Azizan Rela PAS Kalah di Kedah?



Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah yang sebelum ini dikhabarkan sering keluar masuk hospital kini semakin sihat.  Cakapnya dan gelaknya juga sudah kembali kuat.  Jika beliau dikatakan hampir pasti akan meletakkan jawatan atau tidak akan bertanding kerana sebab-sebab kesihatan, kini kata-kata itu perlu difikirkan semula.  

Azizan nampaknya begitu bersemangat untuk bertanding lagi dan meletakkan jawatan tentulah jauh sekali.  

Keadaan ini menyebabkan musuh-musuhnya yang berada di dalam selimut, di dalam lipatan, di atas bumbung, di dalam kereta dan sebagainya semakin resah.  Walaupun begitu banyak serangan di lakukan mereka secara terbuka, nyata sehinggalah kepada cara halus untuk menjatuhkan Azizan, Azizan nampaknya akan terus kekal dan tidak berganjak. 

Apatah lagi apabila golongan pro-Ulama di dalam PAS kini dikatakan mula bangkit setelah mendapat tiupan semangat baru dari Nasharuddin.  Azizan yang berada dalam kelompok Ulama difahamkan amat sukar bertoleransi dengan puak Anwarinas.  Beliau juga menolak kumpulan Syiah mentah-mentah serta  enggan berkompromi dengan DAP.  

Pendirian Azizan inilah yang menyebabkan beliau enggan melepaskan jawatannya.  Ini kerana, kesemua musuh-musuh dalaman yang mensasarkan jawatannya adalah terdiri dari sama ada golongan Anwarinas, Syiah atau talibarut DAP.   Antaranya ialah Phahrolrazi, Mahfudz dan Mat Sabu. 

Sumber-sumber dalaman membayangkan yang Azizan lebih rela PAS kalah di Kedah daripada menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada mana-mana dari mereka di atas.   Bagi Azizan, biarlah UMNO yang menerajui asalkan bukan golongan pro-LGBT, Syiah atau alat kafir harbi.  

Kita sanjung prinsip dan pendirian Azizan.  Namun, kita ingin ingatkan Azizan bahawa prinsip yang mulia sahaja belum cukup untuk memastikan negeri terpelihara dan rakyat hidup sejahtera.  

Benar, membiarkan puak-puak LGBT, Syiah dan Kafir harbi memerintah adalah berdosa tetapi pemimpin yang gagal menangani masalah rakyat, membiarkan negeri terus mundur, tidak peka dengan kemusnahan alam sekitar dan tidak mampu menjana pendapatan negeri juga berdosa.   

Jelas, pemimpin yang sebegini adalah tidak layak berada di tempatnya.  

Bukan Azizan tidak tahu bahawa keadaan negeri Kedah adalah semakin merosot dari sebelumnya.  Anak-anak syarikat kerajaan negeri seolah-olah masih ‘terpinga-pinga’ walaupun sudah hampir sepenggal PAS memerintah.  

Azizan langsung tidak punya perancangan untuk meningkatkan pelancongan di Kedah, malah pusat pelancongan sedia ada juga tidak dipelihara dengan baik.  Segala projek besar yang digembar-gembur konon bakal memacu ekonomi Kedah, hanya tinggal cakap kosong belaka kerana tiada siapa yang mahir untuk melaksanakannya.  Lebih buruk, bila begitu ramai yang menjadi tamak haloba akibat tidak pernah merasa atau bermimpi akan mampu duduk di mana mereka berada.  

Projek peninggalan BN yang telah berjaya seperti Kulim Hi-Tech Park juga kini telah menampakkan masalah akibat ketidakcekapan dan ketamakan pihak pengurusan.  Namun, Azizan langsung tidak menyedarinya. 

Kedah kini bergerak ke belakang dan bukannya ke hadapan gara-gara mempunyai pemimpin yang tidak layak berada di tempatnya.   

Azizan pasti tahu bahawa menurut Islam, meletakkan sesuatu yang bukan di tempatnya adalah satu ketidakadilan.  Dan ketidakadilan pasti membawa kepada kemusnahan.

Justeru, jika Azizan benar-benar seorang yang berpegang kepada prinsip yang mulia, maka Azizan juga wajib memikirkan mengenai ketidakadilan yang sedang dilakukannya terhadap rakyat Kedah.  Mungkin elok jika Azizan membantu mengembalikan saja Kedah ke tangan BN untuk kebaikan semua.  

No comments: