Misi Food Flottilla For Myanmar akan berlepas selewat-lewatnya 31 Januari



Flotilla misi bantuan kemanusiaan Rohingya yang dijadualkan berlepas ke wilayah Rakhine, Myanmar, 10 Januari terpaksa ditangguhkan hingga akhir bulan ini, kata penganjurnya dalam sidang media di Gudang Kontena Nasional Berhad, Petaling Jaya, petang tadi.

Jurucakap kepada misi bantuan tersebut, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata mereka telah memohon kebenaran memasuki negara tersebut melalui Wisma Putra pada 12 Disember lalu, namun permohonan tersebut telah ditolak oleh kerajaan Myanmar.

Azeez bertegas untuk meneruskan misi tersebut biarpun tanpa kebenaran kerajaan Myanmar.

“Kita bukan pengganas (dan) kita bukan ke sana (Rakhine) untuk berlawan dengan mereka. Kita ke sana untuk membantu mereka”

“Kita merayu agar dibenarkan memasuki negara itu untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan,” kata Azeez dalam sidang media tersebut.

Tambah Azeez lagi, lebih 2,000 tan bahan bantuan termasuk makanan berjaya dikumpul dan akan disalurkan kepada masyarakat Rohingya.

Misi tersebut merupakan hasil kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) serta 28 NGO tempatan dan antarabangsa.



No comments:

Powered by Blogger.