KAPAL BANTUAN MALAYSIA DISERANG ISRAEL LAGI..


KAPAL MV Finch 'The Sprit Of Rachel Corrie', yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Palestin anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana diserang tentera Israel sebentar tadi. Imej menunjukkan kapal itu memulakan perjalanan dari Greek ke Al Arish menerusi lautan Mediterrinean. - Foto Rosdan Wahid
KAHERAH: Kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie yang membawa bantuan kemanusiaan ke Palestin bersama 12 krew dan penumpang, termasuk tujuh rakyat Malaysia, dipintas dan ditembak kapal peronda Israel di zon selamat Palestin sebelum dipaksa berundur ke perairan Mesir, kira-kira 1.5 batu nautika dari perairan Gaza jam 6.54 pagi waktu Jordan, hari ini.

Ketika berita ini ditulis, kapal kargo yang turut dinaiki dua warga Ireland, dua warga India dan seorang warga Kanada membawa paip pvc sepanjang 7.5 kilometer bagi membaikpulih dan membina semula sistem pembentungan di Gaza yang terjejas teruk diiringi kapal peronda tentera Mesir ke pelabuhan terdekat yang terletak kira-kira 30 batu nautika dari kawasan itu.
Sebelum itu, kapal kargo misi kemanusiaan tajaan Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) itu diarahkan untuk menurunkan sauh di perairan Mesir sambil dikawal dan dipantau kapal peronda tentera laut Israel dan Mesir.
Jurucakap PGPF di Jordan, Tan Sri Samsudin Hitam memaklumkan mengenai insiden itu kepada wartawan Berita Harian yang kini berada di Kaherah untuk memasuki Gaza melalui sempadan Rafah bagi melaporkan perkembangan mengenai misi kemanusiaan tajaan yayasan itu.
Jurucakap PGPF itu juga mengesahkan kesemua yang berada di atas kapal kargo misi kemanusiaan itu termasuk empat aktivis anti-perang dan tiga wakil media berada dalam keadaan selamat.
"Kapal kargo itu memasuki zon keselamatan Palestin sebelum dipintas dan ditembak serta dipaksa berundur ke perairan Mesir, kira-kira 1.5 batu nautika dari perairan Gaza," katanya.
Sehubungan itu, wartawan akhbar News Straits Times, Iskandar Alang Bendahara yang berada di atas kapal kargo itu berkata, dua kapal peronda Israel melepaskan empat tembakan amaran sebelum mengarahkan kapal itu berundur ke perairan Mesir. 
Kapal kargo itu berlepas dari bandar pelabuhan Piraeus, Greece, Rabu lalu, membawa paip PVC seberat 30 tan yang akan disalur kepada penduduk Palestin untuk membina dan membaik pulih sistem pembentungan dan bekalan air di Gaza yang musnah teruk akibat serangan Israel pada Disember 2008 di mana paip PVC itu hanya boleh digunakan untuk kegunaan saluran bekalan air atau sistem pembentungan saja.
Misi bantuan kemanusiaan PGPF itu bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas perairan Gaza sejak 2007, selain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap krisis kemanusiaan yang menimpa 1.5 juta warga Palestin yang dikepung dari darat dan laut oleh rejim zionis.
Kapal itu dikemudikan rakyat Malaysia, Kapten Abdul Jalil Mansor yang dibantu empat krew iaitu Zainuddin Mohamad (Malaysia), Mohd Jaffery Ariffin (Malaysia) dan dua warga India, Sharma Chandan Shimla dan Pal Satya Prakash.
Misi Kemanusiaan PGPF "The Spirit Of Rachel Corrie"
Krew MV The Spirit Of Rachel Corrie 
1. Kapten Abdul Jalil Mansor, 56 (Kapten/Malaysia)
2. Zainuddin Mohamad, 39, (Jurutera Kapal/Malaysia)
3. Mohd Jaffery Ariffin, 23, (Second Officer/Malaysia)
4. Sharma Chandan Shimla, 30-an, (Krew/India)
5. Pal Satya Prakash, 30-an, (Krew/India)
6. Matthias Chang, 61, (aktivis/Malaysia)
7. Derek Graham, 43, (aktivis/Ireland)
8. Jenny Graham, 41, (aktivis/Ireland)
9. Mohd Radzillah Abdullah, 36, (seranta FELDA)
10.Iskandar Alang Bendahara, 36, (NST)
11. Mohd Faizal Hassan, 27, (BERNAMA)
12. Julie Levesque, 36m (wartawan Global Research/Kanada)
* kumpulan ini bertindak sebagai saksi dan dokumentasi perlu dalam penghantaran misi bantuan kemanusiaan PGPF.
* jumlah keseluruhan krew/penumpang MV The Spirit of Rachel Corrie adalah 12 orang, manakala pasukan darat tujuh orang termasuk empat wakil media.
* tujuh Malaysia, dua warga Ireland , dua India dan seorang rakyat Kanada berada di atas kapal kargo itu.
Maklumat MV The Spirit Of Rachel Corrie
Nama asal : MV Finch
Jenis : kapal kargo (reka bentuk tongkang)
Ukuran saiz : 54.9 meter panjang, 9.4 meter lebar dengan kedalaman 4.75 meter
Tahun : 1989
Buatan : United Kingdom
Kelajuan : 8.5 knot
Muatan kargo : 1,200 tan
Flagship : Moldova
Pelabuhan kapal
didaftarkan : Giurgiulesti
Muatan dibawa : paip pvc sepanjang 7.5km seberat 30 tan bagi membaikpulih/membina sistem pembentungan/bekalan air di Gaza.
Kapten : Kapten Abdul Jalil Mansor, 56.
krew/penumpang : 12 orang, termasuk tujuh rakyat Malaysia, dua warga Ireland, dua warga India dan seorang rakyat Kanada.
* Dinamakan sempena MV Rachel Corrie, kapal kargo Malaysia yang menyertai Flotila Kebebasan Mei tahun lalu bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, tetapi dikepung dan ditahan tentera Israel sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel.
* MV Rachel Corrie mengambil sempena nama aktivis keamanan dari Amerika Syarikat, Rachel Corrie, 23, yang meninggal dunia kerana digilis jentolak "Caterpillar D9" dipandu tentera Israel ketika cuba menghalang rejim zionis daripada memusnahkan rumah penduduk Palestin pada 2003. 
Rachel Corrie meninggal dunia selepas digilis sebanyak dua kali oleh jentolak seberat 108,000 pound itu.
* MV Rachel Corrie yang ditaja PGPF sepatutnya mengetuai Flotila Kebebasan yang berlayar ke Gaza tahun lalu sebelum tempat itu diambil alih oleh MV Mavi Marmara dari Turki.

No comments: