PORT DICKSON - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) terus opitimis untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan Food Flotila to Myanmar walaupun sehingga kini masih belum menerima keizinan masuk daripada kerajaan Myanmar.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keizinan untuk kapal misi masuk ke perairan Myanmar masih belum diperolehi oleh kerajaan negara itu tapi Mapim sedang berusaha keras ke arah itu termasuklah melakukan rundingan dengan Wisma Putra.
Menurutnya, walaupun begitu Mapim telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
"Kita masih ada masa dua minggu lagi sebelum pelayaran Food Flotila to Myanmar 7 Januari ini. Tapi jika Myanmar memang tidak memberi keizinan (masuk ke perairan Myanmar) kita akan alihkan pelayaran ke pelabuhan di Bangladesh dan masuk ke Myanmar melalui jalan darat.
"Terlebih dahulu kita akan usahakan untuk masuk juga melalui perairan Myanmar melalui rundingan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Telok Kemang Festival di Dataran Telok Kemang.
Hadir menyempurnakan majlis, Ketua Umno Bahagian Telok Kemang merangkap Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. Hadir sama Pengarah Program Telok Kemang Festival, Mohd Shahril Redzuan.
Mohd Azmi berkata, bantuan yang akan di bawa ke Myanmar melalui Food Flotila to Myanmar untuk membantu umat Islam Rohingya adalah berbentuk makanan, perubatan, pakaian, peralatan memasak dan lain-lain keperluan asas.
Dalam pada itu, Mapim juga terlibat dalam menjayakan Telok Kemang Festival yang berlangsung sejak Jumaat lalu hingga 1 Januari depan dan mempunyai slot khas bermula 28 Disember hingga 1 Januari dengan mengangkat topik, kerohanian, kemanusiaan dan keamanan. -SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment