Lebih 6,000 nelayan menuntut kerajaan PKR
Selangor supaya membatalkan cadangan untuk mengenakan caj jeti pendaratan dan
tambatan bot sebanyak RM600 setahun kepada golongan itu di negeri ini.
Tuntutan itu dibangkitkan Pengerusi Persatuan
Nelayan Negeri Selangor (Penegor), Mohd. Jaman Haris kerana beliau menyifatkan
cadangan yang dibuat menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bukan sahaja
tidak masuk akal tetapi turut dilihat sebagai tindakan yang seolah-olah menekan
pendapatan nelayan.
Katanya, kebanyakan jeti di negeri ini
sama ada di kawasan Sungai Besar, Kuala Selangor, Pelabuhan Klang, Kuala Langat
dan Sepang dibina oleh Kerajaan Pusat menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
(LKIM) manakala pengurusannya diletakkan di bawah persatuan nelayan di kawasan
masing-masing.
“Justeru, mengapa pula kerajaan negeri mahu
mengenakan caj jeti pendaratan dan jeti tambatan sebanyak RM600 setahun kepada
nelayan di negeri ini, sedangkan selama ini mereka tidak dikenakan sebarang caj
ke atas penggunaan jeti sedia ada?
“Kerajaan negeri perlu ingat bahawa
pendapatan golongan nelayan di negeri ini tidaklah seberapa dan hanya
bergantung kepada keadaan cuaca serta hasil tangkapan yang diperoleh setiap
hari. Mengapa pula kerajaan negeri mahu menyusahkan golongan nelayan yang jelas
menyumbang kepada sektor pengeluaran makanan di Selangor ini?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang
akhbar di pejabat Penegor di sini hari ini.
Tambah Mohd. Jaman, selain kesal dengan
cadangan itu, beliau turut menyatakan kerajaan negeri sepatutnya mencari jalan
untuk membantu bagaimana untuk menambah pendapatan golongan nelayan di negeri
ini selaras dengan slogan mereka iaitu ‘hasil negeri untuk rakyat’.
“Bagaimanapun, melihat daripada cadangan
ini, kita boleh katakan slogan itu telah menjadi ‘hasil rakyat untuk negeri’
pula. Sepatutnya kerajaan negeri bantu kami nelayan ini... bantu bagaimana nak
tambah pendapatan kami,” jelasnya yang turut berhasrat untuk menyerahkan
memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam
tempoh terdekat ini.
Dalam pada itu, Mohd. Jaman bagaimanapun
turut menyatakan pihaknya tidak ada masalah untuk menerima cadangan kerajaan
negeri mahu mengenakan bayaran Lesen Menduduki Sementara (TOL) bagi tanah jeti
di negeri ini.
Bagaimanapun, kadar bayaran itu diharapkan
dapat dibuat pada kadar munasabah dan tidak membebankan golongan nelayan.
Berita ini dikeluarkan pada bulan Jun yang lepas tetapi malangnya Rakyat Selangor sudah lupa penindasan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri kerana dimomokkan dengan pelbagai kegagalan kerajaan.
Hari ini pengundi Sungai Besar terutama Nelayan harus ingat, Kerajaan Negeri tidak pernah lupa dengan apa yang dia pernah nyatakan cuma mereka senyap bila PRK berlangsung dan selepas PRK nanti nelayan sudahpun dikenakan caj ini.
Undi nelayan kepada Barisan Nasional (BN) boleh memberi harapan baru untuk kita menentang kezaliman yang dilakukan oleh Kerajaan Selangor yang Zalin ini.