Islam Melayu Raja (IMR)

Kekuatan Agama Islam di Malaysia adalah terletak pada kekuatan perpaduan orang Melayu, Bangsa yang kuat mampu mencapai objektif Agama, kerana itu diatas kecerdikan pemimpian UMNO telah meletak kan syarat yang penting di dalam Perlembagaan 153 .152 , 160 dan juga Pekara 121(A)


Section 1.01 Artikel 153 Perlembagaan Malaysia
Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga hak keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel mengspesifikkan bagaimana kerajaan pusat melindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada sosial kontrak, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu — kepercayaan orang Melayu bahawa mereka adalah penduduk asal Malaysia.


Berikut adalah penyataan penuh Artikel 153 Perlembagaan Malaysia.
Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.


(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.


(2) Walau apa pun apa-aa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalnakan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.


(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.


(4) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang dinikmati olehnya.


(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan peruntukan Perkara 136.


(6) Jika menurut undang-undang persekutuan yang sedia ada suatu permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan fungsinya di bawah undang-undang itu mengikut apa-apa cara, atau memberikan apa-apa arahan am kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan di bawah undang-undang itu dengan pemberian permit atau lesen itu, sebagaimana yang dikehendaki untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklaah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.


(7) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh berkuat kuasa untuk melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu atau untuk memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-mana orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak seseorang jika pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.


(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika menurut mana-mana undang-undang persekutuan apa-apa permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak; tetapi tiada undang-undang sedemikian boleh, bagi maksud memastikan perizaban itu—


a) melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu; atau


b) memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-manaa orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang jika pembaharuan atau pemberian itu mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan, atau menghalang mana-mana orang daripada memindahkan hakmilik bersama dengan perniagaannya apa-apa lesen yang boleh dipindahkan hakmiliknya untuk mengendalikan perniagaan itu; atau


c) jika tiada permit atau lesen dahuluya dikehendaki bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan itu, memberi kuasa untuk menolak pemberian permit atau lesen kepada mana-mana orang bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan yang telah dijalankan olehnya secara bona fide sebaik sebelum undang-undang itu mula berkuat kuasa, atau memberi kuasa untuk menolak pembaharuan kemudiannya mana-mana permit atau lesen mana-mana orang, atau untuk menolak pemberian mana-mana permit atau lesen sedemikian kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang itu jika, mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu, pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.


d) (8A) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.


(9) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.
(9A) Dalam Perkara ini ungkapan “anak negeri” berhubung dengan Negeri Sabah atau Sarawak hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Perkara 161A.


(10) Perlembagaan Negeri yang ber-Raja boleh membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan peruntukan Perkara ini.
Terdapat perbezaan ketara di antara artikel 153 perlembagaan Malaysia dengan artikel 153 perlembagaan Singapura yang masing-masing menyebut mengenai hak istimewa orang Melayu. Artikel 153 (Malaysia) lebih spesifik dengan menjelaskan bagaimana hak-hak orang Melayu dan Bumiputra Malaysia dipertahankan. 


Ketuanan Melayu
Ketuanan Melayu ialah konsep perkauman yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia . Orang Cina dan India di Malaysia yang dianggap sebagai pendatang (yang dibawa masuk oleh British) disifatkan terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesanggupan dan kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia sebagai prasyarat British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai timbal balik kerana kesanggupan dan kesediaan apa yang disifatkan sebagai pengorbanan orang Melayu itu, perlembagaan memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa dan ini dimaktubkan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia). 


Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini biasanya dipanggil Kontrak Sosial. Konsep Ketuanan Melayu ini sering kali dijadikan retorik ahli politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang berpengaruh semenjak 50 tahun Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) mencapai kemerdekaannya dari British sebagai usaha meraih sokongan orang Melayu walaupun pada hakikatnya tidak ramai orang Melayu yang arif tentang konsep atau fahaman ini.


Walaupun retorik ini wujud sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, frasa ketuanan Melayu tidak menjadi satu perkara yang disebut ramai hingga ke awal tahun 2000-an. Kebanyakan tentangan konsep ini adalah daripada parti-parti yang tidak berdasarkan kaum Melayu, seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), tetapi sebelum kemerdekaan orang Baba dan Nyonya juga menentang konsep ini. Konsep keulungan kaum Melayu mendapat perhatian dalam tahun 1940-an apabila orang Melayu bersatu untuk menentang penubuhan Malayan Union dan kemudian, berjuang untuk kemerdekaan. Semasa tahun 60-an, terdapat usaha yang cukup besar untuk mencabar ketuanan Melayu, diketuai oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari Singapura — yang merupakan negeri Malaysia dari 1963 hingga 1965 — dan DAP selepas pemisahan Singapura. Walaupun begitu, sebahagian Perlembagaan berkaitan ketuanan Melayu berakar umbi selepas rusuhan kaum Mei 13, 1969 yang terjadi akibat kempen pilihan raya yang menjadikan hak-hak orang bukan Melayu dan ketuanan Melayu sebagai isu tumpuan. Tempoh ini juga menyaksikan kebangkitan ultra yang mendesak agar kerajaan parti tunggal diketuai UMNO, dan pertambahan penekanan bahawa orang Melayu merupakan “orang asal” Malaysia — iaitu hanya orang Melayu boleh dianggap penduduk asal Malaysia.


Tentangan yang dimainkan oleh DAP ini sebenarnya merupakan lanjutan tentangan yang dimainkan oleh parti induk DAP iaitu parti PAP(Singapura). 
Berikut adalah tentangan mengenai ketuanan Melayu di dalam fasal 153 Perlembagaan Malaysia oleh PAP.


Ahli politik Singapura, Lee Kuan Yew (kemudian menjadi Perdana Menteri Singapura) Parti Tindakan Rakyat (PAP; cawangannya di Malaysia kemudiannya menjadi Parti Tindakan Demokratik atau DAP) secara umumnya mempersoalkan keperluan Artikel 153 dalam Parliamen, dan menyeru satu “Malaysian Malaysia”. Mempersoalkan kontrak sosial , Lee telah menyatakan: “Merujuk kepada sejarah, orang Melayu telah mula untuk berhijrah ke Malaysia dalam bilangan yang banyak hanya kira-kira 700 tahun yang lalu. Dalam 39 peratus orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira sepertiga secara perbandingan hanya imigran seperti setiausaha agung UMNO, Dato’ Syed Ja’afar Albar, yang datang ke Malaya dari Indonesia sebelum perang ketika berumur lebih tiga puluh tahun.


Kontrak Sosial
Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kekadang digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.


Dalam konteks biasa yang berkaitan dengan hubungan ras, kontrak sosial telah kerap kali dibidaskan, termasuk juga oleh ahli-ahli politik dalam kerajaan campuran Barisan Nasional yang menegaskan bahawa tidak habis-habis bercakap tentang hutang orang-orang bukan Melayu kepada orang-orang Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan telah merenggangkan golongan-golongan bukan Melayu daripada negara mereka. Kritikan-kritikan seumpama ini telah ditentang oleh media Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti politik yang terbesar dalam Barisan Nasional. Banyak orang Melayu, biasanya daripada UMNO, telah mempergunakan kontrak sosial ini untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu.


Kontrak sosial selama ini telah lama diamalkan oleh para pemimpin terutamanya pemimpin dari parti kompenen Barisan Nasional. Tidak terdapat syarat-syarat formal mengenai kontrak sosial ini. Di bawah sedikit petikan mengenai kontrak sosial.


Perlembagaan Malaysia tidak merujuk kepada sebuah “kontrak sosial” (dari segi hak kewarganegaraan dan hak istimewa) secara ketara, dan tidak terdapat sebarang undang-undang atau dokumen yang pernah menjelaskan syarat-syarat kontrak sosial secara penuh. Pembela-pembelanya sering merujuk kepada Perlembagaan sebagai mengemukakan kontrak sosial, dan bapa-bapa kemerdekaaan juga bersetuju dengannya, walaupun rujukan kepada kontrak sosial tidak dibuat dalam Perlembagaan. 


Sebaliknya, kontrak sosial biasanya dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan orang asli (kebanyakannya orang Malaysia Cina dan Malaysia India) sebagai ganti untuk pemberian hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan orang-orang asli (dirujuk secara kolektif sebagai Bumiputera). Sebuah buku teks kajian Malaysia pendidikan tinggi yang menepati sukatan pelajaran kerajaan mengatakan: “Oleh sebab pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan, pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India telah menerima kedudukan istimewa Melayu sebagai penduduk asli Malaya. Dengan penubuhan Malaysia, status kedudukan istimewa itu diperluas untuk merangkumi komuniti-komuniti penduduk asli Sabah dan Sarawak.” 


Perlembagaan secara ketara memberikan tanah rizab Bumiputera, kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu, jika kerajaan membenarkan. Bagaimanapun pada hakikatnya, khususunya selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru Malaysia (NEP), akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 ketika kaum Melayu hanya memiliki 4% daripada ekonomi Malaysia, hak-hak istimewa Bumiputera diperluas kepada bidang-bidang yang lain; kuota-kuota ditentukan untuk ekuiti Bumiputera dalam perbadanan awam, dan diskaun-diskaun sebanyak 5% hingga 15% untuk membeli kereta dan harta tanah diberikan.


Setengah-setengah orang mengatakan bahawa kecondongan terhadap orang-orang Melayu dalam pendidikan dan politik sebahagiannya merupakan tindak balas terhadap keupayaan orang-orang Malaysia Cina untuk memperoleh kebanyakan kekayaan negara itu. Bagaimanapaun, orang-orang Malaysia India boleh mengemukakan hujah bahawa merekalah yang mengalami kerugian yang paling banyak, walaupun ini boleh dipertikaikan.


Kerajaan ada mengundurkan sistem kuota untuk kemasukan ke universiti-universiti awam pada 2003 dan memperkenalkan dasar “meritokrasi”. Bagaimanapun, sistem baru ini dikritik secara meluas oleh orang-orang bukan Bumiputera kerana hanya memanfaatkan kaum Bumiputera yang ditempatkan dalam rancangan matrikulasi yang menonjolkan kerja kursus yang agak mudah sedangkan orang-orang bukan Bumiputera terpaksa mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Walaupun secara teori, orang-orang bukan Bumiputra boleh masuk aliran matrikulasi, ini jarang berlaku pada hakikatnya. Meritokrasi juga dikritik oleh sebilangan pihak dalam UMNO sebagai berdiskriminasi kerana ia mengakibatkan orang-orang Melayu luar bandar terkebelakang dalam kadar kemasukan universiti.


Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial, adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan. Bagaimanapun, disebabkan Peristiwa 13 Mei yang menyebabkan pengisytiharan darurat, tahun 1972 yang merupakan tahun kajian semula Perkara 153 berlangsung tanpa sebarang peristiwa.


Menurut penyokong-penyokong kontrak sosial, sebagai balasan untuk enakmen peruntukan-peruntukan yang pada asalnya bersifat sementara, orang-orang Malaysia bukan Melayu diberikan kewarganegaraan di bawah Bab I Bahagian III dalam Perlembagaan. Kecuali hak-haki istimewa Bumiputera, orang-orang bukan Bumiputera dianggap sebagai sama saja dengan orang-orang Bumiputera dan diberikan semua hak kewarganegaraan di bawah Bahagian II dalam Perlembagaan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, sebilangan orang telah mencuba untuk membekalkan warganegara-warganegara Melayu dengan lebih banyak hak politik menurut falsafah ketuanan Melayu. Kebanyakan penyokong ketuanan Melayu memperdebatkan bahawa hak-hak tambahan ini telah ditulis dalam undang-undang dan hanya perlu dipertahankan daripada pembangkang-pembangkang.


Apabila mengambil alih jawatan presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman (kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama) menyatakan bahawa


“…apabila kami (orang-orang Melayu) menentang Malayan Union (yang menjejaskan kedudukan hak-hak orang Melayu), kaum-kaum lain tidak mengambil bahagian kerana mereka mengatakan ini hanya merupakan masalah Melayu, dan bukan masalah mereka. Mereka juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka adalah kepada negara-negara asal mereka dan oleh itu, menentang Laporan Barnes yang bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Jika kami menyerahkan orang-orang Melayu kepada orang-orang yang dikatakan orang Malaya ketika kerakyatan mereka masih belum ditakrifkan, kami akan menghadapi banyak masalah pada masa hadapan.” Bagaimanapun, dia menambah bahawa “Bagi mereka yang mencintai dan berasa bahawa mereka terhutang kesetiaan yang tidak berbelah bagi, kami menyambut mereka sebagai orang Malaya. Mereka harus merupakan orang Malaya yang benar, dan mereka akan mempunyai hak-hak dan hak-hak istimewa yang sama dengan orang-orang Melayu.”


