Minyak naik kalau untuk ekonomi negara apa salahnya?


Aku bukan nak membela kerana aku sendiri pun tidak bersetuju dengan kenaikan harga minyak yang juga akan membawa kepada kenaikan barang keperluan harian.

Tetapi menurut pakar ekonomi, langkah mengurangkan subsidi minyak mencerminkan komitmen padu kerajaan untuk memastikan kedudukan ekonomi dan fiskal negara terus kukuh sekali gus memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Ia, kata mereka, dilaksanakan tepat pada masanya dan wajar untuk mengurangkan defisit fiskal negara, justeru memastikan ekonomi negara terus mantap berkembang

dalam situasi pasaran global yang masih tidak menentu.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng, berkata pengurangan subsidi secara berperingkat seperti diamalkan kerajaan, tidak memberikan kejutan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ia, katanya, dibuat pada pertimbangan yang sangat wajar dan bertimbang rasa bagi meminimumkan kesan inflasi.

“Langkah ini sudah lama tertangguh, dan kini sudah tiba masanya kerajaan melaksanakannya. Ia dibuat secara beransur-ansur yang mana langkah ini sebenarnya bagi menyokong kewangan awam.


“Jika pemberian subsidi yang besar seperti sekarang diteruskan, nampaknya kerajaan perlu mengorbankan lebih banyak perbelanjaan pembangunan. Kerajaan perlu menanggung bebanan hutang yang lebih besar jika masih mahu meneruskan dengan projek pembangunan,” katanya ketika dihubungi BH di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, kerajaan juga wajar menyemak semula harga bahan api tempatan setiap enam bulan bagi menyelaras harganya dengan pasaran global.

Kenaikan mendadak boleh sekat pertumbuhan

“Saya yakin pengurangan subsidi secara berperingkat ini lama kelamaan akan diterima oleh masyarakat. Saya berharap menjelang 2015 subsidi harga bahan api ini dapat dihapuskan sepenuhnya.

“Bagaimanapun ia memerlukan mekanisme yang tepat, kerana kita tidak mahu berlakunya sebarang kenaikan harga dan perkhidmatan yang mendadak sehingga boleh menyekat pertumbuhan ekonomi.

“Memandangkan ia dibuat secara berperingkat, kesan ke atas perbelanjaan pengguna adalah minimum tetapi pendapatan boleh guna akan menjadi lebih rendah kerana orang ramai mungkin perlu menyediakan lebih banyak wang untuk membeli bahan api,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan penyusunan semula subsidi yang menyaksikan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen mulai hari ini.

Kini, kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel, dengan jumlah bahan api yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun ini ialah RM24.8 bilion.

Pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel.

Sementara itu, Profesor Pelawat di Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr John Antony Xavier, berkata rasionalisasi subsidi itu tepat pada masanya kerana Malaysia adalah pengimport bahan api.

Katanya, pengurangan subsidi secara berperingkat-peringkat akan mengurangkan tekanan terhadap kewangan awam.

“Jika dilihat kesan daripada rasionalisasi subsidi secara berperingkat kepada orang awam ini adalah minimum berbanding kesan jangka panjang terhadap daya saing negara.

Sistem baucar bantu golongan miskin

“Tambahan pula, peningkatan harga minyak yang diumumkan kerajaan tidak begitu tinggi berbanding dengan Indonesia,” katanya.

Beliau yakin, pelaksanaannya itu akan diterima baik di kalangan komuniti ekonomi dunia dan agensi penarafan antarabangsa kerana subsidi minyak tidak akan berkekalan dan ia harus dikurangkan secara berperingkat.

“Bagaimanapun, kerajaan boleh memperkenalkan sistem khusus seperti sistem baucar sebagai langkah sementara bagi yang membantu mereka yang berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan rasionalisasi berkenaan,” katanya.

No comments: