Gambar hiasan |
Penulis berkata benar, sekarang sudah tidak kedengaran lagi riuh-rendah suara netizen tentang tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa. Kita tidak minta tetapi kejadian lain belum berlaku. Lalu.., apa tindakan kita mengelak ianya berulang lagi?
Berikut, penulis menggariskan beberapa perkara yang berkaitan untuk dipatuhi sebagai cadangan. Mari baca dan beri pandangan anda di ruangan komen. Saya tidak mengubahsuai, penulisan di bawah adalah seperti yang dikirimkan kepada saya.
MENGHALALKAN PREMIS KEDIAMAN ASRAMA TAHFIZ DAN KEBAJIKAN
Seperti yang saya jangkakan, tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah akan menjadi sejuk selepas tujuh hari (lihat http://penadaritanahmelayu.blogspot.my/2017/09/diharapkan-kematian-mereka-mengubah.html). Tambahan pula pihak Bomba telah mengeluarkan kenyataan bahawa punca kebakaran adalah perbuatan khianat; dan suspek-suspek yang terlibat sudah ditahan. Maka persepsi masyarakat adalah kes sudah selesai; biarlah sistem perundangan mengadili kes dan kehidupan diteruskan sehingga tragedi seumpama ini berlaku lagi. Lalu sarkis yang sama berulang semula.
Yang menarik ekoran tragedi ini terdapat pihak-pihak yang menawarkan perkhidmatan percuma untuk membantu sekolah-sekolah tahfiz melengkap premis dengan sistem pencegah kebakaran malahan mengadakan latihan keselamatan. Tidak kurang juga individu-individu yang memberi sumbangan dalam bentuk kewangan; bahkan ada selebriti yang sanggup membawa mangsa-mangsa kebakaran ini menunaikan umrah secara percuma. Sikap suka menghulurkan bantuan ini memang digalakkan oleh Islam; bahkan dituntut penganutnya, tetapi diharapkan janganlah ianya datang berkala-kala, tatkala berlaku tragedi seumpama ini sahaja.
Di pihak penguasa pula, berbagai gesaan diutarakan tentang pendaftaran, penguatkuasaan, pemeriksaan berkala, mengadakan akta khas tahfiz dan berbagai lagi. Soal pokoknya, sebarang pendaftaran atau akta khas tahfiz tidak memberi apa-apa kesan sekiranya persoalan pokok masih tidak ditangani. Negara kita ada berbagai-bagai akta, tetapi kita masih terbelenggu di takuk lama kerana ketiadaan kesedaran di kalangan masyarakat berkenaan soal kedaulatan undang-undang. Bayangkan bagaimana negara-negara seperti Jepun atau Sweden menangani isu sebegini sekiranya ia berlaku di sana. Contoh mudah seperti masalah pembuangan sampah merata-rata. Di bandaraya Tokyo tidak disediakan tong-tong sampah di tepi-tepi jalan sebanyak di Kuala Lumpur, tetapi tidak kelihatan sampah-sampah di buang merata-rata. Dibandingkan dengan negara kita, kawasan sekitar tong sampah merupakan paling banyak sampah berlonggok!
PEMATUHAN KEPADA KEPERLUAN MENGHALALKAN ORGANISASI DAN PREMIS
Bagi pengusaha premis-premis kediaman untuk pusat tahfiz atau rumah anak-anak yatim yang berhasrat untuk memenuhi keperluan penguasa, saya gariskan di sini panduan untuk menghalalkan premis anda.
Pertama, pertubuhan yang mengendalikan premis ini mestilah berdaftar samada sebagai yayasan, pertubuhan atau syarikat. Bagi pendaftaran sebagai yayasan, biasanya dikendalikan di bawah Jabatan Perdana Menteri; manakala untuk pertubuhan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Bagi yang mendaftar sebagai syarikat, pendaftaran diuruskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Sebagaimana biasa, keperluan pendaftaran seperti lembaga pemegang amanah atau pengarah, perlembagaan dan lain- lain kehendak jabatan perlulah disediakan sebagai syarat kelulusan pendaftaran. Setelah pendaftaran di luluskan, barulah sebarang yayasan atau pertubuhan itu boleh beroperasi secara sah.
Sudah pasti perkara kedua setelah penubuhan pertubuhan itu perlukan sebuah premis untuk beroperasi. Dalam artikel ini, saya menumpukan kepada kes di mana pertubuhan itu beroperasi di bangunan yang tersedia di bina. Kita andaikan pertubuhan ini menggunakan sebuah rumah bungalow berkeluasan 500 meter persegi yang diwakafkan. Justeru, sijil CCC atau CF asal diperolehi berdasarkan bangunan kediaman.
Pada asasnya kegunaan bangunan tersebut telah bertukar dari kediaman ke institusi. Biasanya, rumah tersebut perlu diubah-suai untuk menyediakan ruang-ruang untuk pejabat, dormitori, ruang makan, dapur dan sebagainya. Sekiranya pengubahsuaian ini melibatkan perubahan rekabentuk, maka permohonan pertukaran syarat guna perlu dikemukakan ke pihak berkuasa tempatan (PBT). Seperti biasa, PBT akan mendapatkan ulasan dari jabatan-jabatan teknikal dalaman mahupun luar seperti Jabatan Bomba.