Ketiga-tiga di atas merupakan sentimen yang sering dimainkan oleh parti-parti politik sejak kebelakangan ini. Semangan muhibah dikalangan pemimpin-pemimpin awal negara seakan-akan dipermainkan oleh anak cucu mereka yang menjadi pemimpin parti-parti politik pada hari ini. Persoalannya ketika isu kontrak sosial dimainkan oleh pemimpin bukan melayu…di mana pemimpin-pemimpin Melayu terutama dari pembangkang tampil mempertahankan kontrak sosial yang sudah sekian lama terbina?? Adakah adil sekiranya kita membiarkan konsep Ketuanan Melayu ini dihapuskan dan diganti dengan konsep Ketuanan Rakyat (sedangkan Ketuanan Melayu juga adalah sama kecuali penekanan yang lebih diberikan kepada orang Melayu) yang belum terbukti lagi menjamin masa depan orang Melayu? Adilkah sekiranya anak-anak kita terpaksa mengharungi keperitan untuk ‘survive’ di masa hadapan sedangkan kita telah membesar dengan agak selesa sehingga apa yang kita kecapi setakat hari ini adalah hasil dari konsep Ketuanan Melayu. Diharap anak-anak muda faham akan kenapa walaupun negara kita sudah 50tahun merdeka konsep ini masih digunapakai. Konsep ini bukan lah sesuatu yang baru dan sejarah membukti bahawa terpisahnya Malaysia dengan Singapura adalah akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pemimpin parti induk DAP iaitu PAP yang memainkan isu ketuanan Melayu ini. Adakah anda lebih gemar konsep Ketuanan Melayu ini digugurkan dan digantikan dengan konsep Malaysian Malaysia atau konsep Ketuanan Rakyat??? Bukankah pemimpin parti seperti PKR dan PAS ini merupakan anak-anak yang membesar hasil dari konsep Ketuanan Melayu ini. Cuba fikirkan di mana pemimpin-pemimpin ini berada sekiranya konsep Ketuanan Melayu dihapuskan dahulu?? Adakah mereka akan begelar pemimpin??


Terkini:
Istilah “Ketuanan Melayu” perlu dilihat dalam konteks perjuangan orang Melayu sebelum merdeka yang menganggap Semenenjung Tanah Melayu sebagai tanah pusaka (sons of the soil) seperti yang diakui oleh pihak penjajah British ketika itu. Istilah ini juga merujuk kepada situasi sebelum merdeka yang menjelaskan reaksi orang Melayu terhadap penubuhan Malayan Union yang telah menghapuskan “Ketuanan Melayu” dari segi kedaulatan, kuasa politik dan isu kewarganegaraan yang longgar. “Ketuanan Melayu” dilaungkan oleh pemimpin Melayu pada ketika itu bagi menyatupadukan orang Melayu menentang Malayan Union dan bukannya menuntut kemerdekaan. Oleh itu, konsep ini ialah peristiwa dan reality sejarah pada ketika itu dan ia dimasukkan bukan bertujuan untuk menggugat perpaduan masyarakat Malaysia.
Istilah di atas merupakan penjelasan Kementerian Pendidikan mengenai Ketuanan Melayu.


Perkara 152 Perlembagaan Malaysia


Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.
Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.
Section 1.02 Teks


Perkara 152. Bahasa kebangsaan.
(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa—


(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan


(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.


(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.


(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—


(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan


(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkanoleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.


(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:
Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.


(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.


(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.


Perkara 160 dalam Perlembagaan


Perlembagaan membenarkan kebebasan beragama. Perkara 11 menyatakan, “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya,” tetapi perkara ini juga memberi kuasa kepada kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan untuk “mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.” Perkara 3 dalam Perlembagaan menyatakan bahawa, “Islam ialah agama bagi Persekutuan” dan “Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam.” Perkara 160 dalam Perlembagaan mentakrifkan orang Melayu sebagai seseorang yang menganuti agama Islam. Mahkamah sivil biasanya menyerahkan kuasa kepada mahkamah Syariah bagi kes-kes berkaitan keluar daripada agama Islam, dan mahkamah Syariah pula enggan membenarkan sesiapa keluar daripada agama Islam. Undang-undang dan dasar-dasar lain mengenakan beberapa sekatan terhadap kebebasan beragama.


Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan


Mengikut perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. 


• Ini merujuk kes Moorthy lawan S. Kaliamal. Moorthy meninggal dunia pada 25 Disember 2007 dan dikebumikan secara Islam pada 28 Disember 2007.


Penggunaan perkataan seperti kalimah syahadat, Allah dan Kaabah telah dikanunkan sebagai suatu hak istimewa untuk Islam sahaja.


Perlembagaan Persekutuan Malaysia/Badan Kehakiman


Perkara 121. Kuasa kehakiman Persekutuan.
(1) Maka hendaklah ada dua Mahkamah Tinggi yang setara bidang kuasa dan tarafnya, iaitu—


(a) satu di Negeri-Negeri Tanah Melayu, yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi di Malaya dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di mana-mana tempat di Negeri-Negeri Tanah Melayu yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong; dan


(b) satu di Negeri Sabah dan Sarawak, yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di mana-mana tempat di Negeri Sabah dan Sarawak yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong;


(c) (Dimansuhkan),


dan mana-mana mahkamah bawahan yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan dan Mahkamah Tinggi dan mahkamah bawahan itu hendaklah mempunyai apa-apa bidang kuasa dan kuasa yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.


(1A) Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.


(1B) Maka hendaklah ada suatu Mahkamah yang dikenali sebagai Mahkamah Rayuan dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di mana-mana tempat yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan Mahkamah Rayuan hendaklah mempunyai bidang kuasa yang berikut, iaitu—


(a) bidang kuasa untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya (kecuali keputusan Mahkamah Tinggi yang diberikan oleh pendaftar atau pegawai lain Mahkamah itu dan yang boleh dirayukan kepada seorang hakim Mahkamah itu di bawah undang-undang persekutuan); dan


(b) apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.


(2) Maka hendaklah ada suatu mahkamah yang dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di mana-mana tempat yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mempunyai bidang kuasa yang berikut, iaitu—


(a) bidang kuasa untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya;


(b) apa-apa bidang kuasa asal atau runding yang dinyatakan dalam Perkara 128 dan 130; dan


(c) apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.


(3) Tertakluk kepada apa-apa batasan yang dikenakan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan, apa-apa perintah, dekri, penghakiman atau proses mahkamah-mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) atau mana-mana hakimnya hendaklah (setakat yang dibenarkan oleh keadaannya) berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya mengikut maksudnya di seluruh Persekutuan, dan boleh dilaksanakan atau dikuatkuasakan di mana-mana bahagian Persekutuan dengan sewajarnya; dan undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan supaya mahkamah di satu bahagian Persekutuan atau pegawainya bertindak membantu mahkamah di suatu bahagian lain.


(4) Pada menentukan tempat pejabat pendaftaran utama bagi Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri yang hendaklah berunding dengan Ketua-Ketua Menteri bagi Negeri Sabah dan Sarawak dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi itu.


Perkara 122. Keanggotaan Mahkamah Persekutuan.


(1) Mahkamah Persekutuan hendaklah terdiri daripada seorang yang dipertua Mahkamah (yang digelar "Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan"), Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, empat orang hakim lain dan apa-apa bilangan hakim tambahan yang dilantik menurut Fasal (1A).


(1A) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, boleh melantik mana-mana orang yang telah memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan bagi apa-apa maksud atau bagi apa-apa tempoh masa yang ditentukan olehnya:


Dengan syarat bahawa tiada hakim tambahan yang sedemikian menjadi tidak layak untuk memegang jawatan oleh sebab dia telah mencapai umur enam puluh enam tahun.


(2) Seseorang hakim Mahkamah Rayuan selain Presiden Mahkamah Rayuan boleh bersidang sebagai hakim mahkamah Persekutuan jika Ketua Hakim Negara berpendapat bahawa kepentingan keadilan menghendaki yang sedemikian, dan hakim itu hendaklah dinamakan bagi maksud itu (mengikut kehendak keadaan) oleh Ketua Hakim Negara.


Perkara 122A. Keanggotaan Mahkamah Rayuan.


(1) Mahkamah Rayuan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi (yang digelar "Presiden Mahkamah Rayuan") dan, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, sepuluh orang hakim lain.


(2) Seseorang hakim Mahkamah Tinggi boleh bersidang sebagai hakim Mahkamah Rayuan jika Presiden Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa kepentingan keadilan menghendaki yang sedemikian, dan hakim itu hendaklah dinamakan bagi maksud itu (mengikut kehendak keadaan) oleh Presiden Mahkamah Rayuan selepas berunding dengan Hakim Besar Mahkamah Tinggi itu.
Perkara 122AA. Keanggotaan Mahkamah Tinggi.


(1) Setiap Mahkamah Tinggi hendaklah terdiri daripada seorang Hakim Besar dan tidak kurang daripada empat orang hakim yang lain; tetapi bilangan hakim yang lain itu tidaklah boleh, sehingga diperuntukkan selainnya melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong, melebihi—
(a) empat puluh tujuh, di Mahkamah Tinggi di Malaya; dan


(b) sepuluh, di Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.


(2) Mana-mana orang yang layak untuk dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi boleh bersidang sebagai hakim Mahkamah itu jika ditetapkan bagi maksud itu (mengikut kehendak keadaan) mengikut Perkara 122B.


Perkara 122AB. Pelantikan pesuruhjaya kehakiman.


