NGO BELA PENJENAYAH, TRAGEDI PEMBUNUHAN ADIB BAKAL BERULANG


Beberapa hari selepas kejadian empat suspek samun ditembak mati di Sungai Buloh, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai 'Datuk' yang mewakili sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berkata bahawa dia akan mengadakan bantahan secara berkumpulan. Pemangku Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed mengesahkan bahawa lelaki itu ada menghubungi ibu pejabat polis daerah Sungai Buloh untuk memaklumkan rancangannya itu.

Saya melihat ini adalah tindakan mengganggu tugas penjawat awam yang berniat untuk melindungi penjenayah yang telah disahkan bahawa keempat-empat suspek, berusia 20-an, terlibat dalam lebih 50 rompakan di Selangor sepanjang tahun ini.

Menurut maklumat pihak polis, 'gang' atau kumpulan penjenayah ini telah lama dipantau dan telah banyak melakukan jenayah samun dan rompakan.

Pada kejadian jam 1 tengah hari itu, sepasukan polis, yang mendapat maklumat mengenai rompakan di sebuah rumah di Taman Pelangi, Rawang, terserempak dengan sebuah kereta Perodua Axia yang mencurigakan dengan empat lelaki di Sungai Buloh. Engkar arahan polis supaya berhenti, kereta itu memecut ke arah Jalan Kuala Selangor dan bertembung dengan seorang penunggang GrabFood yang juga seorang Ibu Tunggal dan mengheretnya sejauh beberapa meter. Polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan ke arah kereta suspek untuk menyelamatkan mangsa.

Tindakan pihak polis adalah selari dengan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka iaitu mencegah jenayah dan melindungi rakyat. Orang ramai seharusnya membela mangsa rompakan atau samun, bukannya membela penjenayah yang melanggar undang-undang, mengancam dan membahayakan masyarakat.

Oleh itu, tindakan NGO yang kononnya mahu membela nasib mangsa yang ditembak polis akibat jenayah adalah salah dan tidak bertamadun. Siapapun mereka adalah amat jelas perlakuan jenayah seperti ini tidak boleh dipolitikkan dan dipergunakan untuk kepentingan diri.

Selain itu saya amat percaya bahawa perkara seperti ini jika tidak dibendung ianya akan mengulangi peristiwa "Pembunuhan Muhammad Adib Mohd Kassim". Perhimpunan atau bantahan yang mereka buat akan menjurus ke arah "perkauman" yang kemudiannya menjadi tidak terkawal dan berakhir dengan tragedi.

Pihak Polis wajib mengambil tindakan terhadap mereka-mereka yang cuba menyemarakkan api perkauman dan mengancam keamanan dan kestabilan negara.


Sumber: Malaysiakini, BH Online, Malaysia Gazette