Artikel ini menyenaraikan keperluan kebombaan yang perlu dipatuhi. Keperluan kebombaan terbahagi kepada dua elemen iaitu 1) keperluan pasif; 2) keperluan aktif. Bagi keperluan kebombaan pasif, ia melibatkan keperluan rekabentuk arkitek termasuk penggunaan jenis bahan-bahan binaan. Perkara- perkara ini dinyatakan di dalam UBBL 1984 Part VII By-law 133 hingga 224. Seksyen ini menerangkan keperluan kebombaan berkaitan dengan perkara-perkara rekabentuk pasif. Pada amnya arkitek akan mengambilkira keperluan-keperluan ini semasa mereka-bentuk bangunan tersebut. Kebanyakan keperluan-keperluan ini seperti contohnya By-law 136 (Provision of compartment walls or compartment floors), By-law 141 (Separating wall), By-law 143 (Beam or column); merupakan By-law umum untuk semua bangunan. Untuk kes institusi bangunan dua tingkat bungalow ini, keperluan khusus yang diperlukan antara lain seperti berikut:
By-law 134 – Designation of purpose group
By-law 162 – fire doors in compartment walls and separating walls
By-law 165 – measurement of travel distance to exits
By-law 166 – exits to be accessible at all times
By-law 172 – emergency exit signs
By-law 175 – Calculation of occupant load
By-law 176 – Computing number of staircases and staircase widths
By-law 181 – Width of means of egress
By-law 182 – Rate of discharge
By-law 194 – Building with single staircase
By-law 204 – Classification of restriction of flame over surface of walls and ceilings
By-law 205 – Classification of interior finish materials
By-law 206 – Classification of surface of wall or ceiling
Sepertimana dinyatakan di atas, terdapat 92 By-law melibatkan keperluan rekabentuk pengubahsuaian bangunan. Sudah pasti pengusaha atau pengurusan institusi yang tiada pengetahuan dan kompetensi dalam bidang rekabina tidak mengetahui perkara-perkara yang diperlukan.
Justeru, dalam kes pengubahsuaian bangunan seperti bungalow ini, semua perkara-perkara di atas perlulah dipatuhi sebagai syarat mendapatkan kelulusan. Pihak pengurusan institusi perlu mendapat khidmat professional seperti arkitek atau pelukis pelan berdaftar sebagai orang berkelayakan mengemukakan pelan-pelan tersebut ke PBT. Mengikut keperluan rekabentuk sekiranya pengubahsuaian ini melibatkan perubahan struktur, maka pihak arkitek perlu mendapatkan khidmat jurutera struktur untuk memastikan keperluan struktur bangunan selamat diduduki.
Bagi keperluan-keperluan pencegahan kebakaran aktif pula, ianya melibatkan rekabentuk sistem-sistem pencegahan dan melawan kebakaran secara aktif. Sistem aktif ini bermaksud sistem-sistem yang digunakan untuk mengesan kebakaran di peringkat awal dan peralatan untuk digunakan semasa memadam api apabila api telah mula merebak. Perkara-perkara ini dinyatakan di dalam UBBL Part VIII (Fire alarms, Fire detection, Fire extinguisher and Fire Fighting Access). Keperluan-keperluan khusus sistem pencegahan and melawan kebakaran untuk bangunan institusi adalah digariskan seperti dibawah:
By-law 225 – Detecting and extinguishing fire
By-law 227 – Portable extinguishers
By-law 237 – Fire alarms
By-law 251 – Smoke vents to be adequate to prevent dangerous accumulation of smoke
By-law 252 – Smoke vents to be openable by Fire Authority
Sekiranya keperluan-keperluan ini tidak melibatkan reka-bentuk peralatan sistem pam dan perpaipan yang memerlukan kepakaran jurutera mekanikal dan elektrikal, perkara-perkara di atas boleh dimasukkan di dalam skop kerja arkitek untuk dikemukakan ke Bomba.
Seringkali kita terdengar punca kebakaran disebabkan oleh pendawaian elekrik. Pendawaian sistem elektrikal termasuk di dalam Akta Bekalan Elektrik 1990. Masalah pendawaian elektrik biasanya disebabkan oleh litar pintas; manakala litar pintas ini berpunca dari 1) pendawaian lama atau tidak mengikut spesifikasi 2) beban melebihi kapasiti pendawaian (electrical overload). Sudah tentu pendawaian lama boleh mengakibatkan kebakaran oleh kerana sambungan longgar, penyalut PVC dawai koyak kerana digigit tikus, tergesel dengan besi trunking kerana getaran dan sebagainya. Manakala masalah “overloading” biasanya disebabkan salah guna punca-kuasa. Sering kita melihat satu punca kuasa yang disambung dengan berbagai-bagai peralatan elektrik; contohnya pemanas air dan alat hawadingin menggunakan punca-kuasa yang sama! Kehendak beban yang tinggi melebihi kapasiti dawai ini menyebabkan dawai menjadi panas sehingga salutan penebat PVC cair dan seterusnya pembakaran bermula jika dawai tersebut menyentuh bahan mudah-bakar.
Selain dari itu, pemasangan sistem pendawaian dan alat-alat elektrik perlu mengikuti piawaian yang terpakai; contohnya Malaysia Standards (MS), International Electrotechnical Commission (IEC), dan Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE). Penggunaan komponen yang tidak mengikut piawaian juga boleh mengakibatkan berlaku kebakaran. Di Malaysia, alat-alat komponen pemasangan elektrikal hendaklah menggunakan peralatan yang mendapat pengesahan kualiti daripada SIRIM. Terdapat banyak lambakan peralatan elektrik di pasaran yang tidak mematuhi piawaian yang dibawa masuk dari Negara China.
Walaupun pengubahsuaian sebuah rumah bungalow ke bangunan institusi dianggap kecil dan remeh, tetapi proses pematuhan seperti yang saya nyatakan di atas bukanlah satu perkara yang mudah. Tambahan pula bagi orang awam yang tiada pengetahuan proses permohonan, pasti sukar melaksanakan kehendak-kehendak PBT dan mematuhi piawaian keselamatan. Bukan sahaja itu, kos-kos yang terlibat juga perlu menjadi satu pertimbangan organisasi.
APA TINDAKAN PBT?
Bagaimana tindakan PBT untuk menangani isu ini? Persoalan yang mudah tetapi sukar untuk memberi jawapan. Pastinya pihak PBT mahukan premis-premis mematuhi setiap satu perkataan di dalam UBBL itu. Bagi saya, nawaitu semua agensi-agensi penguasa perlulah bermatlamat memastikan premis-premis ini mematuhi peruntukan sediada dengan kos yang minima; memandangkan premis-premis ini biasanya dibiayai oleh derma orangramai yang pada asasnya berniat baik. Tindakan yang bersifat punitive tidak akan mencapai apa-apa kesan positif; sebaliknya menggalakkan lagi ketidakpatuhan kepada undang- undang. Contoh mudah seperti keperluan mendapat lesen restoran di mana pengusaha restoren perlu menyediakan jubin di sekeliling dinding kedai dan menghadiri kursus penyediaan makanan; walhal di hadapan kedai tersebut terdiri sebuah gerai haram yang tidak mematuhi sebarang peruntukan. Apakah perasaan anda sekiranya anda sebagai pengusaha restoran berbelanja besar untuk memastikan lesen diperolehi tetapi jiran anda sigerai haram, dengan mudah berniaga di hadapan restoren anda?
Justeru, satu tindakan bersepadu semua agensi dengan kerjasama NGO-NGO (seperti Persatuan Arkitek Malaysia, Persatuan Jurutera Perunding Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan lain-lain) perlu berganding kepakaran bagi membantu premis-premis ini. Setiap kes premis ini perlu dinilai berdasarkan sesuatu kes bukan semata-mata mengikut senarai-semak sahaja. Perlu ada pertimbangan (discretion) terhadap keperluan mengadakan dokumen-dokumen tertentu di pihak PBT supaya harapan menghalalkan premis jagaan ini tidak dikecewakan di tengah jalan.
Hanya dengan niat yang ikhlas dan kesedaran mematuhi undang-undang dari semua pihak barulah matlamat menghalalkan premis kediaman institusi tahfiz atau kebajikan ini akan selesai. Kalau PBT boleh berusaha menghalalkan kilang-kilang haram, pastinya premis kediaman kebajikan lebih mudah jika dibandingkan. Di samping itu, bagi mudir-mudir dan pengusaha pusat tahfiz dan jagaan perlulah mendapatkan khidmat nasihat dari golongan professional yang berkelayakan dalam urusan memastikan keselamatan premis mereka terjamin; disamping mengamal sikap mengutamakan keselamatan anak-anak didik. Setelah semua ikhtiar sudah dijalankan, barulah boleh dikatakan takdir menentu segalanya.
Ditulis oleh:
Ir. Hj Arul Hisham b Abdul Rahim
Kota Damansara
**** Ir. Arul Hisham has a wide range of experience for over 20 years of practice. He specializes in Ice andThermal Energy Storage system design, building Air Conditioning systems and Energy Conservation. He was one of the pioneering trainers to provide training for the Certification of Energy Managers and currently he is professional engineer interviewer with Institution of Engineers Malaysia.
He has worked on various projects such as Cyberjaya District Cooling System, DELL Cyberjaya data center, KLIA chilled water tariff study, Pokok Sena and Johor Bahru prisons, UiTM Engineering Faculty Complex and many more others. Currently, Ir Arul Hisham is working on the new District Cooling plant at Putrajaya Core Island utilizing thermal storage with more than 100,000 RTh storage capacity.
He also actively involved in the academia as Industrial Advisor Panelist for the Faculty of Engineering University Industry Selangor (UniSel) and has been giving lectures to students at UIAM, UPM and UiTM engineering faculties.
No comments:
Post a Comment