(1) Supaya segera diselesaikan urusan Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan,boleh melalui perintah melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi pesuruhjaya kehakiman bagi apa-apa tempoh atau apa-apa maksud yang dinyatakan dalam perintah itu; dan orang yang dilantik sedemikian hendaklah mempunyai kuasa untuk melaksanakan apa-apa fungsi hakim Mahkamah Tinggi yang ternyata kepadanya dikehendaki dilaksanakan; dan apa-apa jua yang dilakukan olehnya apabila bertindak mengikut pelantikannya hendaklah mempunyai kesahan dan kesan yang sama seolah-olah dilakukan oleh seorang hakim Mahkamah itu, dan berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan itu dia mempunyai kuasa yang sama dan menikmati kekebalan yang sama seolah-olah dia seorang hakim Mahkamah itu.


(2) Peruntukan Fasal (2) dan (5) Perkara 124 hendaklah terpakai bagi seseorang pesuruhjaya kehakiman sebagaimana peruntukan itu terpakai bagi hakim Mahkamah Tinggi.
Perkara 122B. Pelantikan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.


(1) Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan (tertakluk kepada Perkara 122C) hakim-hakim yang lain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.


(2) Sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan seseorang hakim, selain Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara.


(3) Sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Hakim Besar setiap Mahkamah Tinggi dan, jika pelantikan itu ialah pelantikan ke Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Menteri bagi setiap Negeri Sabah dan Sarawak.


(4) Sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan seseorang hakim selain Ketua Hakim Negara, Presiden atau seseorang Hakim Besar, Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, jika pelantikan itu ialah pelantikan ke Mahkamah Persekutuan, dengan Presiden Mahkamah Rayuan, jika pelantikan itu ialah pelantikan ke Mahkamah Rayuan dan, jika pelantikan itu ialah pelantikan ke mana-mana satu Mahkamah Tinggi, dengan Hakim Besar Mahkamah itu.


(5) Perkara ini hendaklah terpakai bagi penetapan seseorang untuk bersidang sebagai hakim Mahkamah Tinggi di bawah Fasal (2) Perkara 122AA sebagaimana Perkara ini terpakai bagi pelantikan seseorang hakim mahkamah itu, selain Hakim Besar.


(6) Walau apa pun tarikh pelantikan mereka masing-masing sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri yang diberikan selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara, boleh menentukan susunan keutamaan hakim-hakim sesama mereka sendiri.
Perkara 122C. Pertukaran hakim dari suatu Mahkamah Tinggi ke suatu Mahkamah Tinggi lain.
Perkara 122B tidaklah terpakai bagi pertukaran seseorang hakim dari suatu Mahkamah Tinggi ke suatu Mahkamah Tinggi yang lain, melainkan jika pertukaran itu adalah sebagai Hakim Besar atau pertukaran Hakim Besar; dan pertukaran yang sedemikian boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, atas syor Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, selepas berunding dengan Hakim-Hakim Besar bagi kedua-dua Mahkamah Tinggi itu.
Perkara 123. Kelayakan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.


Seseorang layak dilantik di bawah Perkara 122B sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, sebagai hakim Mahkamah Rayuan atau sebagai hakim mana-mana Mahkamah Tinggi jika—


(a) dia seorang warganegara; dan


(b) bagi tempoh sepuluh tahun sebelum pelantikannya dia telah menjadi peguam bela bagi mahkamah itu atau mana-mana satu daripada mahkamah itu atau menjadi anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau perkhidmatan perundangan sesuatu Negeri, atau pada suatu masa menjadi peguam bela dan pada suatu masa lain berkhidmat sebagai anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan atau perkhidmatan perundangan sesuatu Negeri.


Perkara 124. Sumpah jawatan hakim.
(1) Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, sebelum menjalankan fungsi jawatannya, hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam, dan hendaklah berbuat demikian di hadapan Yang di-Pertuan Agong.


(2) Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, selain Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, sebelum menjalankan fungsi seorang hakim hendaklah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia yang dinyatakan dalam Jadual Keenam berhubung dengan kewajipan kehakimannya dalam apa-apa jua jawatan. (2A) Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi Presiden Mahkamah Rayuan hendaklah berbuat demikian di hadapan hakim kanan yang ada bagi Mahkamah Rayuan.


(3) Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi Hakim Besar Mahkamah Tinggi hendaklah berbuat demikian di hadapan hakim kanan yang ada bagi Mahkamah Tinggi itu.


