'JIKA BENAR, MUJAHID TIDAK LAYAK JADI MENTERI AGAMA'


Tajuk beritanya ialah "Tiada lagi operasi khalwat waktu malam - Dr Mujahid" diterbitkan pada Sabtu, 6 Oktober 2018 9:45 pagi.

Mujahid dilaporkan berkata "Tiada lagi ketukan pintu di waktu tengah malam oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau salah laku lain".

Bagaimana jika ada jiran melaporkan kepada penguatkuasa agama bahawa ada berlaku kes khalwat atau minum arak oleh orang Islam dalam kawasan perumahan mereka? Kita ada undang undang. Adakah salah jika penguat kuasa memberi respon kepada laporan jiran tersebut walaupun ia berlaku pada tengah malam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa juga menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh orang Islam di belakang pintu tertutup bukanlah urusan pihak kerajaan.

Jika ia bukan urusan kerajaan, di manakah kita hendak letak hadis nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah ia ubah dengan tangannya (kekuasaan), jika tidak mampu, dengan lidahnya, jika tidak mampu juga, dengan hatinya, dan itu adalah selemah lemah iman."

Soal cegah kemungkaran adalah tanggung jawab kerajaan juga dan bukan hanya masyarakat atau ibu bapa.

Beliau juga dilaporkan berkata: "Katakan anda melakukan sesuatu dalam ruang peribadi anda, saya tidak akan campur tangan."

"Sebagai contoh, pengambilan alkohol adalah satu kesalahan bagi seorang Muslim, tetapi jika anda melakukan perbuatan itu di dalam kawasan anda, maka sebagai sebahagian daripada kerajaan, saya tidak akan campur tangan,".


Adakah kata-kata ini keluar dari mulut seorang menteri agama"? Jika benar, beliau sebenarnya tidak layak menjadi menteri agama kerana kata-katanya jelas menunjukkan beliau tidak faham tanggungjawab dan fungsi menteri agama.
Eloklah beliau meletakkan jawatannya sebagai menteri yang menjaga Jakim dan hal ehwal Islam.

Cemarkan agama Islam

Beliau sebenarnya seolah-olah tidak bertanggungjawab dalam urusan agama Islam bahkan merosakkan imej kementeriannya.

Dr Mujahid perlu mengubah cara berfikir yang songsang yang boleh dilihat sebagai tidak menegakkan kesucian agama Islam bahkan mencemarkan agama Islam dengan pemahamannya yang tersasar dari maqasid syariah.
Beliau juga tidak faham maksud "belas kasihan untuk semua" (rahmatan lil alamin) bahkan terkeluar daripada konteks mencegah kemungkaran. Konsep ini disalahgunakan oleh beliau untuk menjustifikasikan pandangan peribadinya.


Beliau juga mengutuk tindakan memecahkan pintu bagi menangkap pesalah khalwat dan berharap ia tidak diulang lagi dalam pembaharuan yang mahu dilaksanakannya.


Katanya, "Penguatkuasaan khalwat ini telah disalahgunakan dan dieksploitasi dalam beberapa kes. Mereka (pegawai) tidak sepatutnya menggangu ruang lingkup peribadi seseorang individu,".


Apakah beliau masih rasional ketika membuat kenyataan ini? Kenapa beliau senada seirama dengan hujah puak-puak G25 sebelum ini?


Apakah beliau tidak faham, negara kita ada undang-undang agama dan penguatkuasa agama. Apakah sesuatu jenayah syariah tidak dianggap sebagai jenayah jika dilakukan dalam rumah peribadi?


Dari mana beliau belajar mengenai undang-undang syariah. Lebih baik beliau letak jawatan, jika tidak faham mengenai urusan agama.


Tindakan saman fitnah


Kepada yang tidak mendalami hal-hal hukum hakam Islam eloklah tidak mencampuri dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh terpalit dengan dosa-dosa yang dimurkai Allah. Ia nasihat yang ikhlas.


Jika YB Dr Mujahid Yusuf Rawa mendakwa beliau difitnah oleh sebuah media maka beliau sepatutnya segera mengambil tindakan saman fitnah terhadap media tersebut.








Dan media berkenaan juga wajar menerbitkan sepenuhnya teks rakaman penuh kenyataan YB menteri bagi menentukan siapa benar dan siapa pembohong.


Semoga kemuliaan Islam agama Allah tidak dipolitikkan.


DR AMINI AMIR ABDULLAH ialah Pengerusi Biro Hal Ehwal Agama PERKASA merangkap anggota Dewan Tertinggi PERKASA Malaysia

2 comments:

Anonymous said...

Kalau tak benar pun, carilah orang lain yang lebih berkredibiliti. Ingatkan nak memperkasakan intitusi, tapi nampaknya nak memusnahkan apa yang telah dibina!!!

nikkolayebba said...

Oh my goodness! an incredible article dude. Thank you Nonetheless I'm experiencing challenge with ur rss . Don’t know why Unable to subscribe to it. Is there anyone getting an identical rss problem? Anyone who is aware of kindly respond. Thnkx real money casino