PETALING JAYA - Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata kerajaan Myanmar telah memberi kebenaran kepada misi kemanusiaan 'Food Flotilla for Myanmar' untuk memasuki Sittwe di wilayah Rakhine.
Katanya kapal flotilla akan berlabuh di pelabuhan di Yangon dahulu untuk memuatkan bantuan ke atas lori-lori untuk dibawa ke Sittwe melalui jalan darat yang akan mengambil masa dua hari.
"Wakil kerajaan Myanmar akan bersama-sama kita di Yangon. Kemudian kapal flotilla akan meneruskan perjalanan ke Sittwe melalui jalan air dan dijangka tiba di Sittwe dalam masa tiga ke empat hari.
"Kita akan berada di Sittwe selama dua hari untuk mengagihkan bantuan kepada masyarakat Rohingya di situ," katanya kepada wartawan selepas menutup kursus keselamatan Misi Flotilla ke Myanmar, di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya hanya 100 orang sukarelawan sahaja yang dibenarkan untuk turun mengagihkan bantuan di Sittwe bagi kedua-dua hari tersebut.
Katanya misi itu telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Bangladesh untuk flotilla berlabuh di Teknaf melalui maklumat yang disampaikan oleh pasukan peninjau KP1M di Bangladesh.
"Kita sekarang sedang menunggu kepulangan pasukan peninjau dari Myanmar dan Bangladesh untuk membawa surat kelulusan rasmi daripada kedua-dua kerajaan," tambahnya.
Misi 'Food Flotilla For Myanmar' dianjurkan oleh KP1M, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Turkiye Diyanet Vakfi ( TDV) dan dijangka belayar dari Pelabuhan Klang ke Myanmar pada 3 Feb depan.
Menggunakan Kapal Nautical Aliya, misi itu akan membawa 226 aktivis dan sukarelawan ASEAN dan antarabangsa serta 1,500 tan bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada masyarakat yang terjejas di Rakhine, barat Myanmar. –Bernama
No comments:
Post a Comment