(4) Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah berbuat demikian di hadapan Ketua Hakim Negara atau, jika Ketua Hakim Negara tidak ada, di hadapan hakim yang kanan selepasnya yang ada bagi Mahkamah Persekutuan.


(4A) Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi hakim Mahkamah Rayuan hendaklah berbuat demikian di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan atau, jika Presiden Mahkamah Rayuan tidak ada, di hadapan hakim yang kanan selepasnya yang ada bagi Mahkamah Rayuan.


(5) Seseorang yang mengangkat sumpah apabila menjadi hakim Mahkamah Tinggi (tetapi bukan Hakim Besar) hendaklah berbuat demikian di hadapan Hakim Besar Mahkamah itu atau, jika Hakim Besar tidak ada, di hadapan hakim yang kanan selepasnya yang ada bagi Mahkamah itu.


Perkara 125. Tempoh jawatan dan saraan hakim Mahkamah Persekutuan.


(1) Tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur enam puluh enam tahun atau sehingga suatu masa kemudiannya yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi masa itu tidak boleh kemudian daripada enam bulan selepas dia mencapai umur enam puluh enam tahun.


(2) Seseorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak boleh dipecat daripada jawatan kecuali mengikut peruntukan yang berikut dalam Perkara ini.


(3) Jika Perdana Menteri, atau Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan Perdana Menteri, membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menyatakan bahawa seseorang hakim Mahkamah Persekutuan patut dipecat atas alasan apa-apa pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3B) atau atas alasan tidak berdaya, oleh sebab kelemahan tubuh atau akal atau apa-apa sebab lain, untuk menunaikan fungsi jawatannya dengan sepatutnya, maka Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu tribunal mengikut Fasal (4) dan merujukkan representasi itu kepadanya; dan boleh atas syor tribunal itu memecat hakim itu daripada jawatan.


(3A) Jika seseorang hakim telah melakukan pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3B) tetapi Ketua Hakim Negara berpendapat bahawa pelanggaran itu tidak mewajarkan hakim itu dirujukkan kepada tribunal yang dilantik di bawah Fasal (4), Ketua Hakim Negara boleh merujukkan hakim itu kepada suatu badan yang ditubuhkan di bawah undang-undang persekutuan untuk mengendalikan pelanggaran itu.


(3B) Yang di-Pertuan Agong atas syor Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi boleh, selepas berunding dengan Perdana Menteri, menetapkan secara bertulis suatu kod etika yang hendaklah juga mengandungi peruntukan tentang tatacara yang hendaklah diikuti dan sanksi yang boleh dikenakan selain pemecatan seseorang hakim daripada jawatannya di bawah Fasal (3), berhubung dengan pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika itu.


(3C) Kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3B) hendaklah dipatuhi oleh tiap-tiap hakim Mahkamah Persekutuan dan tiap-tiap pesuruhjaya kehakiman.


(4) Tribunal yang dilantik di bawah Fasal (3) hendaklah terdiri daripada tidak kurang daripada lima orang yang memegang atau pernah memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, atau, jika ternyata kepada Yang di-Pertuan Agong suai manfaat pelantikan sedemikian dibuat, orang yang memegang atau pernah memegang jawatan yang setaraf dengannya di mana-mana bahagian lain di dalam Komanwel, dan tribunal itu hendaklah diketuai oleh anggota yang terkanan mengikut susunan yang berikut, iaitu, Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden dan Hakim-Hakim Besar mengikut keutamaan mereka sesama mereka sendiri, dan anggota lain mengikut tarikh pelantikan mereka memegang jawatan yang melayakkan mereka menjadi anggota (antara dua orang anggota, dengan yang lebih tua mendahului yang lebih muda jika tarikh pelantikan mereka itu sama).


(5) Sementara menanti apa-apa rujukan dan laporan di bawah Fasal (3) Yang di-Pertuan Agong boleh atas syor Perdana Menteri dan, dalam hal mana-mana hakim lain selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara, menggantung seseorang hakim Mahkamah Persekutuan daripada menjalankan fungsinya.


(6) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan hakim Mahkamah Persekutuan, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.


(6A) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi terma jawatan hakim Mahkamah Persekutuan selain saraan mereka.


(7) Saraan dan terma lain jawatan (termasuk hak pencen) bagi seseorang hakim Mahkamah Persekutuan tidak boleh, selepas pelantikannya, diubah menjadi kurang baik baginya.
(8) Walau apa pun Fasal (1), kesahan apa-apa jua yang dilakukan oleh seseorang hakim Mahkamah Persekutuan tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa dia telah mencapai umur yang dia dikehendaki bersara.


