah memperkemaskan SOPnya.

"Apapun yang berkaitan agama lain, maka kita akan memperkemaskan prosedur operasi standard (S.O.P) JAIS supaya isu ini lebih harmoni dan akan duduk semeja untuk berbincang. Yang penting, pihak kerajaan negeri juga dimaklumkan serta diajak berbincang sebab ia melibatkan isu agama-agam lain," katanya.

Sallehin ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama Paderi yang juga Editor The Herald, Lawrence Andrew bersama Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan ADUN Sri Andalas, Xavier Jayakumar.

Pada 2 Januari lalu, JAIS menyerbu pejabat Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) di Damansara Kim dan menahan pengerusinya, Lee Min Choon dan setiausaha agung, Simon Wong.

JAIS turut merampas 321 salinan bible dalam bahasa Melayu dan 10 naskah lagi dalam bahasa Iban.

Sallehin bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut tindakan JAIS itu memandangkan is sudah menjadi kes polis.

"Tindakan JAIS itu bergantung kepada aduan orang ramai. Saya tidak mahu pergi jauh tentang JAIS. Tapi atas aduan orang ramai, JAIS bertindak untuk mencari bukti. Hal ini sudah menjadi kes polis, jadi kita serah kepada kebijaksanaan JAIS dan PDRM serta penasihat undang-undang negeri untuk selesaikan isu ini secara baik. Kalau ada kes boleh dibawa ke peringkat undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri menurut exconya akan mewujudkan satu dialog antara agama bagi mencapai persefahaman dan keharmonian kepelbagaian kaum dan agama di Selangor.

"Satu majlis perunding antara perpaduan kaum dapat diwujudkan untuk mencari keharmonian dan persefahaman. Sebarang masalah berbangkit yang merentas kaum dan agama akan dibincangkan dan dirujuk. 'Interfaith dialog' ini akan diwujudkan melalui perkara ini untuk mejaga keharmonian antara negara, kerana realitinya di Selangor kita mempunyai pelbagai agama dan kaum," jelasnya.

Sementara itu, Lawrence ketika diminta mengulas isu ini berkata, gereja-gereja di negeri ini akan terus menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan mereka seperti biasa.



Ini katanya, termaktub di dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Saya merujuk kepada Artikel 11 Perlembagaan persekutuan, dimana setiap agama boleh melakukan upacara keagamaan mereka. Anda tak boleh kata tak boleh itu ini kepada agama lain, begitu juga agama anda. 

"Kami mahu dialog. Mari bina hubungan yang baik seperti adik dan abang, mari bina jambatan dan berhubungan yang baik antara satu sama lain," katanya.

No comments: