Bandar Teluk Intan di 4`Utara dan 101.5 `Timur , di sebelah pantai Barat Semenanjung Malaysia. Terletak di selatan negeri Perak, merupakan pusat pentadbiran bagi Hilir Perak.
Bandar Teluk Intan di lingkungi oleh aliran Sungai Perak dan Sungai Bidor. Bandar ini adalah bandar yang terbesar sekali di selatan Perak berbanding dengan Kampar, Tapah, Hutan Melintang dan Bagan Datoh.
Sungguhpun di luar Lebuh raya Utara Selatan, bandar Teluk Intan terus hidup dan pesat membangun.
Dari segi kedudukan bandar di Malaysia, Teluk Intan menduduki tempat ke-17. Di Perak menduduki tempat ketiga. Ini menunjukkan bandar ini sangat penting.
Bandar terdekat ialah Sabak Bernam, Bagan Datoh, Bidor, Tapah, Kampar dan Lumut.
Bandar ini disambungkan dengan Lebuh raya Kayan ke Manjung, Lumut dan Pulau Pangkor. Laluan ke Tapah dan Bidor.
Asal - Usul Nama Teluk Intan
Teluk Mak Intan.
Nama Teluk Mak Intan diambil dari seorang janda yang dikatakan mempunyai rupa paras yang cantik iaitu Mak Intan, beliau adalah seorang saudagar yang berasal dari Mandahiling, Sumatera. Beliau adalah peneroka yang membuka Teluk Intan disekitar awal abad ke 19. Pada waktu itu, kawasan yang diterokai oleh Mak Intan dikenali sebagai Pekan Mak Intan.
Berikutan penerokaan ini, ramailah orang seberang berketurunan Jawa, Rawa, Mandahiling, Minangkabau, Kampar dan kemudian India-Bombay datang mendiami kawasan yang baru diterokai itu, kebanyakan daripada mereka adalah para petani dan para pedagang barangan tradisi seperti rempah ratus, kain, inggu, kacip, parang dan sebagainya.
Berkuatkuasa 1 Januari 1982, bandar ini bertukar nama dari Teluk Anson kepada Teluk Intan.
Info lain:
Nama asalnya ialah Teluk Mak Hitam.
Nama asalnya Teluk Mak Intan. Seorang gadis bernama Intan dari sebuah keluarga keturunan Sumatera yang berpengaruh. Bapanya berulang-alik dari Sumatera ke sini untuk berniaga kain batik. Gadis ini mandi di tebing Sungai Perak bersama-sama rakan-rakannya. Cincin pemberian ibunya telah tenggelam dan lenyap di dalam lubuk Sungai Perak. Sejak itu diberi nama Teluk Mak Intan
Kemudiannya Telok Mak Intan telah di tukar nama kepada Teluk Anson sempena nama Jeneral Archibald Anson iaitu gabenor Inggeris yang datang ke Telok Mak Intan pada masa itu.
Bentuk Muka Bumi
Muka buminya mendatar dan hanya di Changkat Jong dan Tapah agak tinggi sedikit. Tanah jenis aluvium, hasil limpahan lombong bijih timah daripada Batang Padang dan Lembah Kinta. Airnya keruh. Dahulu, likuan Sungai Perak diTeluk Intan ini penuh dengan hutan nipah dan bakau sehingga tahun 1970. Seberang Teluk Intan mengeluarkan atap nipah dan kayu bakau .
A
Panduan ke Teluk Intan
Ada 5 jalan bertumpu ke bandar Teluk Intan
1. Dari arah Plaza Tol Tapah, Tapah Road, Chenderong Balai dan Kampung Gajah.
2. Dari arah Plaza tol Bidor dan Kuala Lumpur.
3. Plaza Tol Kampar dan Kuala Lumpur.
4. Dari arah Hutan Melintang, Sabak Bernam dan Bagan Datoh serta Kelang.
5. Dari Sitiawan dan Lumut melalui Lebuh raya Kayan.
Tempat-tempat Menarik
Batu Bertenggek
Batu bertenggek merupakan seketul batu besar , sebesar kereta Kancil yang diletakkan atas binaan lain berhadapan dengan bangunan SKOMK . Batu bertenggek ini merupakan Tugu Peringatan bagi perajurit yang terkorban dalam masa Perang Dunia Kedua.
Beting Beras Basah yang terletak di Bagan Datoh, Perak berhampiran dengan muara Sungai Perak merupakan kawasan pantai pasir yang kadang-kala timbul dan kadang-kala tenggelam apabila air pasang berlaku.
Beting Beras Basah dikaitkan dengan Sultan Perak yang pertama telah menjejakkan kaki di sini. Setiap kali pertabalan Sultan Perak, sultan tersebut mestilah menghilir Sungai Perak dari Kuala Kangsar hingga ke Beting Beras Basah
Jeti Bagan Datoh
Salah satu dari tarikan utama pelancong ke Teluk Intan ialah Jeti Bagan Datoh. Ia adalah tempat yang sesuai untuk beristirehat di Teluk Intan, juga dilengkapi dengan kemudahan tempat makan.
Menara Condong Teluk Intan
Salah satu dari tarikan utama pelancong ke Teluk Intan ialah Menara Condong Teluk Intan. Menara ini telah dibina oleh arkitek cina En. Leong Choon Cheong dan berfungsi sebagai tangki simpanan air untuk bekalan penduduk sekitar disamping berfungsi sebagai jam.
Pada masa ini menara ini tidak lagi berfungsi sebagai tangki simpanan air namun jam tersebut masih lagi berfungsi dan akan berbunyi setiap 15 minit. Kawasan sekitar menara telah diturap dengan bata dan dijadikan sebagai plaza untuk pelbagai aktiviti di samada aktiviti rasmi atau tidak rasmi.
Jalan di tengah-tengah Bandar Teluk Intan telah dinamakan sebagai Jalan Ah Cheong sempena memperingati sumbangan En. Leong Choon Cheong yang telah membina menara tersebut.
LOKASI:
Menara Jam ini terletak di antara pertemuan dataran segi empat, iaitu Jalan Pasar dan Jalan Ah Cheong dengan Jalan Selat dan Jalan Bandar dikiri dan kanan menara.
ANGGARAN KOS:
Tidak diketahui.
TAHUN DIBINA:
1892
ARKITEK:
Tidak diketahui tetapi mengikut rekod "A Hundred Years Of Ceylonese In Malaysia and Singapore" (1867-1967), Mr. S. Sabapathy (Asst. Engineer), P.W.D. Teluk Intan, membantu dalam pembinaan ini.
SENARAI PENDERMA:
Kontraktor Cina yang dikenali sebagai Leong Choon Cheong dan kontraktor Ceylon telah membina dan penderma utama.
Dermaan daripada penduduk tempatan untuk membeli Jam Berkunci dari London buatan Firma J.W. Benson – Ludgatehill London.
TUJUAN DIBINA:
Melalui kajian yang dibuat terhadap Menara Jam Condong yang dahulu dikenali sebagai Jam Tinggi, tujuan dan motif pembinaannya seperti berikut:
Sebagai keperluan memadam api sekiranya berlaku kebakaran.
Sebagai tangki air untuk penduduk bandar sekiranya berlaku kemarau
Memperingati jasa pentadbir (Pentadbir British)
Sebagai penentu waktu "Time Keeper" dan mercu tanda bandar Teluk Intan.
SEJARAH PEMILIKAN:
Walaupun kontraktor Leong Choon Cheong berusaha membina menara jam ini dahulu, namun tidak dapat dinafikan bahawa pihak British adalah pemilik dan pentadbir ketika itu. Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, menara jam ini secara automatis menjadi milik negara dan kini ia dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Semasa pemerintahan Jepun, bangunan ini telah digunakan pula oleh askar-askar Jepun sebagai menara kawalan bagi memerhatikan musuh.
SEJARAH PENGGUNAAN / PENYEWAAN:
1940 - Pejabat Pengakap di tingkat 2.
1977 hingga 1992 - Pejabat Cawangan Perancang Keluarga (National Family Planning Board)
DISKRIPSI GAYAPURA:
Setelah diteliti, didapati pengaruh senibina Cina yang paling kuat pada Menara Jam Condong. Ini adalah kerana ia berkonsep sebuah "Pagoda". Walaupun pembinaannya pada zaman pemerintahan British, namun pengaruh Cina, penderma dan kontraktor telah berjaya dalam memperjuangkan budaya untuk dihayati. Ini jelas didapati pada fasad bangunan menara jam ini seperti gerbang, bumbung genting dan hiasan jubin dan sebagainya yang menunjukkan kekayaan budaya dan senibina Cina.
Dari luar kelihatan seolah-olah menara jam ini adalah bangunan 8 (Lapan) tingkat; sebenarnya hanya terdapat 3 (Tiga) tingkat sahaja. Menara jam ini memiliki 110 anak tangga yang menghubungkan setiap aras yang tingginya 15.5 kaki. Kekayaan senibina yang diperbuat daripada struktur kayu dan batu; terdapat setiap tingkap dilengkapi dengan lorong jalan 6 (Enam) kaki lebar berdindingkan tembok rendah 2 (Dua) kaki yang dihiasi dengan batu berwarna hijau. Ketelitian senibinanya dan perancangan ruang dapat dilihat dari adaptasi kegunaannya sebagai tangki air ditingkat 3 (Tiga) yang diperbuat dari kepingan keluli setinggi 16 kaki dengan muatan 680 kaki padu. Lapisan bawah bangunan ini berukuran garis pusat 43 kaki dan menguncup ke atas 27 kaki.
FAKTOR KECONDONGAN:
Bangunan tersebut didirikan di atas struktur tanah yang lembut disamping itu terdapat bebanan tangki yang menakung air yang telah menyebabkannya condong sedikit ke arah barat laut.