(9) Perkara ini hendaklah terpakai bagi seseorang hakim Mahkamah Rayuan dan bagi seseorang hakim Mahkamah Tinggi sebagaimana Perkara ini terpakai bagi seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, kecuali bahawa sebelum menggantung seseorang hakim Mahkamah Rayuan atau hakim Mahkamah Tinggi selain Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Mahkamah Tinggi di bawah Fasal (5), Yang di-Pertuan Agong hendaklah berunding dengan Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Mahkamah Tinggi itu dan bukan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.
(10) Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi bertanggungjawab kepada Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.


Perkara 125A. Penjalanan kuasa oleh hakim-hakim.


(1) Walau apa-pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, dengan ini ditegaskan bahawa—


(a) Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan dan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh menjalankan semua atau mana-mana kuasa hakim Mahkamah Rayuan dan hakim Mahkamah Tinggi;


(aa) Presiden Mahkamah Rayuan dan seseorang hakim Mahkamah Rayuan boleh menjalankan semua atau mana-mana kuasa hakim Mahkamah Tinggi; dan


(b) seseorang hakim Mahkamah Tinggi di Malaya boleh menjalankan semua atau mana-mana kuasa hakim Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, dan sebaliknya.


(2) Peruntukan Perkara ini hendaklah disifatkan telah menjadi suatu bahagian perlu Perlembagaan ini mulai dari Hari Malaysia.


Perkara 126. Kuasa menghukum kerana penghinaan.
Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi berkuasa menghukum apa-apa penghinaan terhadapnya.


Perkara 127. Sekatan mengenai perbincangan di dalam Parlimen tentang kelakuan hakim
Kelakuan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi tidaklah boleh dibincangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen kecuali atas suatu usul khusus yang notis mengenainya telah diberikan oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu, dan tidaklah boleh dibincangkan di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri.


Perkara 128. Bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.
(1) Hanya Mahkamah Persekutuan sahaja, dan tidak mana-mana mahkamah lain, mempunyai bidang kuasa bagi memutuskan mengikut mana-mana kaedah mahkamah yang mengawal selia penjalanan bidang kuasa sedemikian—


(a) apa-apa soal sama ada sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan sesuatu Negeri adalah tidak sah atas alasan bahawa undang-undang itu membuat peruntukan mengenai sesuatu perkara yang mengenainya Parlimen atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Badan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang; dan


(b) pertikaian atas apa-apa soal lain antara Negeri dengan Negeri atau antara Persekutuan dengan mana-mana Negeri.


(2) Tanpa menjelaskan apa-apa bidang kuasa rayuan Mahkamah Persekutuan, jika dalam mana-mana prosiding di hadapan suatu mahkamah lain suatu soal berbangkit tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa (tertakluk kepada mana-mana kaedah mahkamah yang mengawal selia perjalanan bidang kuasa itu) untuk memutuskan soal itu dan menghantar balik kes itu kepada mahkamah yang satu lagi untuk dibereskan mengikut keputusan itu.


(3) Bidang kuasa Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan rayuan dari Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau seorang hakim Mahkamah itu hendaklah sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undag persekutuan.
Perkara 129. (Bidang kuasa khas Mahkamah Agung tentang tafsiran Perlembagaan-Dimansuhkan).


(Dimansuhkan).
Perkara 130. Bidang kuasa nasihat Mahkamah Persekutuan.
Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.


Perkara 131. (Rayuan daripada Mahkamah Persekutan - Dimansuhkan).
(Dimansuhkan).


Perkara 131A. Peruntukan berkenaan dengan ketidakupayaan, dsb. Ketua Hakim Negara, Presiden atau Hakim Besar.


(1) Apa-apa peruntukan yang dibuat oleh undang-undang persekutuan supaya fungsi Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan atau Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Mahkamah Tinggi dilaksanakan oleh seorang hakim lain Mahkamah Persekutuan sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu atau sekiranya Ketua Hakim Negara, Presiden atau Hakim Besar itu tidak berdaya menjalankan fungsinya, bolehlah meliputi fungsinya di bawah Perlembagaan ini.


(2) Apa-apa peruntukan yang dibuat oleh undang-undang persekutuan supaya fungsi Presiden Mahkamah Rayuan atau Hakim Besar Mahkamah Tinggi dilaksanakan oleh seorang hakim lain Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, mengikut mana-mana yang berkenaan, sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu atau sekiranya Presiden atau Hakim Besar itu tidak berdaya menjalankan fungsinya, bolehlah meliputi fungsi Presiden atau Hakim Besar di bawah Perlembagaan ini selain fungsi sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

No comments: