Rakyat perlu nilai sikap MP pembangkang buat kecoh di Parlimen


Rakyat perlu menilai sikap dan gelagat ahli parlimen pembangkang yang lebih mengutamakan agenda mempertahankan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menyuarakan masalah rakyat ketika di Dewan Rakyat.

Sebilangan besar daripada mereka ‘cakap tak serupa bikin’ malah peraturan Dewan pun mereka langgar termasuk engkar arahan Speaker.

Mereka sanggup bertekak dengan Speaker atau timbalannya dan apabila ditegah, kadangkala mereka memboikot persidangan.


MP pembangkang jadikan Parlimen agenda kepentingan politik mereka sahaja

Bagi ahli parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap, tindakan ahli-ahli parlimen pembangkang ini menunjukkan mereka tidak boleh ditegur atau menerima kesalahan.

“Sedangkan jika mereka sendiri yang melanggar peraturan dewan mereka menemplak balik Speaker. Seboleh-bolehnya hendak memenangkan mereka sahaja. Ini tidak boleh,” katanya kepada bnbbc.my.

Malah bagi Anuar, bertekak dengan Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga dilihat sebagai tidak menghormatinya serta keputusan yang dibuat Speaker itu.

“Speaker dan timbalannya sebelum ini banyak bertolak ansur, memberi nasihat dan membuat teguran terhadap semua ahli parlimen. Namun tindakan YB Gombak kali ini membuatkan ia mencabar kewibawaan Tan Sri Speaker hingga terpaksa menggunakan kuasa untuk meminta dia keluar dari dewan,” katanya.

Anuar juga berkata sebagai wakil rakyat, pembangkang haruslah bersikap rasional dan janganlah asyik mencari salah orang lain sedangkan tanggungjawab mereka adalah memperjuangkan nasib rakyat.

Anuar …patut rasional
“Inilah mencermikan sikap sebenar ahli pembangkang yang sememangnya kurang ajar,” katanya mengulas tindakan ahli parlimen PKR Gombak Azmin Ali yang terus mempertikai keputusan Pandikar Amin menolak usul membahaskan kecaman terhadap hakim yang menjatuhkan hukuman terhadap Anwar.

Sementara itu, ahli parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad Wasali berpandangan kekecohan yang berlaku adalah gimik politik oleh Azmin sendiri untuk ambil kesempatan dalam kempen politik PKR yang akan ditandinginya bagi mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden.



Pada masa yang sama katanya ia juga rentetan ketidakpuasan hati pembangkang berhubung Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berjaya diluluskan dalam sesi sidang Dewan Rakyat kali ini dengan majoriti 118 undi sedangkan pembangkang hanya 81 undi pada undian pertama.

Manakala pada undian kali kedua, 119 orang menyokong manakala jumlah menentang kekal 81 orang.

Sapawi…gimik politik
“Mereka juga sengaja membuat kecoh pada hari terakhir sidang hari ini dengan mengembar gemburkan keputusan mahkamah yang melibatkan ahli parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan kita semua tahu ia masih di peringkat Mahkamah Rayuan,” katanya.

Menurut beliau, kalau dilihat dari aspek peraturan parlimen diakui pembangkang bersikap kurang beradab dalam konteks orang yang berpengalaman seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.

Ini kerana katanya tidak seharusnya isu-isu yang mempunyai kepentingan peribadi dipolitikkan dan sebagai ahli parlimen seharusnya menghormati Dewan Rakyat iaitu satu institusi yang sangat mulia

“Media luar boleh mengecam sistem parlimen kita agak longgar kerana ia dapat disaksikan secara langsung sedangkan ia dilakukan oleh sesetengah individu atau parti tertentu dan bukannya semua ahli parlimen bersifat sedemikian,” katanya.

Ahli parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang bersependapat berkata tindakan pembangkang melambangkan sikap mereka bukanlah wakil rakyat yang berkreadibiliti yang memperjuangkan nasib rakyat.

Tapi sebaliknya hanyalah untuk kepentingan peribadi semata-mata.

“Inilah sifat mereka yang sebenarnya dimana rakyat akan dapat saksikan dengan siaran langsung di beberapa saluran dan internet menunjukkan sikap mereka yang tidak mematuhi undang-undang walaupun telah diputuskan oleh Tan Sri Speaker,” katanya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas tani juga berkata pembangkang haruslah bersikap professional dan menerima apa jua keputusan yang dibuat dan bukannya cuba mempertikaikannya.

Ini kerana sebelum sesuatu keputusan dibuat oleh Yang di-Pertua Speaker sudah tentu mengambil kira semua aspek dan bukan atas dasar kepentingan tertentu.