Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersiap sedia melancarkan Flotilla Makanan untuk Myanmar, kata presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Beliau berkata, segala persiapan teknikal untuk menyegerakan persiapan kapal, penyertaan delegasi dan pengemblengan sokongan seluruh dunia akan digerakkan.
“Situasi kebuluran dan pelarian tanpa perlindungan dan tempat tinggal kini sudah mencecah puluhan ribu dan keadaan akan menjadi lebih parah jika bantuan segera tidak diusahakan.
“Sehubungan itu, kami menggesa supaya misi Flotilla yang diusahakan ini tidak dihalang oleh kerajaan Myanmar.
“Kami juga mengesa agensi antarabangsa memastikan bantuan melalui Flotilla ini mendapat kemudahan yang secukupnya supaya bantuan dapat disalurkan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil daripada Retreat Menteri Luar Asean di Yangon Ahad lalu, kerajaan Myanmar akan membuka laluan untuk bantuan kemanusiaan dihantar kepada kawasan utara Rakhine tempat berlaku serangan ke atas etnik Rohingya Muslim berlaku sejak 9 Oktober yang lalu.
Misi Flotilla bertujuan membawa makanan, ubat-ubatan, khemah, peralatan dan pakaian untuk lebih 30,000 mangsa muslim Rohingya yang kini menjadi orang pelarian.
Flotilla yang diusahakan oleh Mapim bersama rangkaian badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa dijangka bergerak pada awal atau pertengahan Januari 2017.
Ia membabitkan penyertaan sekitar 200 orang dengan menggunakan dua buah kapal.
Dijangka pelayaran akan mengambil masa tiga hingga empat hari dari Pelabuhan Klang ke pengairan Myanmar melalui Laut Andaman dan Teluk Benggal.
Flotilla ini akan membawa 15,000 tan bantuan yang akan diserahkan kepada pos Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang akan membantu mengedarkannya.
Mapim telah memulakan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang telah sempat melarikan diri merentasi sungai Naf untuk masuk ke Bangladesh pada 14 hingga 18 Disember lalu.
No comments:
Post a Comment