UMNO BUKA KEAHLIAN KEPADA SEMUA KAUM KATA KETUA PEMUDA UMNO, KHARY JAMALUDDIN (KJ)


Umno perlu melihat semula struktur parti itu termasuk membuka keahlian kepada semua kaum, kata Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar susulan kekalahan teruk parti Melayu itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Kita perlu mempertimbangkan semua pilihan, apa model yang kita mahu, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pertubuhan Kebangsaan Malaysia Bersatu, apakah DNA kita, apakah raison d'etre kita?

"Soalan-soalan ini perlu ditanya, kita tidak sepatutnya tetap dengan model yang kita pilih. Semuanya ada di atas meja," kata Khairy dalam temu bual dengan Channel News Asia.

Khairy mengakui Umno dan BN 'berkhayal dan terlalu mabuk' sehingga parti dan gabungan itu mengalami kekalahan teruk selepas enam dekad kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Meskipun mengakui kekalahan itu merupakan tanggungjawab bersama, anggota parlimen Rembau itu berkata BN dan Umno perlu menerima hakikat bahawa mereka telah "ditolak secara sistematik" oleh rakyat.

Menurut Khairy, BN sepatutnya bangkit semula selepas kehilangan majoriti dua pertiga pada tahun 2008 ketika pentadbiran bapa mertuanya yang juga bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, namun keadaan itu tidak berlaku.

"Mereka fikir kalau tukar ketua, segala-galanya akan selesai dengan sendiri. Kita tak boleh buat kesilapan yang sama sekali lagi. Ini bukan sekadar penolakan terhadap (Datuk Seri) Najib, tetapi juga penolakan terhadap Umno BN. Penolakan secara sistematik terhadap apa yang kita ada.

"Jika kita boleh terima itu, maka kita boleh mula membina semula parti ini," katanya.

Pada PRU14 lalu, Umno hanya memenangi 54 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Manakala parti sekutunya, MIC hanya memenangi dua kerusi parlimen dan MCA hanya memperoleh satu kerusi.

SUMBER --->>> https://www.malaysiakini.com/news/424968

2 comments:

Anonymous said...

Masalah dlm Umno sebab ketua pemuda tidak berfungsi dengan baik, tidak vokal, rakyat sudah lama melihat dari aspek tersebut. Kalau boleh tukar segera sebelum nasi menjadi bubur, parti keramat ini masih punyai peminat2 tersendiri...

Anonymous said...

Umno sepatutnya dibuka kepada semua bumiputera...