Presiden Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia, Mohamad Rafi Awg Kechik mendakwa perdana menteri keempat itu melakukan kesalahan bawah Seksyen 298 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Akta Hasutan 1948.
"Kenyataan Tun Dr Mahathir ini adalah bertujuan untuk mengelirukan serta menimbulkan perasaan resah dan kurang senang umat Islam serta masyarakat Malaysia seluruhnya.
"Kerana beliau telah cuba menyamakan pelantikan seorang manusia biasa melalui proses pilihan rakyat yang berlaku dengan ketentuan Allah SWT, dengan pelantikan seorang nabi dan rasul yang dibuat oleh Allah SWT sendiri," kata Mohamad Rafi dalam kenyataannya kepada Malaysiakini.
Mahathir dalam sidang media di kongres tahunan DAP pada Ahad berkata pemimpin Umno seolah-olah menyamakan perdana menteri dengan nabi apabila merujuknya sebagai pilihan Allah.
Mahathir dilaporkan sebagai berkata mengulas Perhimpunan Agung Umno 2016 yang berlangsung di PWTC minggu lalu.
Mengulas lanjut Mohamad Rafi berkata kenyataan Mahathir itu juga jelas memperlekehkan dan menghina nabi.
Katanya, ia ekoran kenyataan Mahathir bahawa "Nabi pun tidak mempunyai 2.6 bilion dalam akaunnya".
"Perbuatan mengheret nama Baginda Rasulullah ke dalam kemelut politik dan isu yang masih sedang disiasat, bersifat memperlekeh dan menghina Nabi serta umat Islam di negara ini.
"Bahkan perbuatan-perbuatan yang dinyatakan di sini boleh menimbulkan kegelisahan serta rasa kurang senang rakyat Malaysia yang beragama Islam, yang amat sensitif terhadap perbuatan menyamakan seseorang dengan Tuhan mahupun Nabi," kata Mohamad Rafi.
Tambah Mohamad Rafi, meskipun Mahathir telah banyak berjasa dan menjadi negarawan itu untuk berpolitik di pentas mana sekalipun, ia harus berlandas undang-undang dan tidak melanggar syariat.
Sehubungan itu pihak polis digesa menyiasat dan mengambil tindakan ke atas Mahathir sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
No comments:
Post a Comment